I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, April 21, 2010

Friday, April 16, 2010

Isi Khutbah Juma'at : Khilaf dan Bid'ah



Assalamualaikum,
Hari ini 16 april 2010 penulis sekali lagi berkesempatan bersolat Juma'at disebuah Masjid yg indah iaitu Masjid Kg. Melayu Kangkar Pulai Johor Bahru.Alhamdulilah,kali ini khutbah di sampaikan oleh seorang yang penulis kenali sebagai
seorang Ustaz dari UTM yang juga memegang jawatan penting disalah sebuah Pusat di UTM. Isi khutbah kali ini agak menarik juga yakni memperkatakan ttg isu yg sejak akhir2 ini hebat di pebualkan orang. Isu tersebut ialah mengenai pekara khilaf dan bid'ah.kalau tidak silap penulis isu ini pernah disentuh pada khutbah yang lalu di beberapa Masjid di sekitar Johor Bahru cuma penulis kurang pasti samaada teks khutbah kali ini dari Jabatan Agama atau disusun oleh penyampai khutbah sendiri.

Ala kulli hal...perkara sama yg disentuh dalam khutbah tersebut di mana khatib menjelaskan bahawa masyarakat Islam Umumnya di Malaysia & khussusnya di Johor Bahru sememangnya dari dahulu dalam soal Mazhab telah lama berpegang kepada ikutan Syafii (Syafi'iyyah) dalam persoalan meliputi soal Aqidah dan syariat yang digelar sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah yg juga mengikuti sunnah Rasullullah s.a.w. & para sahabat. Cuma tidak diterangkan secara rinci Ahli Sunnah wal Jamaah yang mengikuti aliran mana,sbb ada yg berpendapat ahli sunnah itu banyak alirannya ada aliran Asya'irah (Imam Abu Hasan Asya'ari),ada aliran Maturudiyyah,aliran Kulabi,& Salafi,wal hal yg dikatakan ahli sunnah itu hanya satu sahaja tidak dua atau tiga.Jadi mana satukah berada diatas kebenaran?
Seterusnya Penyampai Khutbah,mengajak ummat Islam supaya jangan berpecah belah,bersengketa,bertelagah sesama sendiri dalam menyikapi persoalan khilafiah lalu khatib bawakan dalil Quran "wa'tasimu bihabillahi jami'aa wala tafaraqu" "berpeganglah dengan tali Allah(Quran)jangan berpecah belah". kemudian beliau menasihatkan para pendakwah supaya belapang dada dalam soal perbezaan pendapat dalam agama dan pendakwah jangan mudah menghukum orang yang tidak bersependapat dgn kita.

Seterusnya khatib berpesan supaya kita tidak menolak sesuatu amalan yg telah menjadi ijmak (kesepakatan) kaum muslimin di Malaysia. Disini katib tidak memberikan contoh amalan yg telah menjadi ijmak kaum muslimin. Penulis beranggapan bahawa amalan2 tersebut adalah seperti sambutan Maulid Nabi,Israk Mikraj,Nisfu Sya'ban,Ma'al Hijrah dan termasuklah tahilan dan kenduri arwah. Disini penulis katakan jikalau mengikut kaedah usul fiqh yg dikatakan ijmak (kesepakatan)yg diterima pakai ialah Ijmaknya para sahabat Nabi s.a.w. dan ijmaknya para ulamak termasuk ulamak2 Muktabar dan Imam2 mujtahid. Tiada yg dikatakan ijmak kaum muslimin sebab kaum muslimin adalah umum dan ada berbagai peringkat golongan. Ada Prof. Akademik Prof. Syariah,ada Juruteknik,Kerani,Pembantu Am Pejabat,penjaga stor,peniaga,nelayan,pesawah,penoreh getah dll lagi. Penulis ingin bertanya,dalam isu Maulid Nabi adakah ulamak di Malaysia bersepakat menghukumkan bahawa sambuatan Maulid itu sunnah atau harus? Apa yg kita lihat mereka semua tidak bersepakat dalam hal ini. Ada yang mengharuskan dan ada yang mengharamkan ( bid'ah).

Sebelum penulis meneruskan lagi bicara,syugia penulis katakan bahawa diri ini bukanlah seorang yg sempurna dalam menyampaikan perkara2 keagamaan jika hendak di bandingkan dgn penyampai khutbah( seorang yang punyai PHD dalam bidang syariah dan dikenali oleh masyarakat UTM) kedudukan penulis dgn beliau ibarat langit dengan bumi. Penulis menghormati beliau sebagai saudara seIslam dan sebagai seorang yang berilmu. Penulis membuat komentar atas dasar "agama itu nasihat" & atas dasar kasih sayang antara sesama muslim tiada tujuan lain.

Komentar penulis seterusnya ialah mengenai istilah khilaf dan bid'ah itu sendiri, bagi penulis isi khutbah sepatutnya terlebih dahulu menerangkan ta'rif ( makna) khilah & bid'ah itu sendiri sbb rata2 di kalangan kita yang kurang mengerti apa definasi bid'ah & khilah. Di takuti mereka keliru dalam memahaminya dengan kefahaman yang terbalik dimana bid'ah dianggap khilaf dan begitu sebaliknya. Perlu diterangkan pengertian dari segi etomologi (bahasa) dan istilah syarak sebagaimana yang di terangkan oleh ulamak2 terdahulu termasuk Imam yang kita sanjungi( Imam Syafi'i) dan ramai lagi. Dengan pemahaman yg sebenar barulah kita dapat membezakan antara khilaf & bid'ah. Penulis rasa kalau nak di huraikan isu bid'ah & khilaf ini secara rinci mungkin berjilid2 buku perlu disediakan,tapi bagi kita peringkat orang awam cukuplah penerangan secara ringkas dari ustaz2 kita. Disini penulis tidaklah hendak berbicara secara panjang lebar mengenai isu ini cuma harapan penulis perkara ini perlu ditangani secara ilmiah, ikhlas, jujur, dan tidak emosi supaya kita tidak terkeliru dalam memahami agama Islam yg suci dan murni ini. Pada kali ini penulis copy & pastekan sekali lagi mengenai isu khilaf dan bid'ah mudah2an bermenfa'at.

ANTARA KHILAF DAN BIDAAH

Saya kira ramai yang terkeliru antara khilaf dan bid'ah. Lantaran terkeliru, maka agenda perbincangan sudah lari. Bid'ah ialah innovasi, penciptaan, rekaan amalan atau ibadah yang tidak bersandarkan di atas dalil atau nas dari Al-quran dan al hadith di dalam perkara ibadah di dalam agama sahaja. Khilaf ialah perbezaan pendapat oleh ulama' fiqh mengenai amalan-amalan tertentu yang berdasarkan dalil atau nas dari Al-quran dan hadith sahih.

Beza antara keduanya jelas di mana satu merujuk kepada dalil atau nas dan satu lagi tidak merujuk kepada mana-mana dalil atau nas. Contohnya Qunut itu secara umumnya bukan bid'ah kerana diamalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.( rujuk Qunut Nazilah& Qunut witir) cuma para ulama' fiqh berbeza pendapat samada ia perlu diamalkan atau tidak, merujuk kepada situasi, masa dan keadaan.

Manakala amalan ataupun sambutan Nifsu Sya'ban,Maulid Nabi,Israk Mikraj,Ma'al Hijrah itu jelas bid'ah kerana tiada dalil atau nas yang sahih mengenainya. Kalau ada dalil pun ianya dari hadith lemah atau palsu. Tiada takrifan bid'ah hasanah dalam IBADAH. Perkara khilaf dalam perbincangan perlu berhati-hati. "Perselisihan faham dalam perkara furuk fiqah tidak boleh dijadikan sebab berlakunya perpecahan agama, juga janganlah ia membawa kepada perbalahan, kemarahan antara satu sama lain. Setiap mujtahid ada pahalanya. Tiada halangan jika dilakukan pengkajian ilmiah yang adil dalam masalah yang diperselisihkan ini yang dilakukan dalam naungan perasaan kasih mengasihi kerana Allah, bantu membantu untuk sampai ke hakikat yang sebenarnya, tidak membawa kepada perbahasan yang dikeji dan perasaan taksub."

"Melarutkan diri ke dalam masalah yang tidak membawa amal adalah antara takalluf (memberatkan) yang dilarang oleh syarak..." Dalam perkara bid'ah pula, "Setiap perkara bid'ah dalam deen Allah yang tidak ada asalnya walaupun diperelokkan oleh manusia dengan nafsu mereka dengan menambah atau mengurangkan, adalah kesesatan yang wajib diperangi dan dihapuskan dengan CARA YANG TERBAIK yang tidak membawa merebaknya perkara yang lebih buruk dari itu." Perlunya mengetahui adab-adab ikhtilaf dalam Islam bagi mengelakkan perbalahan.

1.Imam As-syafi'e tidak membacakan qunut subuh ketika mengimami anak murid imam Malik r.a.
2.Bagi mereka yang sudah mengerjakan ibadah haji, mengambil pandangan Mazhab Hanbali yang menyentuh perempuan bukan mahram tidak membatalkan wudhu' ketika menunaikan ibadah haji berdasarkan kepada dalil Quran,sunnah & pendapat ulama muktabar. 3.Kalau menurut Imam Syafi'i zakat fitrah dgn wang tidak sah.Menurut Mazhab Hanafi di bolehkan untuk sesuatu kemaslahatan. 4.Saksi nikah di Malaysia yang mensyaratkan saksi yang adil, tidak fasik, dan sebagainya menyebabkan sukarnya orang lelaki hendak berkahwin, lalu kita mengambil pandangan Hanafi untuk memudahkan proses walimah itu sendiri. Ramai yang keliru samada bolehkah kita mengambil pandangan Mazhab lain.

Di Malaysia sendiri pun bukanlah Mazhab SYAFI'E YANG TULEN. Semuanya sudah bercampur aduk.Konsep talfiq dalam masalah fiqah perlu diketahui.Talfiq ialah kita bertaklid (menurut) kpd seorang Imam/fuqaha' dalam satu masalah dan kemudian bertaklid kpd Imam lain dalam masalah yg lain pula.Sebahagian ulamak menentang konsep Talfiq.
Jika orang yg bertalfiq itu bertujuan mencari hukum yg paling ringan dan mudah atau bertepatan atau disukai oleh hawa nafsunya tanpa mengira dalil, maka hukumnya adalah tidak harus. (Qardhawi, Fatawa Mu'asirat, Vol 2 bab Usyuldan Qaedah).

Al-Qardhawi berpendapat tidak harus seseorang itu bertalfiq. Manakala, ulamak salaf berpendapat adalah fasiq bagi mereka yang mencari rukhsah (keringanan/ kemudahan) daripada mazhab-mazhab lain tanpa mengetahui dalil.. Al-Qardhawi mengemukakan dalil di bawah Dalil: And We shall remove from their hearts any lurking sense of injury: (they will be) brothers (joyfully) facing each other on thrones (of dignity). There no sense of fatigue shall touch them, nor shall they (ever) be asked to leave.Tell My servants that I am indeed the Oft-forgiving, Most Merciful; (Surah An-nur:47-49)

Walaubagaimanapun tidak dikira hukum talfiq bagi seseorang pengkaji yg mencari pendapat Imam yg paling kuat mengikut penilaian hatinya. Misalnya, bersentuh perempuan tidak membatalkan wudhu' berdasarkan kepada dalil dalil yang kuat (ikut hujah Imam Hanbali) kemudian ikut Imam Syafi'iy yg menyatakan tidak batal wudhu' jika keluar darah; kemudian pula mengikut maliki di mana air tidak menjadi najis selagi tidak berubah bau, warna atau rasa.

"Setiap Muslim yang tidak sampai kepada martabat ijtihad dalam mencari dalil hukum Islam yang furuk hendaklah mengikut kepada pegangan salah seorang dari imam-imam Mazhab Islam. Menjadi elok lagi kepadanya ketika mengikut Mazhab itu jika ditambah dengan usaha yang sedaya upaya untuk mengetahui dalil-dalilnya. Dia hendaklah menerima segala petunjuk yang disertakan dengan dalil, ketika diyakini kesahihan dan kebolehan orang yang memberikan petunjuk itu kepadanya. Dia hendaklah menyempurnakan kekurangan ilmu yang ada pada dirinya sekiranya dia di kalangan ahli ilmu sehinggalah dia sampai ke peringkat al-nazar (ijtihad hukum). Untuk berijtihad seseorang mujtahid perlu ada perkara berikut yang disebut dalam kitab-kitab usul:
1.Al-Ilmu bil dilalat: Dalil-dalil daripada Al-quran,hadith dan ijmak ulamak
2.Mengetahui setiap makna yang zahir dan yang tidak zahir: Makna zahir umapamanyam al-saiyyarah iaitu kenderaan. tetapi di dalam ayat "yal ta qid baqd as saiyyarah" maksudnya satu rombongan
3.Al-Ilmu bil Mustytarak: Contohnya perkataan Al-ain.Ia boleh bermaksud mata,minuman keras, gundek, mata air atau lembu jantan
4.Wal 'Am wal khas:Dalil 'am umpamanya,maksud daripada hadith rasul"Sesiapa yang mengucapkan dua kalimah syahadah akan masuk syurga". Dalil khas pula umpamanya.maksud dari sabda Rasulullah S.A.W bahawa baginda akan memerangi manusia; khusus kepada kafir quraisy Mekah.
5.Wal mutlak wal muqaiyyad: Contoh mutlak,umapamanya Allah memerintahkan supaya membebaskan hamba. Contoh muqaiyyad,di ayat yang lain Allah perintahkan hamba yang beriman. Jadi hukum membayar kifarat hendaklah memerdekakan hamba yang beriman.
6.Wal manthuq wal mafhum: Contoh manthuq,jangan kamu hampiri zina. Mafhumnya, hukum berzina adalah haram.
7.Dalil suruhan dan dalil larangan: Dalil suruhan,iaitu setiap suruhan yang disuruh melakukannya samada wajib,sunat dan harus. Larangan iaitu haram dan makruh.
8.Wal nasikh wal mansukh: Nasikh ,hukum yang sudah tidak dipakai. Mansukh hukum yang turun sebagai gantinya.
9.Hukum ketika berlawanan dalil: Contoh: Edah perempuan yang mengandung ialah hingga bersalin. Edah kematian suami 4 bulan 10 hari. Dua dalil yang berlawanan. Jadi, jika perempuan mengandung kematian suami, maka edahnya 4 bulan 10 hari dan disambung lagi hingga lepas bersalin.
10.Adat resam orang-orang arab dan hubungan syariat dengan masyarakat orang-orang arab
11.Asbabul nuzul quran: Mengerahui sebab-sebab turunnya ayat al-quran
12.Sebab-sebab hadith disabdakan (asbab maurid)
13.Wal matnu wal sanadu: Matnu,iaitu hadith sanad, iaitu ilmu yang berhubung dengan ahli-ahli rawi.
14.Mengetahui dengan lengkap nahu-nahu bahasa arab
15.Mengetahui bahasa daerah suku-suku kaum arab.

Allahua'lam

Diubahsuai dengan sedikit tambahan.

Komentar dari saudara saudara penulis alu alukan.

Wednesday, April 14, 2010

Niat (Solat)



USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Ijazah Sarjana Muda (Syari'ah) Uni. Al-Azhar (1997). Dipl. Takhassus Fiqh (Pra M.A) INSANIAH-Al-Azhar(2004)

Apakah hukum niat?

Niat adalah wajib. Tidak sah solat tanpa niat. Kewajipan niat adalah berdasarkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam; “Sesungguhnya segala amalan bergantung kepada niat. Sesungguhnya bagi setiap diri apa yang diniatkannya”. (Riwayat Imam Muslim dari Saidina ‘Umar–radhiyallahu ‘anhu-)

Bagaimana cara berniat bagi solat fardhu?

Apabila kita hendak mengerjakan solat fardhu, hadirkan di dalam hati kita;
1. Kehendak untuk mengerjakan solat
2. Meniatkan bahawa solat yang hendak dikerjakan itu adalah solat fadhu
3. Menentukan mana solat satu fardhu yang hendak dilakukan; subuh atau zohor atau sebagainya.
4. Jika kita berjamaah, niatkan di dalam hati mengikuti orang lain.

Niat yang diwajibkan ialah di dalam hati. Adapun melafazkan dengan lidah, ia hanya sunat sahaja mengikut mazhab Syafi’ie. Ada ulamak berpandangan; bid’ah melafazkannya dengan lidah kerana tidak pernah dilakukan oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- atau para sahabat.

Bagaimana cara berniat bagi solat sunat?

Solat sunat ada dua jenis;
1. Solat sunat yang tidak berwaktu atau bersebab (iaitu solat sunat mutlak)
2. Solat sunat berwaktu dan bersebab; contohnya; solat sunat Dhuha, solat sunat Qabliyah atau Ba’diyah, solat sunat Kusuf (gerhanan), solat sunat hari raya dan sebagainya.

Bagi jenis pertama, memadai dengan kita berniat di dalam hati kehendak untuk mengerjakan solat.

Adapun bagi jenis kedua (yakni solat sunat berwaktu dan bersebab), niatnya hendaklah merangkumi;
1. Kehendak hati untuk mengerjakan solat
2. Meniatkan jenis solat solat yang hendak dikerjakan.

Contohnya; jika kita ingin mengerjakan solat Dhuha, maka niatkan di dalam hati keinginan kita untuk mengerjakan solat dan bahawa solat yang hendak dikerjakan itu ialah dhuha.

Bilakah masanya kita perlu menghadirkan niat?

Niat hendaklah dihadirkan semasa mengucapkan takbir. Tidak harus niat dihadirkan sebelum takbir atau selepas habis takbir. Ini adalah pandangan mazhab Syafi’ie. Ada di kalangan ulamak berpendapat; harus didahulukan niat dari takbir asalkan jarak masa antara niat dan takbir itu tidak lama, iaitu sebaik sahaja berniat, hendaklah terus melafazkan takbir tanpa menunggu lagi. Pandangan kedua ini merupakan mazhab Imam Ahmad dan juga Abu Hanifah. (Al-Mughni, 1/332).

Thursday, April 8, 2010

Ahli Sunnah Wal Jamaah




Ustaz Rasul Dahri

B A Syariah,Dakwah & Usuluddin

Universiti Ummul Qura Mekah

AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH

Pengistilahan atau laqab “Ahli Sunnah wal-Jamaah” bermula pada akhir zaman sahabat. Ada yang menyatakan ia bermula apabila timbulnya zaman fitnah terutama fitnah yang berlaku antara Ali dan Mu’awiyah radiallahu ‘anhuma. Dimana setelah munculnya golongan ahli bid’ah seperti Khawarij, Rafidhah[1] atau Syiah,[2] Jahmiyah,[3] Qadariyah dan sebagainya, yang mana mereka terkenal dengan bid’ah-bid’ahnya dan banyak perselisihannya dalam persoalan hadis dan makna-makna al-Quran. Untuk membezakan antara golongan yang sunnah dan bid’ah maka para ulama hadis menentukan siapa Ahli Sunnah dan siapa Ahli Bid’ah agar mudah dan hanya diambil sanad atau matan sesebuah hadis dari Ahli Sunnah wal-Jamaah sahaja.

Berkata Ibn Hazam rahimahullah:

“Ahli Sunnah yang kami nyatakan, mereka adalah Ahli Hak dan selain mereka adalah Ahli Bid’ah. (Ahli Hak) adalah para sahabat radiallahu ‘anhum serta sesiapa yang mengikut jalan mereka, terutamanya para tabi’in rahmatullah ‘alaihim. Kemudian Ashabul Hadis dan sesiapa yang mengikut mereka dari kalangan fukaha (Ahli Fikah) dari satu generasi ke satu generasi berikutnya sehinggalah ke hari ini. Begitu juga sesiapa yang mencontohi mereka dari kalangan orang-orang awam sama ada di timur atau di barat”.[4]

Imam Ahmad rahimahullah berkata:

اَهْلُ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ : مَنْ يَعْتَقِدُ مَذْهَب اَهْلَ الْحَدِيْثِ.

“Ahli Sunnah wal-Jamaah ialah: Sesiapa sahaja yang berpegang dengan mazhab Ahli Hadis”.[5]

Imam al-Bukhari rahimahullah mengkhususkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah ialah Ahli Ilmu.[6]

Berkata pula Imam Ahmad rahimahullah:

اِنْ لَمْ يَكُوْنُوْا اَهْل الْحَدِيْثِ فَلاَ اَدْرِيْ مَنْ هُمْ

“Jika sekiranya mereka (Ahli Sunnah wal-Jamaah) bukan kalangan Ahli Hadis, aku tidak tahu siapa mereka?”.

Ada yang menyatakan bahawa mula munculnya istilah Ahli Sunnah wal-Jamaah apabila lahir golongan ahli bid’ah. Dengan bersandar kepada hadis-hadis dan athar maka bermula seruan agar bersatu dalam satu jamaah dengan berpegang kepada sunnah, diperingat dari pertelingkahan dalam agama dan sama sekali tidak melakukan bid’ah dalam agama.[7] Seruan ini diperkuat dengan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

فَاِنَّهُ مِنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةِ شِبْرًا فَمَاتَ اِلاَّ مَاتَ مِيْتَةً جَاهِلِيَّةً.

“Sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan jamaah kadar sejengkal maka ia mati, tidaklah kematiannya itu kecuali ia mati secara jahiliyah”.[8]

Akhirnya julukan Ahli Sunnah wal-Jamaah diberikan kepada sesiapa sahaja yang kembali kepada al-Quran, Sunnah dan ijmak ulama yang dikenali kebenaran pegangan dan pendiriannya. Terutama mereka yang jelas berpegang dengan akidah yang dinukil dari para Salaf as-Soleh rahimahumullah yang diterima langsung dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan dari para sahabat radiallahu ‘anhum.[9] Kerana kita diperintah untuk mencontohi athar mereka (para sahabat) dan berittiba’ kepada sunnah mereka.[10]

Namun gelaran ini diutamakan kepada sesiapa sahaja yang berpegang kepada manhaj Salaf as-Soleh secara umum, yang sentiasa menentang ahli bid’ah di manapun mereka berada, pada bila-bila masa dan ketika sehinggalah keakhir zaman.

ISTILAH AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH

Istilah “Ahli Sunnah wal-Jamaah” terdiri dari tiga kalimah iaitu: Ahli, Sunnah dan Al-Jamaah.

“Ahli” mengikut bahasa bermaksud:

1. "Pakar, Yang Berilmu, Yang Ahli atau Yang Pandai" sebagaimana firman Allah:

فَسْئَلُوْا اَهْلَ الذِّكْرِ اِنْ كُنْتُمْ لاَ تَعْلَمُوْنَ.

"Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui".[11]

2. "Pengikut, Anggota Satu-Satu Fahaman Atau Kumpulan”, sebagaimana firman Allah:

يَا اَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَكْفُرُوْنَ بِاَيَاتِ اللهِ

"Hai Ahli Kitab, mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah padahal kamu mengetahui kebenarannya!". [12]

وَاْمُرْ اَهْلَكَ بِالصَّلاَةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

"Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya".[13]

Antara contoh yang lain ialah:

“Ahli Pertubuhan, Ahli Parlimen, Ahli Mazhab, Ahli Sukan” dan sebagainya.

Wednesday, March 31, 2010

Akibat memutuskan silaturrahim



Kesempurnaan iman seseorang didukung oleh banyak faktor, tidak
hanya setakat beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan hari
akhirat, bahkan hubungan sesama insan juga menjadi kayu
pengukur terhadap kesempurnaan iman seseorang.
Islam amat menuntut umatnya untuk menjaga hubungan
silaturrahim sesama manusia, kerana akibat memutuskan
silaturrahim itu amat besar risikonya bukan hanya setakat di dunia
sahaja bahkan juga di akhirat kelak.

Lazimnya, gejala mumutuskan silaturrahim berpunca daripada
pertengkaran atau perselisihan yang disebabkan oleh harta benda,
harta pusaka, hutang piutang, hasutan, fitnah, sifat sombong dan
mementing diri sendiri. Hatta perkelahian antara sesama anak atau
jiran tetangga pun juga boleh menyebabkan terputusnya ikatan
silaturrahim, di mana kedua-dua pihak saling salah-menyalahkan,
didorong lagi jika kedua-duanya tidak mempunyai kesabaran dan
sikap terbuka serta mengalah untuk memohon maaf atau saling
bermaafan. Terkadang satu pihak tidak mahu mema’afkan pihak yg lain kerana sifat keras kepala dan keegoan yang ada pada diri seseorang.

ANCAMAN BAGI YANG TAK BERTEGUR SAPA SELAMA TIGA HARI.

Sabda Nabi s.a.w.

Maksudnya ; “Tidak halal bagi seorang Muslim “hajr” (tidak bertegur sapa) saudaranya melebihi tiga hari, kedua-duanya bertemu, lantas saling berpaling muka antara satu sama lain. Yang terbaik antara mereka ialah orang yang memulakan salam”. (Muslim no 6697).

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w. menyebut balasan perbuatan ini :

Maksudnya : “Tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur sapa saudaranya melebihi tiga hari, maka barangsiapa yang tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari, nescaya akan masuk neraka”. ( Abu Dawud : no 4914).

Riwayat lain ada menyebut :

Maksudnya : “Barangsiapa yang tidak menegur sapa saudaranya selama setahun, maka ia seumpama menumpahkan darahnya”. Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang sahih. (Riyad al-Salihin 2/216)

By pakatan09

Thursday, March 25, 2010

Permasalahan Qada Solat bagi yang meninggalkan tanpa uzur



Keuzuran yang syar’ie yang membuatkan seseorang itu tidak berdosa ketika meninggalkan solat ialah gila, terlupa atau tertidur, dipaksa, sudah menunaikan solat secara jamak, ketakutan yang bersangatan kerana ancaman keadaan (seperti yang berlaku ketika peperangan khandak lihat dalam Bukhari no. 598).

Adapun selainnya baik lelaki dan perempuan yang berakal, Islam, serta telah baligh maka baginya kewajipan yang ditetapkan supaya mendirikan solat.

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Sesungguhnya antara (pembatas) seorang lelaki itu dengan syirik dan kufur ialah meninggalkan solat” (hadith sahih riwayat Muslim no. 987, Abu Daud, Nasaie).

Perintah menunaikan solat ialah satu kewajipan sehingga bagi yang sakit tidak terlepas dari kewajipan menunaikannya selama mempunyai akal apabila Islam memberi kelonggaran supaya harusnya menunaikan solat dengan keadaan duduk, berbaring dan bahkan dengan gerak isyarat mata atau sehingga jika tidak mampu cukup dengan lintasan hati selama ianya masih sedar dan berakal.

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah semampu kamu” (At-taghabun :16).

Juga sekiranya tiada air demi bersuci dan berwudhuk maka Islam membolehkan bertayamum mengunakan debu tanah yang berada di sekeliling dunia.

“ Apabila kamu tidak menemui air maka bertayammumlah dengan debu tanah yang suci..” (Al-maidah : 43)

Perbuatan meninggalkan solat ialah dosa besar dan termasuk salah satu di antara dosa yang boleh membawa kufur kepada pelakunya. Sekiranya ada sesiapa yang meninggalkan solat kerana mengingkari kewajipannya dan membenci perbuatan solat yang merupakan ibadah ini dan menganggap menyusahkan maka ianya tanpa syak kufur dan murtad dari agama Islam dengan ijmak ulama (Al-Majmuk m/s 16 Jilid 3, Hukum Meninggalkan Solat oleh Ibn Qayyim).

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Adapun yang meninggalkan solat dengan sebab malas dan leka serta lalai kerana dunia dan dalam masa yang sama tidaklah menafikan kewajipan solat dan tidak pula bermaksud mengingkari perintah Allah maka baginya hukum fasiq dan munafiq namun masih tetap dianggap muslim dan dipelihara haknya sebagai muslim tetapi tetap wajar menerima hukuman dan teguran. Demikian mazhab As-Sauri , Abi Hanifah dan golongan Maliki serta Syafie dan Ahmad dari riwayat-riwayat lain yang darinya (lihat Mughni Muhtaj, Al-Majmuk dll).

Sekalipun mereka ini yang berpendapat tidak jatuh kafir bagi orang yang meninggalkan solat dengan sebab malas dan leka serta lalai namun para ulama ini tidak pula bermaksud mengambil pandang ringan kerana mereka tetap menetapkan perlaku dosa besar meninggalkan solat ini mesti dihukum dengan hukuman bunuh dan ini pendapat Maliki serta Syafie.

Adapun pendapat yang mengatakan mereka ini tidak dibunuh sebaliknya disebat dan dipenjara sehingga mati atau bertaubat nasuha dan ini pula ialah pendapat dari mazhab Az-Zuhri dan Ibn Musayyib serta Umar Ibn Abd Aziz dan Abu Hanifah dan Ibn Hazm.

Manakala sebahagian yang lain tetap mengkafirkan golongan ini yang meninggalkan solat tanpa uzur sekalipun tidak menolak kewajipan solat dengan menjatuhkan hukum kafir dan murtad dari Islam kerana meninggalkan solat yang merupakan rukun Islam dan mereka ialah mazhab Said ibn Jubair , Auzaie, Ibn Mubarak, Ishaq dan riwayat yang sahih dari Imam Ahmad dan salah satu qaul dari mazhab Syafie serta Ibn hazm dengan riwayat daripada Umar ibn Khatab , Muadz ibn Jabal dan Abd rahman ibn Auf serta Abi Hurairah dan selainnya dari sahabat rasulullah ra (lihat dalam Al-Insof, Majmuk Fatawa, Hukum Meninggalkan solat oleh Ibn Qayyim).

Pelbagai khilaf dan hujah serta dalil dalam masalah ini namun saya tidak berhajat memanjangkan bicara dalam masalah khilaf ini sebaliknya terus kepada isi pokok perbincangan iaitu tentang perihal qadha solat bagi yang meninggalkan solat tanpa uzur.

Ketahuilah baik salah satu diantara kedua kedudukan hukum golongan yang meninggalkan solat apakah kafir atau fasiq dan munafiq maka keduanya berdosa besar dan bukanlah ringan dan baik sebaliknya tercela dan dibenci dengan kemurkaan Allah swt.

Pendapat yang membolehkan dan mewajibkan qadha bagi yang meninggalkan solat ialah mazhab jumhur ulama daripada imam mazhab yang empat dan ianya dengan syarat hendaklah perlakunya yang meninggalkan solat tanpa uzur itu selain berqadha solatnya yang telah ditinggalkan maka hendaklah juga bertaubat dengan taubat nasuha atas dosa besarnya itu (lihat dalam Al-Majmuk, Al-Insof dll).

Bukanlah bermakna bolehnya qadha solat itu maka diri pembuat dosa boleh terselamat dan terampun dosa sebaliknya hanya usaha ikhtiar selain taubat nasuha bagi menebus kesalahan yang telah dilakukan.

Adapun pendapat selainnya yang mengatakan tiada qadha bagi solat yang ditinggalkan ialah pendapat Umar ibn Khattab dan ibn Umar serta Sa’ad ibn Abi Waqas dan Ibn Mas’ud ra, Ibn Sirrin , Ibn Hazm, dan juga pendapat daripada Syeikhul Islam ibn Taimiyyah ra serta jumlah besar dari salaf soleh yang lain.

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Demikian jumlah besar menolak adanya qadha solat dengan dalil bahawa solat ini satu kewajipan yang dibuat hanya pada waktunya bukan diluar waktunya (lihat Al-Muhalla ibn Hazm, Majmuk Fatawa, Nailur Authar dll).

Dalam hal ini satu keputusan dapat diambil bahawa golongan yang menolak adanya qadha solat ialah kerana selain menetapkan solat dilaksanakan pada waktu khas dan jika selainnya tidak lagi dikira maka mereka juga mengkafirkan peninggal solat sehingga tiada guna menunaikan qadha lagi.

Keadaan ini dapat diselesaikan hanya apabila orang yang meninggalkan solat ini bertaubat dan kembali dengan taubat nasuha serta di sini mereka diwajibkan melakukan qadha.

“Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (yang sersungguh-sungguh) moga tuhanmu akan menghapuskan dosa-dosa kamu …” (At-Tahrim : 8).

Maka bagi yang bertaubat dengan taubat nasuha maka hendaklah dia mengulangi segala solat yang telah ditinggalkan dengan melakukan solat pada waktunya dan memperbanyakkan solat-solat sunat.

Ini berdasarkan kepada hadith rasul yang menyebut : “Sesungguhnya yang paling awal akan dihisab di hari akhirat daripada amal perbuatan ialah solat dan sekiranya baik (solatnya) maka telah berjaya dan selamat dan sekiranya rosak (meninggalkan) solatnya maka gagal dan rugilah dia serta jika berkurang pahala dari solat wajibnya maka akan berkatalah tuhan yang Mulia dan tinggi : Lihatlah apakah hambaku ini ada melakukan solat sunat dan tampunglah apa yang kurang dari yang wajib dan kemudian jadikanlah seluruh amalannya seperti itu” (hadith sahih riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi dan Ibn Majah).

wallahualam

Oleh : Ustaz Emran

Dicatat oleh Naim di 23:42

http://riwayat-hidupku.blogspot.com/2010/02/permasalahan-qadha-solat-bagi-yang.html

Foward by pakatan09

Tuesday, March 23, 2010

Ulamak di hormati atau di sucikan ?




Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
(moasriza@yahoo.com)

Ada bezanya antara menghormatikan dan mensucikan. Dalam bahasa Arab disebut tauqir (memuliakan), sementara mensucikan disebut taqdis. Memuliakan atau tauqir bererti kita memberikan penghormatan kepada seseorang atau sesuatu pihak. Ia berkaitan dengan nilai ketinggian yang ada pada pihak atau individu tersebut. Jika dia pemimpin, atas nilai kepimpinan yang ada padanya. Jika dia ulama, atau ilmuwan maka atas nilai ilmu yang ada padanya. Jika dia orang tua, atas nilai usia dan pengalaman hidup yang dilalui. Demikianlah seterusnya.

Adapun taqdis atau mensuci bererti menganggap seseorang atau sesuatu itu terpelihara dari sebarang dosa, atau kesalahan. Menganggap ia suci (sacred) bererti apa sahaja yang datang daripadanya adalah benar dan mulia, tidak boleh dipertikaikan lagi.

Islam menyuruh kita menghormati ulama atau disebut tauqir al-‘ulama tetapi tidak membenarkan kita mensucikan mereka atau taqdis al-‘ulama. Kita menghormati mereka kerana keilmuan mereka. Apabila mereka berbicara dan bertindak dalam kerangka ilmu, maka dihormati dan disayangi. Kita berinteraksi dengan mereka dengan cara yang hormat dan sopan.

Namun, dalam masa yang sama kita tidak dibenarkan menganggap mereka suci dari kesilapan dan kesalahan. Mereka bukanlah para rasul yang setiap tindakan mereka yang berkaitan dengan agama dianggap hujah. Adapun para ulama mereka terdedah kepada salah dan silap, sama seperti manusia lain. Apabila ternyata mereka salah, atau silap kita tidak boleh mengikut kesalahan kesilapan itu. Dalam ertikata lain, kita menghormati, bukan mensucikan mereka.

Perkara yang begitu asas sebegini kadang kala gagal difahami oleh sesetengah umat Islam. Apabila mereka menghormati seseorang tokoh agama, mereka seakan menganggap pendapatnya suci, atau bagaikan wahyu yang mesti diikut tanpa perlu mengetahui alasan dan hujahnya. Mengikut secara ‘membabi buta’. Mereka letakkan tokoh-tokoh agama itu bagaikan nabi dan rasul.

Akhirnya, mereka mandulkan akal dan kewarasan mereka dengan mengikuti segala yang dititah atau pendapat yang dinyatakan oleh tokoh itu sekalipun ilmu dan akal yang Allah anugerahkan menyanggahinya. Ia amat berbahaya. Jika tokoh agama itu meminta wang daripada mereka, sekalipun tidak jelas alasannya mereka berikan. Jika tokoh agama itu memberikan pendapat dalam sesuatu perkara sekalipun ternyata salah dari segi angka dan fakta, mereka tetap telan dan terus menyanjung pendapat itu. Jika tokoh agama itu agung-agungkan dirinya dan menganggap dia luar biasa, sehingga ternyata kepada mereka yang bebas dari unsur ketaksuban bahawa itu adalah ‘takabur yang nyata’, namun pengikutnya tetap mencium tangan dan berkata ‘benar!’.

Maka bukan sedikit dalam sepanjang sejarah, atas nama agama atau tokoh agama eksploitasi terhadap akal, maruah, harta, kuasa dan berbagai lagi yang berlaku. Sebab itu Islam menentang sebarang unsur pemujaan kepada manusia sehingga mengenepikan ajaran Allah S.W.T dan RasulNya s.a.w.

Siapakah dalam kalangan ulama yang merasakan dirinya lebih baik daripada Saidina Abu Bakr al-Siddiq? Jika Abu Bakr berucap pada hari perlantikannya: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361), apakah layak untuk seseorang selain Abu Bakr berkata: “Aku mufti aku mesti betul”, atau “Aku tok guru aku tak akan salah”, atau “Aku ustaz, kau siapa?!”.

Perkara ini perlu sentiasa ditegaskan, agar kita mengetahui dan selalu sedar bahawa gelaran ‘ulama’, ‘tok guru’, ‘ustaz’, ‘kiyai’, dan berbagai lagi, hanyalah pemberian dan panggilan yang diberikan oleh manusia. Ia hanyalah anggapan baik atas faktor-faktor luaran yang dilihat pada seseorang dan persepsi yang ada dalam gambaran pihak yang memanggil atau memberikan gelaran tersebut.

Samalah juga dengan Professor, Dr dan seumpamanya, walaupun ia menerusi proses yang tertentu, namun itu bukan pertabalan yang ditetapkan Allah seperti pertabalan nabi dan rasul. Ertinya, gelaran-gelaran itu bukanlah jaminan untuk mereka tidak salah, atau melakukan dosa kecil mahupun besar. Ia bukan jaminan kemaksuman. Ia hanya sangkaan baik sesama manusia.

Sebab itu, ada golongan yang dinamakan ‘ulama jahat’. Maka, hormati golongan agama dengan kadar-kadarnya, namun jika ada pandangan atau tindakan mereka melampaui batasan kebenaran dan ilmu, kita akan menyanggahi atau berbeza dengannya tanpa perlu mengukur kadar ‘gelaran’ atau berat serban, atau labuh jubah yang dipakai.

Masyarakat Islam Malaysia hari ini antara masyarakat yang agak berharta. Maka, ramailah yang datang dari dalam negara dalam luar menonjolkan berbagaikan kelebihan agama yang sebahagian mereka mempunyai agenda ‘wang besar’ ke atas kita. Cerita-cerita keajaiban kiyai itu dan ini mula kedengaran. Kehebatan jampi dan air liur tok guru itu dan ini mula dipromosikan. Ramai yang menjadi kaya kerananya. Jika ini tidak dibendung, ia akan menjerumuskan masyarakat kita kepada minda khurafat, bukan minda kewarasan dan ilmu.

Mereka ini kadang-kala cuba berperwatakan melebihi watak Nabi s.a.w dan para sahabat baginda. Sehingga seseorang memaklumkan kepada saya bahawa di tempatnya, ada penceramah (barangkali ada tauliah) berceramah tentang kelebihan guru tarekatnya yang boleh berhubung langsung dengan nabi dan para wali. Ceritanya itu mengingatkan saya kepada apa yang pernah disebut oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) menjawab golongan sufi yang seperti itu di zamannya, kata beliau:

“Dalam kalangan mereka (golongan sufi) ada yang melihat empunya kubur datang kepadanya, sedangkan telah lama mati. Lalu dia (jelmaan itu) berkata: “Akulah si fulan”. Mungkin juga dia berkata : “Kami ketika diletakkan di dalam kubur kami boleh keluar…”.

Ulas Ibn Taimiyyah lagi : « Syaitan dalam banyak keadaan menyerupai rupa insan, samada dalam tidur atau jaga. Kadang-kala dia datang kepada sesiapa yang tidak tahu dan berkata : “Akulah syeikh si fulan, atau alim si fulan”. Kadang kala syaitan berkata : “Akulah Abu Bakr, Umar…” Kadang-kala pula dia datang ketika jaga (yaqazah) bukan mimpi lalu berkata : “Aku al-Masih (Isa)” , atau “aku Musa” atau “aku Muhammad” ».

Kata Ibn Taimiyyah lagi : « Aku tahu perkara yang seperti ini berlaku dalam berbagai-bagai cara. Maka di sana ada yang mempercayai bahawa para nabi datang dalam jaga (yaqazah) dalam rupa mereka yang asal. Di sana juga ada para syeikh yang zuhud, berilmu, warak dan beragama mempercayai perkara seperti ini. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia apabila datang ke kubur seseorang nabi, maka nabi tersebut akan keluar daripada kuburnya –dalam rupanya yang asal- dan bercakap dengannya. Di kalangan mereka ada yang melihat rupa seseorang syeikh di bahagian dalam Ka’bah, dia berkata: “Aku Ibrahim al-Khalil (Nabi Ibrahim)”. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa Nabi S.A.W keluar daripada hujrah (bilik persemadian atau kubur) baginda lalu bercakap dengannya. Golongan sufi menganggap ini sebagai karamahnya. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia jika bertanya orang di dalam kubur nescaya mereka akan menjawabnya”.

Sehingga Ibn Taimiyyah menceritakan ada di kalangan mereka yang apabila ada masalah akan datang dan bertanya kepada Nabi S.A.W, lalu Ibn Taimiyyah menyebut: “Sehingga kata Ibn `Abd al-Barr (ilmuwan agung Andalus, minggal 463H) kepada mereka yang mempercayai sebegini: “Celaka engkau, apakah engkau berpendapat orang ini lebih afdhal daripada al-Sabiqin al-Awwalin (para sahabat Nabi s.a.w yang awal menganut Islam) dari kalangan Muhajirin dan Ansar?. Apakah ada di kalangan Muhajirin dan Ansar sesiapa yang bertanya Nabi S.A.W (selepas baginda wafat) dan baginda menjawabnya?!! Sahabah telah bercanggah pendapat (selepas kewafatan Nabi s.a.w) dalam banyak perkara, adakah mereka bertanya Nabi S.A.W. dan baginda menjawabnya?!!. Ini Fatimah anak baginda yang berselisih pendapat dalam pusaka baginda, adakah beliau bertanya Nabi S.A.W dan baginda menjawabnya”. (Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 5/399, Riyadh: Maktab al-`Abikan).

Namun, malang sekali sepanjang sejarah, masih ada yang termakan dengan perkara-perkara yang seperti ini disebabkan mereka gagal membezakan antara menghormati tokoh agama dan mensucikannya. Cenderungan sesetengah penceramah agama melarang fikiran kritis dan akal yang aktif umat Islam, amat bercanggah dengan ajaran Islam.

Mereka itu sering berkata: “terima sahaja apa yang ulama atau tok guru cakap, jangan banyak fikir, Islam bukan ikut akal”. Islam mana yang tidak berteraskan akal yang matang dan benar?! Tok guru mana pula yang maksum semua cakapnya?! Ini akibat pembolotan kuasa pengaruh atas nama agama dan kegagalan umat membezakan antara menghormati dan mensucikan.