I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, June 24, 2010

Adakah Sunnah & Syiah sama?


Gambar Imam Ali oleh Syiah

Assalamualaikum,
Bercakap tentang Syiah,ramai dikalangan kita yang menyangka bahawa antara ahli sunnah dengan Syiah tiada perbezaannya sama saja.Akan timbul kata kata "kita Islam mereka pun Islam" apa bezanya?.Ada orang kata Syiah Ismailiyyah itu hampir kepada Sunnah? betulkah dakwaan ini? Kalau benar adakah golongan ini wujud sekarang? Antara ciri ciri syiah:
1.Mengkafirkan Khulafa'Ar Rasyisin kecuali Ali Abi Talib & beberapa org sahabat yg lain.
2.Mengamalkan konsep Takiah(berpura pura). Apabila berada di kalangan org sunnah mereka menjadi sunnah,tetapi apabila berada di kalangan Syiah mereka menjadi Syiah.
3.Sangat taksub kepada pemimpin,& gemar melukis gambar orang yg mereka puja termasuk Ali Abi talib,Husin & Hasan.Terbaru khabarnya telah ditemui lukisan potret Rasullullah s.a.w. Allahua'lam.

Bagi mereka yg kurang mengkaji & tak mahu mengkaji lansung mereka tidak akan nampak perbezaanya baik dari segi Aqidah ibadah dan yang lainnya.Menurut sumber JAKIM bahagian penyelidikan aqidah,bahawa fahaman Syiah telah merebak di negara kita ini selepas Revolusi Islam Iran.Sekarang fahaman ini telah meresap ke Institusi pengajian tinggi Awam,dimana ada di antara mereka terdiri dari golongan Intelektual Melayu.

Sesungguhnya kalau di lakukan pengkajian yang mendalam ttg Mazhab syiah,maka disitu kita akan nampak jelas ada jurang perbezaan yang amat jauh antara syiah & Sunni,lebih lebih lagi kalau di buat pengkajian dari sudut sejarah kita akan temui begitu banyak penyelewengan fakta sejarah yg di lakukan oleh mereka.

Penulis bukanlah orang yg selayaknya menulis ttg Mazhab Syiah.Untuk tujuan itu penulis akan bawakan video penerangan ttg Syiah yg akan disampaikan oleh seorang tokoh iaitu Dato' Dr.Harun Taib.

Mudah2an di menfa'atkan



Video 1



Video 2



Video 3

Azan Syiah



Video 4

Thursday, June 17, 2010

Melafazkan niat untuk beribadah



Assalamualaikum,

Sebagaimana yang sedia kita maklum dalam Islam,setiap amal(perbuatan)di mulakan dengan niat tak kira samaada amalan itu baik atau sebaliknya.Kalau amalan baik kita akan memperolehi pahala dan amalan kejahatan (keji) akan mendapat dosa.Setiap amal ibadah yang hendak kita lakukan wajib disertakan dengan niat sebagaimana sabda Nabis.a.w. “Bahawasanya segala amal itu disertakan niat dan setiap orang akan mendapat balasan sesuai dengan niatnya”. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Apakah yang dimaksudkan dengan niat? menurut Imam besar kita Imam Syafii yg dikatakan niat dari segi istilah ialah :
Qasad (maksud), azam ('azamul qalb/cita-cita) dan iradah (al-iradatul jazimah, iaitu kehendak / keinginan hati dalam keadaan yang sedar).Menurut Imam Syafii kalau ketiga tiga perkara ini telah kita faham dan tersemat di dalam hati maka itulah yg dikatakan niat atau dengan kata lain kita telah berniat.

Kalau menurut syarak pula ialah “Berazam (bertekad) untuk melaksanakan ibadah semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala”.

Qasad, 'azam dan iradah tempatnya di hati, kerana ia adalah kerja hati (عَمَلُ الْقَلْب) bukan kerja lidah. Oleh itu, niat tidak perlu dilafaz atau diucapkan, inilah yang disepakati oleh jumhur ulama dan etimologis. Niat juga diertikan sebagai: “Kehendak, maksud (tujuan) dan keazaman” bukan paksaan. (Lihat: الشرح الممتع على زاد المستقنع , Hlm. 283. Jld. 2. Muhammad bin Soleh al-Uthaimin)

Ada pun syarat niat pula ialah “Diketahui atau disedari oleh hati” kerana niat hanya bertempat di hati bukan lidah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

اَلنِّيَّةُ هَاهُنَا ثُمَّ اَشَارَ اِلَى صَدْرِهِ

Niat itu tempatnya ialah di sini, kemudian baginda menunjukkan ke arah dadanya”.

Sebelum memulakan apapun jenis ibadah, tidak perlu menyusun atau mereka-reka ayat (jumlah) niat untuk dibacakan pada setiap amal, sama ada dengan suara jahrah (kuat) atau perlahan. Penyusunan niat sehingga menjadi sebuah ayat tidak pernah berlaku di zaman Rasulullah atau zamah Salaf as-Soleh (generasi awal umat Islam).

Pendapat yang mewajibkan melafaz niat sebelum memulakan amal ibadah seperti solat dan lain-lainnya, adalah berpunca dari pandangan Abu Abdullah az-Zubairi dari kalangan ulama Syafi’e. Beliau menyangka Imam Syafi’e mewajibkan untuk melafazkan niat di dalam setiap ibadah yang akan dikerjakan. Beliau terkeliru terhadap qaul Imam asy-Syafie iaitu:

قَالَ الشَّافِعِيُّ : اِذَا نَوَى حَجًّا وَعُمْرَةً اَجْزَاَ وَاِنْ يَتَلَفَّظَ وَلَيْسَ كَالصَّلاَةِ لاَتَصِحُّ اِلاَّ بِالنّطْقِ“Jika berniat untuk haji dan umrah diharuskan sekalipun dilafazkan. Dan tidak seperti solat ia tidak sah kecuali dengan dilafazkan.(lafaz takbir).” Yang dimaksudkan oleh Imam Syafii di lafazkan adalah lafaz takbir semasa hendak memulakan solat bukan melafazkan niat.

Menurut Imam an-Nawawi rahimahullah tentang ibarah (perkataan asy-Syafi’e) di atas:

قَالَ اَصْحَابُنَا: غَلَطَ هَذَاالْقَائِلُ وَلَيْسَ مُرَادُ الشَّافِعِيُّ بِالنَّطْقِ فِىالصَّلاَةِ هَذَا بَلْ مُرَادُهُ التَّكْبِيْر“Berkata para sahabat kami: Telah berlaku kesilapan oleh orang yang mengatakannya, kerana bukan itu yang dimaksudkan oleh asy-Syafi’e tentang apa yang diucapkan pada solat, tetapi yang dimaksudkan ialah supaya diucapkan takbir (bukan mengucapkan niat)”. (Lihat: المجموعة. (2/234))

Berkata pula Ibn Abi al-‘Izzi al-Hanafi rahimahullah:

لَمْ يَقُلْ اَحَدٌ مِنَ الاَئِمَّةِ الاَرْبَعَةِ ، لاَ الشَّافِعِى وَلاَ غَيْرِهِ بِاِشْرَاطِ التَلَّفُظِّ بَالنِّيَّةِ وَاِنَّمَا النِّيَّةُ مَحَلُّهَا الْقَلْبِ بِاتِّفَاقِهِمْ

“Tidak seorang pun dari para imam yang empat walaupun asy-Syafi’e dan selainnya mengisyaratkan agar melafazkan. Adapun niat itu tempatnya di hati sebagaimana dipersetujui oleh semua ulama.” (Lihat: الامر بالاتباع والنهي عن الابتداع. Hlm. 62)

Berkata Ibn al-Qaiyim rahimahullah:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِذَا قَامَ اِلَى الصَّلاَةِ قَالَ : (اَللهُ اَكْبَرُ) وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا قَبْلَهَا وَلاَتَلَفُّظُ بِالنِّيَّةِ . وَلاَ قَالَ : اُصَلِّيْ ِللهِ صَلاَةً كَذَا مُسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ اِمَامًا اَوْ مَاْمُوْمًا . وَلاَ قَالَ : اَدَاءً وَلاَ قَضَاءً وَلاَ فَرْضَ الْوَقْتِ . وَهَذَا عَشْرُ بِدْعٌ لَمْ يَنْقُلْ عَنْهُ اَحَدٌ قَطْ بِاِسْنَادٍ صَحِيْحٍ وَلاَضَعِيْفٍ وَلاَمُرْسَلٍ لَفْظَةً وَاحِدَةً مِنْهَا البَتَّة . بَلْ وَلاَ عَنْ اَحَدٍ مِنَ الصَّحَابَةِ وَلاَ اِسْتَحْسَنَهُ اَحَدٌ مِنَ التَّابِعِيْنَ وَلاَ اْلاَئِمَّةِ الاَرْبِعَةِ وَاِنَّمَا غَرَّ بَعْضَ الْمُتَاَخِّرِيْنَ مِنْ قَوْلِ الشَّافِعِي

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila berdiri untuk solat mengucapkan (Allahu Akbar). Tidak pernah baginda berkata sesuatu sebelumnya dan sama sekali tidak pernah melafazkan niat. Baginda tidak pernah melafazkan: Sengaja aku sembahyang menghadap kiblat empat rakaat imaman atau makmuman kerana Allah. Tidak pernah melafazkan tunai atau qadza atau difardukan kerana masuk waktu yang mana ini semua adalah bid'ah. Tidak pernah disalin (melafazkan niat) sama ada melalui (hadis) sahih, hadis lemah, dari musnad atau berupa hadis mursal walaupun satu lafaz darinya. Sebaliknya tidak pernah juga disalin walaupun dari seorang sahabat, dari sangkaan baik oleh tabiin dan tidak juga dari para imam yang empat. Namun terdapat sebilangan dari orang-orang terkemudian tergesa-gesa (kurang memahami) tentang qaul asy-Syafi’e”. (Lihat: زاد المعاد. (1/201). Ibn al-Qaiyim)

Pendapat yang mengatakan lafaz itu adalah semata mata untuk menguatkan hati dan untuk mencantikan agama adalah pendapat akal yang tidak berdasarkan kepada dalil.Sesiapa yang menyangka melafazkan niat itu sunnah dan mendakwa melafazkan niat adalah dari asy-Syafi’e, maka itu adalah suatu kesilapan. (Lihat:القول المبين فى اخطاء المصلين. Hlm. 95. Abu 'Ubaid Masyhur bin Hasan bin Mahmud bin Salman)


Allahua'lam.

Sumber rujukan : http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2008/10/132-melafazkan-niat-untuk-beribadah.html

Friday, June 11, 2010

Refresh : Adakah menyentuh/tersentuh wanita membatalkan wuduk?

Assalamualaikum,
Baru baru ini penulis ada menerima beberapa mail dari pengujung blogger penulis.Mereka meminta penulis mengemukakan kembali artikel ttg "adakah menyentuh perempuan membatalkan wuduk" sebagaimana yg pernah penulis hantar pada penghujung disember lepas atau awal Januari tahun ini.Salah seorang dari mereka mengatakan bahawa dia merasa bingung dan keliru ttg masalah ini.Menurutnya apa yg dia terima dan belajar masa sekolah dulu ustaz2 mengajar kepada kita batal wuduk kalau tersentuh perempuan yg bukan mahram.Dan sejak akhir2 ini ada pulak ustaz2 yg menghukum tidak batal dgn menyentuh perempuan.

Untuk menjawab persoalan ini,sekali lagi penulis siarkan artikel mengenai isu tersebut yg ditulis oleh Saudara Mohd Yaakub Mohd Yunus dari Kuliyyah Sains Kemanusiaan dan Ilmu Wahyu & Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).Walau pun isu ini agak sensitif,penulis harapkan kita semua tidak emosi dalam menanganinya. Apa pun pendapat yg kita yakini janganlah hendaknya kita saling salah menyalah antara satu sama lain.Insya'Allah diakhir tulisan beliau kita akan temui jawapannya berdasarkan kepada pendapat yg lebih kuat di antara pendapat2 tersebut.

ADAKAH MENYENTUH WANITA MEMBATALKAN WUDUK?
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus
Kuliyyah Sains Kemanusiaan dan Ilmu Wahyu & Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Rata-rata umat Islam di Malaysia berpendapat bahawa menyentuh wanita yang bukan muhrim itu membatalkan wuduk walau dalam apa keadaan sekalipun sama ada dengan syahwat mahupun tidak. Pendapat ini juga merupakan pendapat yang dipegang oleh Imam Muhammad bin Idris al-Syafi'i rahimahullah dan beliau berkata:

Apabila seseorang lelaki menyentuhkan tangan isterinya, atau bersentuhan sebahagian tubuhnya kepada sebahagian tubuh isterinya di mana tidak ada pembatas antara dia dan isterinya, baik dengan nafsu berahi atau tidak, maka wajib atas keduanya berwuduk. Imam al-Syafi'i, Ringkasan kitab al-Umm, (edisi terjemahan oleh Mohammad Yassir Abd Mutholib, Pustaka Azzam, Jakarta, 2005) jilid 1,
ms. 25.)

Dalil yang telah dipergunakan oleh Imam al-Syafi' rahimahullah adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena
air), atau dalam perjalanan, atau salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu
bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. Al-Maaidah (5) : 6

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri solat (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. al-Nisaa' (4) : 43

Bagi Imam al-Syafi'i rahimahullah ayat "atau kamu sentuh wanita" menjadi bukti bahawa tersentuh kulit di antara lelaki dan wanita itu membatalkan wuduk. Sebelum kita meneruskan perbincangan ini ada
baiknya sekiranya kita memahami bagaimanakah manhaj atau pegangan Imam al-Syafi'i yang juga di kenali dengan gelaran al-Nashir al-Sunnah (Seorang Pembela Sunnah) dan hal-hal yang bersangkutan ibadah.
Imam al-Syafi'i berkata:

Bila suatu masalah ada hadisnya yang sah daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menurut kalangan ahlul Hadis, tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya, baik selama aku hidup mahupun setelah aku mati.Diriwayatkan oleh Abu Nu'aim di dalam al-Hilyah, al-Harawi, Ibnul Qayyim di dalam al-I'lam dan al-Fullani. Penulis nukil daripada buku Sifat Shalat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani (edisi terjemahan oleh Muhammad Thalib, Media Hidayah, Yogyakarata, 2000), ms. 59. Di mukasurat yang seterusnya buku ini hanya akan disebut sebagai Sifat Shalat Nabi.Selanjutnya Imam al-Syafi'i rahimahullah juga berkata: Setiap hadis yang datang daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bererti itulah pendapatku, sekalipun kalian tidak mendengarnya sendiri daripada aku. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim di dalam Adabu Asy-Syafi'i, ms. 93-94. Penulis nukil daripada buku Sifat Shalat Nabi, ms. 58

Masih terdapat banyak lagi kata-kata Imam al-Syafi'i rahimahullah yang senada dengan apa yang telah penulis turunkan di atas. Oleh itu melalui risalah ringkas ini penulis akan sedaya upaya mengupas isu ini dengan merujuk kepada dalil-dalil yang sabit daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

TAKRIFAN SEBENAR BERSENTUH DENGAN PEREMPUAN.

Bersentuh di dalam kedua ayat al-Qur'an di atas sebenarnya bukan merujuk kepada bersentuh antara kulit tetapi ianya sebenarnya merujuk kepada jimak (persetubuhan).Terdapat beberapa ayat di dalam al-Qur'an yang juga menggunakan istilah bersentuh tetapi ianya hanya menyatakan kepada makna jimak.

Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (jimak) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa.Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan. Al-Baqarah (2) : 237

Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh (dijimak) oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?" Maryam(19) : 20

Jelas kedua-dua ayat di atas merujuk bersentuh sebagai berjimak. Ibnu `Abbas radhiallahu 'anh yang merupakan pakar tafsir al-Qur'an dikalangan para sahabat juga mentafsirkan bersentuh di dalam surah al-Nisaa' dan al-Maaidah yang telah dipergunakan oleh Imam al-Syafi'i rahimahullah sebagai dalil untuk menguatkan hujahnya sebagai jimak. Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata berkata:

Sedangkan makna menyentuh yang kemudian dijadikan dalil bahawa itu adalah hubungan badan (jimak) di dalam ayat dia atas (iaitu di dalam surah al-Nisaa' dan al-Maaidah), adalah seperti yang ditafsirkan oleh Ibnu `Abbas (radhiallahu 'anh). Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, (edisi terjemahan oleh Samson Rahman, Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2004) ms. 239.

Syaikh al-`Utsaimin rahimahullah memiliki penjelasan yang begitu baik tentang surah al-Maaidah ayat ke 6 dan beliau telah membuktikan bahawa firman-Nya "kamu sentuh perempuan" itu bermaksud jimak. Ayat
tersebut dimulakan dengan pembahagian thaharah asli kepada dua iaitu berwuduk untuk hadas kecil dan mandi wajib untuk hadas besar.Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: "…apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki
kamu meliputi buku lali…" menetapkan tentang diwajibkan berwuduk apabila berhadas kecil untuk bersolat.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: "…dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib…" menerangkan bahawa apabila kita berhadas besar diwajibkan mandi wajib.

Selanjutnya ayat tersebut menceritakan tentang thaharah pengganti apabila tidak ada air yakni dengan bertayamum. Jika di awal ayat tersebut Allah Subhanahu wa Ta'ala telah membahagi thaharah asli untuk hadas besar dan hadas kecil, tentu sekali thaharah pengganti yakni tayamum juga akan meliputi perbahasan untuk hadas besar dan hadas kecil agar ianya sesuai dengan balaghah (sastera bahasa) al- Qur'an. Antara contoh-contoh yang Allah 'Azza wa Jalla pamerkan untuk thaharah pengganti adalah:

1) dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air),
2) atau dalam perjalanan,
3) atau salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang air,
4) atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi),

Perkara (1), (2) dan (3) adalah hadas kecil manakala perkara (4) sebenarnya merujuk kepada perbuatan yang melibatkan terjadinya hadas besar yakni berjimak.

Oleh itu Syaikh al-`Utsaimin rahimahullah membuat kesimpulan:Yang tepat bahawa ayat ini (al-Maaidah (5) : 6) menunjukkan bahawa firman-Nya: atau kamu sentuh perempuan maksudnya jika kamu menyetubuhi (berjimak) wanita agar ayat ini meliputi dua sebab yang mengharuskan bersuci (thaharah) iaitu hadas besar dan hadas kecil. Dan berwuduk meliputi empat anggota badan, sedangkan mandi (wajib) meliputi seluruh badan. Sedangkan thaharah pengganti iaitu tayamum meliputi dua anggota tubuh sahaja baik tayamum untuk hadas kecil mahupun besar. Syaikh Muhammad bin Shalih al-`Utsaimin, Majmu' Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah : Bab Ibadah, (edisi terjemahan oleh Furqan Syuhada, Qosdi Ridwanullah dan Irwan Raihan, Pustaka Arafah, Solo, 2002) ms. 291.

Oleh itu ayat-ayat tersebut sebenarnya hanya menjelaskan bahawa sekiranya terjadi jimak atau persetubuhan di antara lelaki dan wanita maka hal tersebut membatalkan wuduk.


PETUNJUK DARI SUNNAH NABI SHALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM

Terdapat beberapa hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang menunjukkan sekadar bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita ianya tidak membatalkan wuduk.Daripada `Aishah radhiallahu 'anha isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dia berkata:

Aku tidur dihadapan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, sedang kakiku di arah kiblatnya. Maka apabila baginda hendak bersujud, baginda mencolekku, maka aku lantas melipat kakiku. Hadis riwayat Imam
Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, kitab al-Shalah, hadis no: 382
Daripada `Aishah radhiallahu 'anha dia berkata:
Pada suatu malam aku kehilangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, maka aku mencarinya dengan tanganku, kemudian tanganku mengenai telapak kaki baginda yang sedang tertegak dalam keadaan bersujud. Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, kitab al-Shalah, hadis no: 486

Maka dari kedua hadis di atas jelaslah bahawa sekadar bersentuhan kulit sahaja tidaklah membatalkan wuduk. Ada sesetengah pihak beranggapan bahawa di dalam kedua-dua peristiwa di atas persentuhan tersebut sebenarnya berlaku di dalam keadaan berlapik namun ini di sanggah oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.Menurut beliau:Penafsiran bahawa memegangnya dengan menggunakan pembatas (berlapik)
adalah sebuah penafsiran yang jauh terpesong dari zahir hadis. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms 236

Hal ini akan menjadi semakin jelas apabila kita meneliti hadis seterusnya. Daripada `Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata: Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mencium sebahagian isteri- isterinya lalu pergi solat tanpa berwuduk lagi.Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunan Tirmidzi, kitab al-Thahaarah, hadis no: 79, Imam Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah, kitab al-Thahaarah,
hadis no: 495 dan Imam Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 24584.Daripada `Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata: "Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menciumnya sedang baginda berpuasa." Kemudian Nabi bersabda:

Ciuman ini tidaklah merusakkan (membatalkan) wuduk dan tidak pula membatalkan puasa
. Menurut Syaikh Sayyid Sabiq hadis ini dikeluarkan oleh Ishak bin Rahawaih dan al-Bazzar dengan sanad yang cukup baik. Menurut Abdul Hak, tidak ada cacat untuk tidak mengamalkannya. Penulis nukil dari kitab Fikih Sunnah, (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 1, ms.
113.

Menerusi hadis-hadis di atas maka para ulamak menguatkan hujah mereka bahawa menyentuh perempuan sama ada disertai dengan syahwat mahupun tidak, ianya tidak membatalkan wuduk. Ini adalah kerana kebiasaanya bercium itu disertai dengan syahwat. Sekiranya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ingin membezakan bahawa ciuman yang bersyahwat itu membatalkan wuduk sementara ciuman yang biasa tidak membatalkan wuduk pasti ada riwayat darinya yang menggambarkan tentang perbezaan tersebut.
Namun hadis di atas dibiarkan di dalam bentuk yang umum. Menurut Syaikh Sa'id al-Qahtani:Menyentuh perempuan berdasarkan pendapat yang kuat tidak membatalkan wuduk, baik disertai syahwat mahupun tidak, selama tidak disertai keluarnya mani atau madzi kerana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah suatu ketika mencium sebahagian isterinya, lalu solat tanpa memperbaharui wuduknya. Sa'id bin `Ali bin Wahf al-Qahtani, Thaharah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam: Tuntunan Bersuci Lengkap, (Edisi terjemahan oleh Abu Shafiya, Media Hidayah, Jogjakarta, 2004) ms. 86.

Menurut Fahd al-Syuwayyib, penulis kitab al-Ta'lieqaat al-Salafiyah' ala Sunan al-Nasa'i berkata:

Perkataan ghomazani (mencolek) atau seperti di dalam hadis al-Nasai massani bi rijilih (menyentuhku dengan kakinya), adalah maklum bahawa hal itu berarti menyentuh tanpa syahwat. Maka pengarang
menjadikannya sebagai dalil bahawa menyentuh tanpa syahwat itu tidak membatalkan wuduk. Adapun jika menyentuh dengan syahwat, maka alasan bahawa tidak batal kerananya ialah kembali kepada asal, iaitu tidak ada dalil yang menunjukkan tentang ianya membatalkan, sehinggalah orang yang berpendapat hal itu membatalkan dapat menunjukkan dalilnya. Dan ini cukup menjadi alasan hal itu tidak membatalkan.
Bahkan akan nampak dalil yang mengindikasikan tidak membatal wuduk, iaitu hadis mengenai qublah (mencium), yang menurut kebiasaan bahawa mencium itu tidak terbebaskan dari adanya syahwat. Syaikh Muhammad bin Shallih al-`Utsaimin dan Fahd bin Abdur Rahman al-Syuwayyib, Beginilah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam Berwudhu', (edisi terjemahan oleh Azhar Khalid Seff, Darus Sunnah, Jakarta, 2005), ms.
95-96

Selanjutnya Fahd al-Syuwayyib berkata:
Apabila suami dan isteri merasa aman dari keluarnya suatu cairan, maka menyentuh itu tidak membatalkan wuduknya tetapi yang lebih utama adalah mengambil sikap berhati-hati kerana ada kalanya dia tidak dapat menjamin tidak keluarnya sesuatu cairan di dalam keadaan ini (adanya syahwat). Wallahu'alam. Syaikh Muhammad bin Shallih al-`Utsaimin dan Fahd bin Abdur Rahman al-Syuwayyib, Beginilah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam Berwudhu', ms. 97.

Inilah beberapa petunjuk yang dapat kita ambil dari hadis-hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berkaitan dengan perbahasan sama ada menyentuh wanita itu membatalkan wuduk ataupun tidak. Hadis-hadis
tersebut jelas menunjukkan ianya tidak membatalkan wuduk malah sebenarnya tidak wujud satu petunjuk pun daripada baginda bahawa hal tersebut boleh membatalkan wuduk. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu
Taymiyyah rahimahullah di dalam Majmu' al-Fatawa, jilid 21, ms. 235-236:

Adapun wajib wuduk nyata kerana menyentuh wanita dengan tanpa syahwat maka yang demikian adalah pendapat yang paling lemah. Pendapat ini tidak dikenal daripada salah seorang sahabat manapun. Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi bahawa dia memerintahkan kaum muslim untuk berwuduk kerana disebabkan hal tersebut. Padahal in adalah masalah yang sering terjadi yang hampir-hampir kaum muslim
tidak dapat menghindarkan diri darinya. Sebab seorang lelaki selalu mengambil sesuatu dari isterinya dan mengambilnya dengan tangannya.

Dan yang serupa itu yang terjadi kepada kebanyakkan manusia. Maka andaikata wuduk diwajibkan disebabkan kerana itu (iaitu bersentuhan lelaki dan wanita - pen) pastilah Rasulullah memerintahkan sekali
ataupun dua kali dan akan tersebar luas di tengah para sahabat. Andaikata Rasulullah melakukan itu maka pasti akan ada hadis yang ditulis mengenai hal ini walaupun hadis ahad. Maka ketika tidak ada
satu hadispun yang memerintahkan masalah ini dari salah seorang dari kaum muslimin –padahal ini sering kali terjadi- boleh kita fahami bahawa hal itu tidak wajib. Dinukil daripada kitab Fikih Thaharah karya Dr Yusuf al-Qaradhawi, ms. 239

KESIMPULAN

Setelah membentang serta membahasakan semua pandangan yang ada di dalam mazhab-mazhab fikah berkaitan isu sama ada menyentuh wanita membatalkan wuduk ataupun tidak, Dr Yusuf al-Qaradhawi membuat kesimpulan seperti berikut (Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 240):

Kami menyatakan bahawa pendapat yang paling kuat dalam masalah ini adalah tidak batalnya wuduk secara mutlak. Sebab yang menjadi sandaran orang-orang mengkritik pandangan ini adalah ayat yang mulia ini. (Iaitu surah al-Nisaa' ayat ke 43 dan Surah al-Maaidah ayat ke 6). Padahal tidak ada dilalah (indikasi) yang menunjukkan hal itu (yakni menyentuh wanita membatalkan wuduk – pen) di dalam ayat
tersebut. Pandangan ini sama dengan apa yang dikatakan oleh Ibnu `Abbas (radhiallahu 'anh), Sang Tarjuman al-Qur'an (pakar tafsir al-Qur'an) dan orang yang Rasulullah doakan semoga Allah
mengajarkan takwil (tafsiran). Pandangan ini sangat sesuai dengan penutup ayat ini:

Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu
bersyukur. Al-Maaidah (5) : 6

Syaikh Shalih Fauzan pula berkata:Akan tetapi pendapat yang kuat adalah tidak membatalkan (wuduk
apabila menyentuh wanita) secara mutlak, kecuali bila keluar sesuatu cairan dari orang yang menyentuh dan disentuh, seperti madzi dan sebagainya. Di dalam keadaan seperti ini, wuduk orang yang bersangkutan batal disebabkan sesuatu yang keluar darinya dan bukan kerana memegang
. Syaikh Shalilh bin Fazan bin `Abdullah al-Fauzan, Fatwa-Fatwa Syaikh al-Fauzan, (edisi terjemahan oleh Ali Murtadho Syahudi, Jakarta, 2004) ms.153


Penulis melihat sewajarnya kita melihat isu ini dengan minda yang bersih dari sifat fanatik mazhab. Apatah lagi Imam al-Syafi'i rahimahullah sendiri menganjurkan kita untuk lebih mengutamakan sunnah Nabi


shallallahu 'alaihi wasallam dari pendapat beliau sendiri dan sekiranya terdapat sunnah Nabi yang bertentangan dengan pandangan beliau maka tolaklah pendapat beliau. Firman Allah 'Azza wa Jalla:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-
bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. al-Nisaa' (4): 59

Melalui ayat di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala mewajibkan bagi kita sekiranya terjadi sesuatu perselisihan pendapat samada dalam perkara yang pokok atau cabang dalam agama, hendaklah dirujuk semula kepada
al-Qur'an dan al-Sunnah untuk mendapatkan kepastian tentang pandangan mana yang lebih benar dan tepat. Keengganan mencerminkan sikap seseorang yang tidak beriman sepenuhnya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan hari akhirat.

Tambahan pula antara manhaj Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam membuat pilihan ketika memberi pandangan adalah sebagaimana yang dikhabarkan oleh Umm al-Mukminun `Aishah radhiallahu 'anha:Tidaklah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam jika diberi dua pilihan kecuali baginda memilih yang paling mudah diantaranya selagi tidak mengandungi dosa. Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih
al-Bukhari, kitab al-Hudud, hadis no. 6786

Penulis melihat hukum batalnya wuduk apabila bersentuhan di antara lelaki dan wanita agak memberatkan serta menyukarkan umat Islam terutamanya bagi pasangan suami isteri. Kesukaran ini akan kelihatan lebih jelas lagi apabila kita terpaksa berasak-asak di dalam keadaan jumlah orang yang begitu ramai seperti ketika melaksanakan ibadah haji atau umrah. Untuk meringankan kesukaran ini maka ada pihak yang mengambil pendirian untuk bertaklid kepada mazhab Imam Ahmad hanya ketika melaksanakan ibadah haji dan umrah. Saranan penulis kenapa tidak kembali sahaja kepada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam
yang sememanganya memudahkan umatnya. Sabda baginda shallallahu 'alaihi wasallam:Sesungguhnya kalian diutus untuk memberikan kemudahan dan tidak diutus untuk menyulitkan. Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, kitab al-Wudhu', Hadis no: 220

Baginda juga telah memerintahkan kita untuk mempermudahkan segala urusan sebagaimana sabdanya:
Permudahkanlah dan jangan kamu persulitkan. Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, kitab al-'Ilm, Hadis no: 69

Semoga kemudahan yang Allah Subhanahu wa Ta'ala anugerahkan kepada kita semua akan menjadi pilihan kita kerana mustahil apa yang datangnya daripada Allah dan Rasul-Nya serta menjadi amalan para
sahabat Nabi radhiallahu 'anhum akan mengandungi unsur-unsur dosa. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala hanya menginginkan kemudahan kepada hamba-hamba-Nya dan tidak mahu memberati kita semua. Ini sebagaimana Firman-Nya: (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran… al-Baqarah (2) : 185

Allahua'lam