I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, April 8, 2010

Ahli Sunnah Wal Jamaah




Ustaz Rasul Dahri

B A Syariah,Dakwah & Usuluddin

Universiti Ummul Qura Mekah

AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH

Pengistilahan atau laqab “Ahli Sunnah wal-Jamaah” bermula pada akhir zaman sahabat. Ada yang menyatakan ia bermula apabila timbulnya zaman fitnah terutama fitnah yang berlaku antara Ali dan Mu’awiyah radiallahu ‘anhuma. Dimana setelah munculnya golongan ahli bid’ah seperti Khawarij, Rafidhah[1] atau Syiah,[2] Jahmiyah,[3] Qadariyah dan sebagainya, yang mana mereka terkenal dengan bid’ah-bid’ahnya dan banyak perselisihannya dalam persoalan hadis dan makna-makna al-Quran. Untuk membezakan antara golongan yang sunnah dan bid’ah maka para ulama hadis menentukan siapa Ahli Sunnah dan siapa Ahli Bid’ah agar mudah dan hanya diambil sanad atau matan sesebuah hadis dari Ahli Sunnah wal-Jamaah sahaja.

Berkata Ibn Hazam rahimahullah:

“Ahli Sunnah yang kami nyatakan, mereka adalah Ahli Hak dan selain mereka adalah Ahli Bid’ah. (Ahli Hak) adalah para sahabat radiallahu ‘anhum serta sesiapa yang mengikut jalan mereka, terutamanya para tabi’in rahmatullah ‘alaihim. Kemudian Ashabul Hadis dan sesiapa yang mengikut mereka dari kalangan fukaha (Ahli Fikah) dari satu generasi ke satu generasi berikutnya sehinggalah ke hari ini. Begitu juga sesiapa yang mencontohi mereka dari kalangan orang-orang awam sama ada di timur atau di barat”.[4]

Imam Ahmad rahimahullah berkata:

اَهْلُ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ : مَنْ يَعْتَقِدُ مَذْهَب اَهْلَ الْحَدِيْثِ.

“Ahli Sunnah wal-Jamaah ialah: Sesiapa sahaja yang berpegang dengan mazhab Ahli Hadis”.[5]

Imam al-Bukhari rahimahullah mengkhususkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah ialah Ahli Ilmu.[6]

Berkata pula Imam Ahmad rahimahullah:

اِنْ لَمْ يَكُوْنُوْا اَهْل الْحَدِيْثِ فَلاَ اَدْرِيْ مَنْ هُمْ

“Jika sekiranya mereka (Ahli Sunnah wal-Jamaah) bukan kalangan Ahli Hadis, aku tidak tahu siapa mereka?”.

Ada yang menyatakan bahawa mula munculnya istilah Ahli Sunnah wal-Jamaah apabila lahir golongan ahli bid’ah. Dengan bersandar kepada hadis-hadis dan athar maka bermula seruan agar bersatu dalam satu jamaah dengan berpegang kepada sunnah, diperingat dari pertelingkahan dalam agama dan sama sekali tidak melakukan bid’ah dalam agama.[7] Seruan ini diperkuat dengan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

فَاِنَّهُ مِنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةِ شِبْرًا فَمَاتَ اِلاَّ مَاتَ مِيْتَةً جَاهِلِيَّةً.

“Sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan jamaah kadar sejengkal maka ia mati, tidaklah kematiannya itu kecuali ia mati secara jahiliyah”.[8]

Akhirnya julukan Ahli Sunnah wal-Jamaah diberikan kepada sesiapa sahaja yang kembali kepada al-Quran, Sunnah dan ijmak ulama yang dikenali kebenaran pegangan dan pendiriannya. Terutama mereka yang jelas berpegang dengan akidah yang dinukil dari para Salaf as-Soleh rahimahumullah yang diterima langsung dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan dari para sahabat radiallahu ‘anhum.[9] Kerana kita diperintah untuk mencontohi athar mereka (para sahabat) dan berittiba’ kepada sunnah mereka.[10]

Namun gelaran ini diutamakan kepada sesiapa sahaja yang berpegang kepada manhaj Salaf as-Soleh secara umum, yang sentiasa menentang ahli bid’ah di manapun mereka berada, pada bila-bila masa dan ketika sehinggalah keakhir zaman.

ISTILAH AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH

Istilah “Ahli Sunnah wal-Jamaah” terdiri dari tiga kalimah iaitu: Ahli, Sunnah dan Al-Jamaah.

“Ahli” mengikut bahasa bermaksud:

1. "Pakar, Yang Berilmu, Yang Ahli atau Yang Pandai" sebagaimana firman Allah:

فَسْئَلُوْا اَهْلَ الذِّكْرِ اِنْ كُنْتُمْ لاَ تَعْلَمُوْنَ.

"Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui".[11]

2. "Pengikut, Anggota Satu-Satu Fahaman Atau Kumpulan”, sebagaimana firman Allah:

يَا اَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَكْفُرُوْنَ بِاَيَاتِ اللهِ

"Hai Ahli Kitab, mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah padahal kamu mengetahui kebenarannya!". [12]

وَاْمُرْ اَهْلَكَ بِالصَّلاَةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

"Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya".[13]

Antara contoh yang lain ialah:

“Ahli Pertubuhan, Ahli Parlimen, Ahli Mazhab, Ahli Sukan” dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment