I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, August 4, 2010

DOA SELAMAT UNTUK KEMATIAN

OLEH

USTAZ ABU FAROUQ RASUL DAHRI

BAHAGIAN 2/2

DOA SELAMAT UNTUK KEMATIAN

DOA selamat boleh digambarkan dengan berkumpul
bersama-sama (keluarga dan masyarakat sekampung atau
lain-lain) dengan dihidangkan makanan oleh keluarga
yang mengalami kematian. Ianya dilakukan di rumah
keluarga yang mengalami kematian pada hari kematian
atau hari kedua, ketiga, ketujuh, keempat puluh,
keseratus atau sebagainya.

Sebenarnya, apabila diperiksa, dirungkai dan
diperhatikan satu persatu di dalam kitab-kitab
Syafi'yah sama ada pada kitab Fiqh, tafsir mahu pun
syarah-syarah hadith, amalan doa selamat telah ditemui
di situ bahawa ianya adalah amalan yang dilarang atau
dengan kata lain ialah haram.

Hal ini sebenarnya belum diketahui oleh ramai pengikut
mazhab Syafie di kalangan kita sendiri.Jika ada yang
tahu, tentu jumlahnya hanya segelintir sahaja. Oleh
itu, mari kita ikuti bersama bagaimana pandangan
ulama-ulama mazhab Syafie di dalam hal ini.

1. Di dalam kitab Feqh I'anatut Talibin telah
menyatakan,

"Ya, apa-apa yang dilakukan oleh orang iaitu berkumpul
di rumah keluarga mayat dan dihidangkan makanan untuk
perkumpulan itu, ia adalah termasuk bid'ah mungkarat
(bid'ah yang diengkari agama). Bagi orang yang
membanterasnya akan diberi pahala."

(I'anatut Talibin, syarah Fathul Mu'in :juz 2, hal
145)

2. Imam Syafie sendiri tidak menyukai amalan berkumpul
di rumah kematian sepertimana yang telah dikemukakan
di dalam kitab al-Umm, "Aku tidak sukakan mat'am
iaitu berkumpul (di rumah keluarga mayat) meskipun di
situ tiada tangisan kerana hal tersebut malah akan
menimbulkan kesedihan."

(As-Syafie al-Umm : juz 1; hal 248)

3. Selanjutnya di dalam kitab I'anatut Talibin juga
ada menyebut lagi, "Dan perkara yang sudah menjadi
kebiasaan iaitu keluarga mayat menghidangkan makanan
untuk para jemputan yang berkumpul, adalah satu
perkara bid'ah yang tidak disukai agama (Islam).Hal
ini samalah seperti berkumpul di rumah keluarga
kematian itu sendiri kerana terdapat hadith sahih yang
telah diriwayatkan oleh Jarir r.a yang berkata, "Kami
menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga kematian
yang menghidangkan makanan untuk jamuan para jemputan adalah sama dengan hukum niyahah
(meratapi mayat) iaitu haram."

(I'anatut Talibin, juz 2, hal 146)

4. Pengarang kitab I'anatut Talibin juga ada mengambil
keterangan sahih di dalam kitab Bazzaziyah iaitu,
"Dan ianya dibenci, menyelenggarakan makanan pada
hari pertama (kematian), hari ketiga, sesudah seminggu
dan juga memindahkan makanan ke tanah kubur secara
bermusim-musim. "

(I'anatut Talibin, juz 2, hal 146)

5. Di dalam kitab Fiqh Mughnil Muhtaj ada menyebutkan,
"Adalah, keluarga kematian yang menyediakan makanan
dan orang ramai berkumpul di rumahnya untuk menjamu, merupakan bid'ah yang tidak disunatkan,dan di dalam hal ini Imam Ahmad
telah meriwayatkan hadith yang sahih daripada Jarir
bin Abdullah, berkata, "Kami menganggap bahawa
berkumpul di rumah keluarga kematian dan keluarga
tersebut menghidangkan makanan untuk menjamu para
hadirin, adalah sama hukumnya seperti niyahah (meratapi mayat) iaitu haram."

(Mughnil Muhtaj, juz1, hal 268)

6. Di dalam kitab Fiqh Hasyiyatul Qalyubi ada
menyatakan,
"Syeikh ar-Ramli ada berkata, "Di antara bid'ah yang
mungkarat (yang tidak dibenarkan agama), yang dibenci
apabila diamalkan sebagaimana yang telah diterangkan
di dalam kitab ar-Raudhah, iaitu apa-apa yang telah
dilakukan oleh orang yang dinamakan "kifarah" dan
hidangan makanan yang disediakan oleh tuan rumah
kematian untuk jamuan orang yang berkumpul
di rumahnya sama ada sebelum atau sesudah kematian,
serta penyembelihan di tanah kubur."

(Hasyiyatul Qalyubi, juz 1, hal 353)

7. Di dalam kitab Fiqh karangan imam Nawawi iaitu
kitab al-Majmu' syarah Muhazab, ada menyebutkan,
"Penyedian makanan yang dilakukan oleh keluarga
kematian dan berkumpulnya orang yang ramai di
rumahnya, adalah tidak ada nasnya sama sekali,yang
jelasnya semua itu adalah bid'ah yang tidak
disunatkan."

(an-Nawawi, al-Majmu' syarah Muhazab, juz 5, hal 286)

8. Pengarang kitab I'anatut Talibin juga turut
mengambil keterangan di dalam kitab al-Jamal syarah
al-Minhaj yang berbunyi seperti berikut, "Dan di
antara bid'ah mungkarat yang tidak disukai ialah
sesuatu perkara yang sangat biasa diamalkan oleh
individu iaitu majlis menyampaikan rasa duka cita
(kenduri arwah), berkumpul dan membuat jamuan majlis
untuk kematian pada hari keempat puluh, bahkan semua
itu adalah haram."

(I'anatut Talibin, juz 2, hal 145-146)

9. Selanjutnya, pengarang kitab tersebut juga ada
mengambil lagi keterangan daripada kitab Tuhfatul
Muhtaj syarah al-Minhaj yang berbunyi, "Sesuatu
yang sangat dibiasakan oleh seseorang dengan
menghidangkan makanan untuk mengundang orang ramai ke
rumah keluarga kematian merupakan bid'ah yang dibenci
sebab ada hadith yang telah diriwayatkan oleh Jarir
yang berkata, "Kami (para sahabat nabi Sallallahu
`alaihi wasallam) menganggap bahawa berkumpul di rumah
keluarga kematian dan keluarga
tersebut menghidangkan makanan untuk majlis itu
adalah sama dengan hukum niyahah iaitu haram."

(I'anatut Talibin, juz 2, hal 145-146)

10. Pengarang kitab tersebut mengambil lagi fatwa dari
mufti mazhab Syafie, Ahmad Zaini bin Dahlan,
"Dan tidak ada keraguan sedikit pun bahawa mencegah
umat daripada perkara bid'ah mungkarat ini sama
seperti halnya menghidupkan sunnah nabi Sallallahu
`alaihi wasallam. Mematikan bid'ah seolah-olah
membuka pintu kebaikan seluas-luasnya dan menutup
pintu keburukan serapat-rapatnya kerana orang lebih
suka memaksa-maksa diri mereka berbuat hal-hal yang
akan membawa kepada sesuatu yang haram."

(I'anatut Talibin, juz 2, hal 145-146)

11. Dan di dalam kitab Fiqh Ala Mazahibil Arba'ah
menyatakan,
"Dan di antara bid'ah yang dibenci agama ialah sesuatu
yang dibuat oleh individu iaitu menyembelih
haiwan-haiwan di tanah kubur tempat mayat di tanam
dan menyediakan hidangan makanan yang diperuntukkan
bagi mereka yang datang bertakziah."

(Abdurrahman al-Jaza'iri, al-Fiqhu Ala Mazahibil
Arba'ah, juz 1, hal 539)

Demikianlah di antara pendapat-pendapat para ulama
Syafi'iyah berkenaan doa selamat atau kenduri arwah.
Mereka telah bersepakatbahawa amalan tersebut adalah
bid'ah mungkarat atau bid'ah yang dibenci.

Dasar hukum yang mereka ambil (mengikut kata sepakat
atau ijma' para sahabat nabi Sallallahu `alaihi
wasallam) ialah haram hukumnya mengamalkan amalan
tersebut.

Bukankah lebih baik jika tuan rumah kematian
menggantikan kenduri doa selamat untuk kematian atau
lebih mudah disebut sebagai kenduri arwah kepada satu
amalan bersedekah kepada ahli faqir dan miskin.
Sebabnya ialah, jika kenduri tersebut diniatkan untuk
bersedekah makanan kepada orang yang menjamu
hidangannya, kebanyakan orang yang hadir di dalam
jamuan tersebut tentunya di kalangan orang yang
berkemampuan dan sudah tentu sedekah tersebut kurang
bererti bagi mereka atau tidak bererti sama sekali.

Tambahan pula, jika amalan tersebut diniatkan sebagai
amalan bersedekah, maka akan terjadilah satu amalan
yang mencampuradukkan antara yang hak dan yang batil
kerana amalan tersebut melibatkan dalam dua hal
iaitu, ia diniatkan sebagai bersedekah iaitu amalan
yang disukai agama dan dalam masa yang sama, berkumpul
di dalam satu majlis jamuan yang telah diadakan di
rumah kematian pula adalah satu perkara yang amat
dilarang oleh agama atau disebut haram. Mengirimkan
pahala bacaan tahlil itu juga merupakan satu amalan
yang sia-sia. Oleh itu,kedua-duanya sama sekali
tidak boleh dilakukan kerana telah mencampuradukkan yang hak dan yang batil.

Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w.
bersabda,
Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat...

No comments:

Post a Comment