I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, March 31, 2010

Akibat memutuskan silaturrahim



Kesempurnaan iman seseorang didukung oleh banyak faktor, tidak
hanya setakat beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan hari
akhirat, bahkan hubungan sesama insan juga menjadi kayu
pengukur terhadap kesempurnaan iman seseorang.
Islam amat menuntut umatnya untuk menjaga hubungan
silaturrahim sesama manusia, kerana akibat memutuskan
silaturrahim itu amat besar risikonya bukan hanya setakat di dunia
sahaja bahkan juga di akhirat kelak.

Lazimnya, gejala mumutuskan silaturrahim berpunca daripada
pertengkaran atau perselisihan yang disebabkan oleh harta benda,
harta pusaka, hutang piutang, hasutan, fitnah, sifat sombong dan
mementing diri sendiri. Hatta perkelahian antara sesama anak atau
jiran tetangga pun juga boleh menyebabkan terputusnya ikatan
silaturrahim, di mana kedua-dua pihak saling salah-menyalahkan,
didorong lagi jika kedua-duanya tidak mempunyai kesabaran dan
sikap terbuka serta mengalah untuk memohon maaf atau saling
bermaafan. Terkadang satu pihak tidak mahu mema’afkan pihak yg lain kerana sifat keras kepala dan keegoan yang ada pada diri seseorang.

ANCAMAN BAGI YANG TAK BERTEGUR SAPA SELAMA TIGA HARI.

Sabda Nabi s.a.w.

Maksudnya ; “Tidak halal bagi seorang Muslim “hajr” (tidak bertegur sapa) saudaranya melebihi tiga hari, kedua-duanya bertemu, lantas saling berpaling muka antara satu sama lain. Yang terbaik antara mereka ialah orang yang memulakan salam”. (Muslim no 6697).

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w. menyebut balasan perbuatan ini :

Maksudnya : “Tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur sapa saudaranya melebihi tiga hari, maka barangsiapa yang tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari, nescaya akan masuk neraka”. ( Abu Dawud : no 4914).

Riwayat lain ada menyebut :

Maksudnya : “Barangsiapa yang tidak menegur sapa saudaranya selama setahun, maka ia seumpama menumpahkan darahnya”. Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang sahih. (Riyad al-Salihin 2/216)

By pakatan09

Thursday, March 25, 2010

Permasalahan Qada Solat bagi yang meninggalkan tanpa uzur



Keuzuran yang syar’ie yang membuatkan seseorang itu tidak berdosa ketika meninggalkan solat ialah gila, terlupa atau tertidur, dipaksa, sudah menunaikan solat secara jamak, ketakutan yang bersangatan kerana ancaman keadaan (seperti yang berlaku ketika peperangan khandak lihat dalam Bukhari no. 598).

Adapun selainnya baik lelaki dan perempuan yang berakal, Islam, serta telah baligh maka baginya kewajipan yang ditetapkan supaya mendirikan solat.

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Sesungguhnya antara (pembatas) seorang lelaki itu dengan syirik dan kufur ialah meninggalkan solat” (hadith sahih riwayat Muslim no. 987, Abu Daud, Nasaie).

Perintah menunaikan solat ialah satu kewajipan sehingga bagi yang sakit tidak terlepas dari kewajipan menunaikannya selama mempunyai akal apabila Islam memberi kelonggaran supaya harusnya menunaikan solat dengan keadaan duduk, berbaring dan bahkan dengan gerak isyarat mata atau sehingga jika tidak mampu cukup dengan lintasan hati selama ianya masih sedar dan berakal.

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah semampu kamu” (At-taghabun :16).

Juga sekiranya tiada air demi bersuci dan berwudhuk maka Islam membolehkan bertayamum mengunakan debu tanah yang berada di sekeliling dunia.

“ Apabila kamu tidak menemui air maka bertayammumlah dengan debu tanah yang suci..” (Al-maidah : 43)

Perbuatan meninggalkan solat ialah dosa besar dan termasuk salah satu di antara dosa yang boleh membawa kufur kepada pelakunya. Sekiranya ada sesiapa yang meninggalkan solat kerana mengingkari kewajipannya dan membenci perbuatan solat yang merupakan ibadah ini dan menganggap menyusahkan maka ianya tanpa syak kufur dan murtad dari agama Islam dengan ijmak ulama (Al-Majmuk m/s 16 Jilid 3, Hukum Meninggalkan Solat oleh Ibn Qayyim).

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Adapun yang meninggalkan solat dengan sebab malas dan leka serta lalai kerana dunia dan dalam masa yang sama tidaklah menafikan kewajipan solat dan tidak pula bermaksud mengingkari perintah Allah maka baginya hukum fasiq dan munafiq namun masih tetap dianggap muslim dan dipelihara haknya sebagai muslim tetapi tetap wajar menerima hukuman dan teguran. Demikian mazhab As-Sauri , Abi Hanifah dan golongan Maliki serta Syafie dan Ahmad dari riwayat-riwayat lain yang darinya (lihat Mughni Muhtaj, Al-Majmuk dll).

Sekalipun mereka ini yang berpendapat tidak jatuh kafir bagi orang yang meninggalkan solat dengan sebab malas dan leka serta lalai namun para ulama ini tidak pula bermaksud mengambil pandang ringan kerana mereka tetap menetapkan perlaku dosa besar meninggalkan solat ini mesti dihukum dengan hukuman bunuh dan ini pendapat Maliki serta Syafie.

Adapun pendapat yang mengatakan mereka ini tidak dibunuh sebaliknya disebat dan dipenjara sehingga mati atau bertaubat nasuha dan ini pula ialah pendapat dari mazhab Az-Zuhri dan Ibn Musayyib serta Umar Ibn Abd Aziz dan Abu Hanifah dan Ibn Hazm.

Manakala sebahagian yang lain tetap mengkafirkan golongan ini yang meninggalkan solat tanpa uzur sekalipun tidak menolak kewajipan solat dengan menjatuhkan hukum kafir dan murtad dari Islam kerana meninggalkan solat yang merupakan rukun Islam dan mereka ialah mazhab Said ibn Jubair , Auzaie, Ibn Mubarak, Ishaq dan riwayat yang sahih dari Imam Ahmad dan salah satu qaul dari mazhab Syafie serta Ibn hazm dengan riwayat daripada Umar ibn Khatab , Muadz ibn Jabal dan Abd rahman ibn Auf serta Abi Hurairah dan selainnya dari sahabat rasulullah ra (lihat dalam Al-Insof, Majmuk Fatawa, Hukum Meninggalkan solat oleh Ibn Qayyim).

Pelbagai khilaf dan hujah serta dalil dalam masalah ini namun saya tidak berhajat memanjangkan bicara dalam masalah khilaf ini sebaliknya terus kepada isi pokok perbincangan iaitu tentang perihal qadha solat bagi yang meninggalkan solat tanpa uzur.

Ketahuilah baik salah satu diantara kedua kedudukan hukum golongan yang meninggalkan solat apakah kafir atau fasiq dan munafiq maka keduanya berdosa besar dan bukanlah ringan dan baik sebaliknya tercela dan dibenci dengan kemurkaan Allah swt.

Pendapat yang membolehkan dan mewajibkan qadha bagi yang meninggalkan solat ialah mazhab jumhur ulama daripada imam mazhab yang empat dan ianya dengan syarat hendaklah perlakunya yang meninggalkan solat tanpa uzur itu selain berqadha solatnya yang telah ditinggalkan maka hendaklah juga bertaubat dengan taubat nasuha atas dosa besarnya itu (lihat dalam Al-Majmuk, Al-Insof dll).

Bukanlah bermakna bolehnya qadha solat itu maka diri pembuat dosa boleh terselamat dan terampun dosa sebaliknya hanya usaha ikhtiar selain taubat nasuha bagi menebus kesalahan yang telah dilakukan.

Adapun pendapat selainnya yang mengatakan tiada qadha bagi solat yang ditinggalkan ialah pendapat Umar ibn Khattab dan ibn Umar serta Sa’ad ibn Abi Waqas dan Ibn Mas’ud ra, Ibn Sirrin , Ibn Hazm, dan juga pendapat daripada Syeikhul Islam ibn Taimiyyah ra serta jumlah besar dari salaf soleh yang lain.

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Demikian jumlah besar menolak adanya qadha solat dengan dalil bahawa solat ini satu kewajipan yang dibuat hanya pada waktunya bukan diluar waktunya (lihat Al-Muhalla ibn Hazm, Majmuk Fatawa, Nailur Authar dll).

Dalam hal ini satu keputusan dapat diambil bahawa golongan yang menolak adanya qadha solat ialah kerana selain menetapkan solat dilaksanakan pada waktu khas dan jika selainnya tidak lagi dikira maka mereka juga mengkafirkan peninggal solat sehingga tiada guna menunaikan qadha lagi.

Keadaan ini dapat diselesaikan hanya apabila orang yang meninggalkan solat ini bertaubat dan kembali dengan taubat nasuha serta di sini mereka diwajibkan melakukan qadha.

“Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (yang sersungguh-sungguh) moga tuhanmu akan menghapuskan dosa-dosa kamu …” (At-Tahrim : 8).

Maka bagi yang bertaubat dengan taubat nasuha maka hendaklah dia mengulangi segala solat yang telah ditinggalkan dengan melakukan solat pada waktunya dan memperbanyakkan solat-solat sunat.

Ini berdasarkan kepada hadith rasul yang menyebut : “Sesungguhnya yang paling awal akan dihisab di hari akhirat daripada amal perbuatan ialah solat dan sekiranya baik (solatnya) maka telah berjaya dan selamat dan sekiranya rosak (meninggalkan) solatnya maka gagal dan rugilah dia serta jika berkurang pahala dari solat wajibnya maka akan berkatalah tuhan yang Mulia dan tinggi : Lihatlah apakah hambaku ini ada melakukan solat sunat dan tampunglah apa yang kurang dari yang wajib dan kemudian jadikanlah seluruh amalannya seperti itu” (hadith sahih riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi dan Ibn Majah).

wallahualam

Oleh : Ustaz Emran

Dicatat oleh Naim di 23:42

http://riwayat-hidupku.blogspot.com/2010/02/permasalahan-qadha-solat-bagi-yang.html

Foward by pakatan09

Tuesday, March 23, 2010

Ulamak di hormati atau di sucikan ?




Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
(moasriza@yahoo.com)

Ada bezanya antara menghormatikan dan mensucikan. Dalam bahasa Arab disebut tauqir (memuliakan), sementara mensucikan disebut taqdis. Memuliakan atau tauqir bererti kita memberikan penghormatan kepada seseorang atau sesuatu pihak. Ia berkaitan dengan nilai ketinggian yang ada pada pihak atau individu tersebut. Jika dia pemimpin, atas nilai kepimpinan yang ada padanya. Jika dia ulama, atau ilmuwan maka atas nilai ilmu yang ada padanya. Jika dia orang tua, atas nilai usia dan pengalaman hidup yang dilalui. Demikianlah seterusnya.

Adapun taqdis atau mensuci bererti menganggap seseorang atau sesuatu itu terpelihara dari sebarang dosa, atau kesalahan. Menganggap ia suci (sacred) bererti apa sahaja yang datang daripadanya adalah benar dan mulia, tidak boleh dipertikaikan lagi.

Islam menyuruh kita menghormati ulama atau disebut tauqir al-‘ulama tetapi tidak membenarkan kita mensucikan mereka atau taqdis al-‘ulama. Kita menghormati mereka kerana keilmuan mereka. Apabila mereka berbicara dan bertindak dalam kerangka ilmu, maka dihormati dan disayangi. Kita berinteraksi dengan mereka dengan cara yang hormat dan sopan.

Namun, dalam masa yang sama kita tidak dibenarkan menganggap mereka suci dari kesilapan dan kesalahan. Mereka bukanlah para rasul yang setiap tindakan mereka yang berkaitan dengan agama dianggap hujah. Adapun para ulama mereka terdedah kepada salah dan silap, sama seperti manusia lain. Apabila ternyata mereka salah, atau silap kita tidak boleh mengikut kesalahan kesilapan itu. Dalam ertikata lain, kita menghormati, bukan mensucikan mereka.

Perkara yang begitu asas sebegini kadang kala gagal difahami oleh sesetengah umat Islam. Apabila mereka menghormati seseorang tokoh agama, mereka seakan menganggap pendapatnya suci, atau bagaikan wahyu yang mesti diikut tanpa perlu mengetahui alasan dan hujahnya. Mengikut secara ‘membabi buta’. Mereka letakkan tokoh-tokoh agama itu bagaikan nabi dan rasul.

Akhirnya, mereka mandulkan akal dan kewarasan mereka dengan mengikuti segala yang dititah atau pendapat yang dinyatakan oleh tokoh itu sekalipun ilmu dan akal yang Allah anugerahkan menyanggahinya. Ia amat berbahaya. Jika tokoh agama itu meminta wang daripada mereka, sekalipun tidak jelas alasannya mereka berikan. Jika tokoh agama itu memberikan pendapat dalam sesuatu perkara sekalipun ternyata salah dari segi angka dan fakta, mereka tetap telan dan terus menyanjung pendapat itu. Jika tokoh agama itu agung-agungkan dirinya dan menganggap dia luar biasa, sehingga ternyata kepada mereka yang bebas dari unsur ketaksuban bahawa itu adalah ‘takabur yang nyata’, namun pengikutnya tetap mencium tangan dan berkata ‘benar!’.

Maka bukan sedikit dalam sepanjang sejarah, atas nama agama atau tokoh agama eksploitasi terhadap akal, maruah, harta, kuasa dan berbagai lagi yang berlaku. Sebab itu Islam menentang sebarang unsur pemujaan kepada manusia sehingga mengenepikan ajaran Allah S.W.T dan RasulNya s.a.w.

Siapakah dalam kalangan ulama yang merasakan dirinya lebih baik daripada Saidina Abu Bakr al-Siddiq? Jika Abu Bakr berucap pada hari perlantikannya: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361), apakah layak untuk seseorang selain Abu Bakr berkata: “Aku mufti aku mesti betul”, atau “Aku tok guru aku tak akan salah”, atau “Aku ustaz, kau siapa?!”.

Perkara ini perlu sentiasa ditegaskan, agar kita mengetahui dan selalu sedar bahawa gelaran ‘ulama’, ‘tok guru’, ‘ustaz’, ‘kiyai’, dan berbagai lagi, hanyalah pemberian dan panggilan yang diberikan oleh manusia. Ia hanyalah anggapan baik atas faktor-faktor luaran yang dilihat pada seseorang dan persepsi yang ada dalam gambaran pihak yang memanggil atau memberikan gelaran tersebut.

Samalah juga dengan Professor, Dr dan seumpamanya, walaupun ia menerusi proses yang tertentu, namun itu bukan pertabalan yang ditetapkan Allah seperti pertabalan nabi dan rasul. Ertinya, gelaran-gelaran itu bukanlah jaminan untuk mereka tidak salah, atau melakukan dosa kecil mahupun besar. Ia bukan jaminan kemaksuman. Ia hanya sangkaan baik sesama manusia.

Sebab itu, ada golongan yang dinamakan ‘ulama jahat’. Maka, hormati golongan agama dengan kadar-kadarnya, namun jika ada pandangan atau tindakan mereka melampaui batasan kebenaran dan ilmu, kita akan menyanggahi atau berbeza dengannya tanpa perlu mengukur kadar ‘gelaran’ atau berat serban, atau labuh jubah yang dipakai.

Masyarakat Islam Malaysia hari ini antara masyarakat yang agak berharta. Maka, ramailah yang datang dari dalam negara dalam luar menonjolkan berbagaikan kelebihan agama yang sebahagian mereka mempunyai agenda ‘wang besar’ ke atas kita. Cerita-cerita keajaiban kiyai itu dan ini mula kedengaran. Kehebatan jampi dan air liur tok guru itu dan ini mula dipromosikan. Ramai yang menjadi kaya kerananya. Jika ini tidak dibendung, ia akan menjerumuskan masyarakat kita kepada minda khurafat, bukan minda kewarasan dan ilmu.

Mereka ini kadang-kala cuba berperwatakan melebihi watak Nabi s.a.w dan para sahabat baginda. Sehingga seseorang memaklumkan kepada saya bahawa di tempatnya, ada penceramah (barangkali ada tauliah) berceramah tentang kelebihan guru tarekatnya yang boleh berhubung langsung dengan nabi dan para wali. Ceritanya itu mengingatkan saya kepada apa yang pernah disebut oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) menjawab golongan sufi yang seperti itu di zamannya, kata beliau:

“Dalam kalangan mereka (golongan sufi) ada yang melihat empunya kubur datang kepadanya, sedangkan telah lama mati. Lalu dia (jelmaan itu) berkata: “Akulah si fulan”. Mungkin juga dia berkata : “Kami ketika diletakkan di dalam kubur kami boleh keluar…”.

Ulas Ibn Taimiyyah lagi : « Syaitan dalam banyak keadaan menyerupai rupa insan, samada dalam tidur atau jaga. Kadang-kala dia datang kepada sesiapa yang tidak tahu dan berkata : “Akulah syeikh si fulan, atau alim si fulan”. Kadang kala syaitan berkata : “Akulah Abu Bakr, Umar…” Kadang-kala pula dia datang ketika jaga (yaqazah) bukan mimpi lalu berkata : “Aku al-Masih (Isa)” , atau “aku Musa” atau “aku Muhammad” ».

Kata Ibn Taimiyyah lagi : « Aku tahu perkara yang seperti ini berlaku dalam berbagai-bagai cara. Maka di sana ada yang mempercayai bahawa para nabi datang dalam jaga (yaqazah) dalam rupa mereka yang asal. Di sana juga ada para syeikh yang zuhud, berilmu, warak dan beragama mempercayai perkara seperti ini. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia apabila datang ke kubur seseorang nabi, maka nabi tersebut akan keluar daripada kuburnya –dalam rupanya yang asal- dan bercakap dengannya. Di kalangan mereka ada yang melihat rupa seseorang syeikh di bahagian dalam Ka’bah, dia berkata: “Aku Ibrahim al-Khalil (Nabi Ibrahim)”. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa Nabi S.A.W keluar daripada hujrah (bilik persemadian atau kubur) baginda lalu bercakap dengannya. Golongan sufi menganggap ini sebagai karamahnya. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia jika bertanya orang di dalam kubur nescaya mereka akan menjawabnya”.

Sehingga Ibn Taimiyyah menceritakan ada di kalangan mereka yang apabila ada masalah akan datang dan bertanya kepada Nabi S.A.W, lalu Ibn Taimiyyah menyebut: “Sehingga kata Ibn `Abd al-Barr (ilmuwan agung Andalus, minggal 463H) kepada mereka yang mempercayai sebegini: “Celaka engkau, apakah engkau berpendapat orang ini lebih afdhal daripada al-Sabiqin al-Awwalin (para sahabat Nabi s.a.w yang awal menganut Islam) dari kalangan Muhajirin dan Ansar?. Apakah ada di kalangan Muhajirin dan Ansar sesiapa yang bertanya Nabi S.A.W (selepas baginda wafat) dan baginda menjawabnya?!! Sahabah telah bercanggah pendapat (selepas kewafatan Nabi s.a.w) dalam banyak perkara, adakah mereka bertanya Nabi S.A.W. dan baginda menjawabnya?!!. Ini Fatimah anak baginda yang berselisih pendapat dalam pusaka baginda, adakah beliau bertanya Nabi S.A.W dan baginda menjawabnya”. (Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 5/399, Riyadh: Maktab al-`Abikan).

Namun, malang sekali sepanjang sejarah, masih ada yang termakan dengan perkara-perkara yang seperti ini disebabkan mereka gagal membezakan antara menghormati tokoh agama dan mensucikannya. Cenderungan sesetengah penceramah agama melarang fikiran kritis dan akal yang aktif umat Islam, amat bercanggah dengan ajaran Islam.

Mereka itu sering berkata: “terima sahaja apa yang ulama atau tok guru cakap, jangan banyak fikir, Islam bukan ikut akal”. Islam mana yang tidak berteraskan akal yang matang dan benar?! Tok guru mana pula yang maksum semua cakapnya?! Ini akibat pembolotan kuasa pengaruh atas nama agama dan kegagalan umat membezakan antara menghormati dan mensucikan.

Sunday, March 21, 2010

Amalan ibubapa memberi kesan kepada Anak anak



Syaikh Musthafa al-Adawi hafizahullah berkata:

Seseorang anak yang melihat ayahnya selalu berzikir, mengucapkan tahlil, tahmid, tasbih, dan takbir nescaya akan menirunya untuk mengucapkannya.

Begitulah juga, seseorang anak yang diutus orang tuanya di malam hari untuk memberi sedekah kepada orang-orang miskin di rumah-rumah mereka tanpa pengetahuan orang lain dia akan memiliki sikap yang berbeza dengan seorang anak yang diminta oleh orang tuanya untuk keluar membeli rokok dan barang-barang yang memabukkan.

Seseorang anak yang melihat ayahnya berpuasa di setiap hari Isnin dan Khamis, serta melaksanakan solat Juma’at dan berjama’ah tidak akan sama dengan anak-anak yang melihat kebiasaan ayahnya yang gemar melepak di gerai-gerai, pusat-pusat hiburan, dan panggung wayang.

Apabila seseorang ayah selalu melakukan kebaikan kepada orang tuanya, mendoakan, dan memohonkan ampun untuk mereka, sentiasa berusaha mengambil tahu khabar mereka, mengambil hati mereka, memenuhi keperluan mereka, memperbanyakkan doa-doa kebaikan untuk mereka, serta menziarahi ke kubur mereka apabila telah meninggal, bersedekah untuk mereka, serta tetap menjalinkan hubungan baik dengan sahabat-sahabat mereka dan memberi hadiah kepada orang-orang yang biasa diberi hadiah oleh mereka dahulu, maka anak-anak yang melihat akhlak ayahnya seperti ini dengan izin Allah akan mengikutinya (mengambil contoh) dan juga akan memohonkan keampunan untuk orang tuanya.

Seseorang anak yang dididik dengan solat tidak akan sama dengan anak yang dibiasakan menonton filem, mendengar muzik, dan permainan bola sepak.

Seseorang anak yang melihat ayahnya melaksanakan solat di malam hari, menangis kerana takutkan Allah, membaca al-Qur’an, sudah tentu mereka akan berfikir:

“Mengapa ayah menangis?”

“Mengapa ayah solat?”

“Untuk apa ayah meninggalkan (bangun dari) tidur lalu pergi berwudhu’ dengan air yang sejuk di tengah-tengah malam seperti ini?”

“Untuk apa ayah hanya mengambil waktu yang sedikit untuk tidurnya dan memperbanyakkan berdoa dengan penuh kekhusyukkan, penuh harap, dan diliputi dengan perasaan penuh cemas?”

Setiap pertanyaan ini akan bermain-main di benak fikirannya dan akan sentiasa hadir di dalam perasaan ingin tahunya. Seterusnya ia mampu melahirkan perasaan ingin untuk mengikutinya.

Demikian juga dengan seorang anak perempuan yang melihat ibunya berhijab dari lelaki yang bukan mahramnya, menutup aurat di hadapan mereka, menutupi diri dengan perasaan malu, bersikap tenang, dan sentiasa menjaga kesucian diri. Anak tersebut akan menekuni dan menyelami akhlak tersebut dari ibunya.

Berbeza dengan seseorang anak perempuan yang selalu melihat ibunya bersolek di hadapan para lelaki bukan mahram, bersalaman dengan mereka, ikhtilat (bercampur-gaul dengan lelaki bukan mahram), serta melepak dengan mereka, saling bergelak-tawa, dan apatah lagi saling menari berdansa. Sudah tentu ia akan mempengaruhi jiwa dan naluri anak tersebut untuk mengikutinya.

Dari itu, takutlah kepada Allah, wahai ayah dan ibu di dalam membina jati diri anak-anak anda. Jadikanlah diri anda sebagai contoh teladan yang baik, berhiaslah dengan akhlak yang baik, tabiat yang mulia, dan sebelum semua itu berlaku - berpegang teguhlah terlebih dahulu dengan agama ini dan cintailah Allah dan Rasul-Nya.

Dinukil & Di-Alih Bahasa dari:

Syaikh Musthafa al-Adawi, Tarbiyatul Abna’- Bagaimana Nabi Mendidik Anak, m/s. 47-49, Terbitan/terjemahan Media Hidayah, Cet. 3.
Posted by Abu Huzaifah Nawawi B. Subandi at 11:50

Thursday, March 18, 2010

Siasah Syariyyah



Pelaksanaan “Siasah Syariyyah” Dalam Pentadbiran Kerajaan

Perkataan siasah dalam bahasa Arab membawa makna:

تَدْبيرُ الشَّئِ وَالقِيَامُ عليه بِمَا يُصْلِحُهُ

“ Mengurus sesuatu dan menjaganya dengan apa cara yang boleh membawa kebaikan kepadanya”

Para ulama’ fekah ketika menulis dalam bidang ini biasanya menggandingkan perkataan siasah dan perkataan syariyyah.

Imam Ibnu Al-Qayyim dalam kitabnya “Al-Thuruqul Al- Hukmiyah” memetik kata-kata Ibnu Aqil seperti berikut mengenai penggunaan siasah syariyyah :



جَرَىْ جَوَازُ العَمَل في السَّلْطَنَةِ بِالسِّيَاسَةِ الشَّرْعِيَّةِ : أَنَّهُ هُوَ الحَزْمُ، ولا يَخْلُوْا مِنَ القَوْلِ بِهِ اِمَامٌ
( ابن القيم الطرق الحكمية )

“Dalam urusan pemerintahan , terdapat pandangan yang menyatakan keharusan beramal dalam prinsip siasah syariyyah, ini merupakan pendapat yang kukuh, dan mana-mana imam mazhab tidak ketinggalan memperakuinya.”

Mengenai pengertian siasah syariyyah, Ibnu Aqil menyatakan:



"السِّيَاسَةُ ما كَانَ فِعْلاً يكونُ مَعَهُ النَّاسُ أَقْرَبَ اِلَى الصَّلاَحِ وَأَبْعَدَ عَنِ الفَسَادَ، واِنْ لَمْ يَضَعْهُ الرَّسُوْلُ وَلاَ نَزَلَ بِهِ وَحْيٌ"

“Siasah Syariyyah ialah ,apa-apa tindakan(kerajaan) yang membawa kepada manusia kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada keburukan, sekalipun ianya tidak ditetapkan oleh Rasulullah dan tidak terdapat dalam wahyu yang diturunkan.”

Sementara Ibnu Najim pula mentakrifkan sebagai:


"فِعْلُ الشَّئِ مِنَ الحاَكِمِ لِمَصْلِحَةٍ يَرَاهَا واِنْ لَمْ يَرِدْ ِبهَذَا دَلِيْلٌ جُزْئِيٌّ"

“Sesuatu tindakan yang diiambil oleh pemerintah, yang pada pandangannya boleh menjaga kepentingan umum, sekalipun tidak terdapat dalil yang khusus mengenainya.”


Daripada takrif-takrif di atas dapat difahami bahawa di bawah prinsip siasah syariyyah ini, pemerintah mempunyai kuasa yang luas dalam menguatkuasakan apa-apa peraturan dan larangan untuk menjaga kepentingan umum. Dan apa-apa yang dianggap boleh memelihara kepentingan umum itu mestilah berasaskan pandangan dan penilaian pemerintah sendiri, sepertimana yang yang ditekankan oleh Ibnu Najim dalam takrifnya, (Limaslahatin Yaraha) “Kerana sesuatu kepentingan umum mengikut pandangannya”


Ketika membicarakan bidangkuasa dan hak pemerintah ini, doktor Mahmud Al- Khalidi dalam kitabnya, “Qawai’du Nizam Al Hukm fi Islam” sebuah tesis Ph.D menyatakan:



"وَانْقَعَدَ اِجْمَاعُ الصَّحَابَةِ أَيْضًا عَلَى أَنَّ العَمَلَ بِمَا يَتَبَنَّاهُ الخَلِيْفَةُ مِنَ الأَحْكَامِ وَاجِبُ، وِلاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَعْمَلَ بِغَيْرِ مَا يَتَبَنَّاهُ مِنَ أَحْكَامٍ أَوْ قَوَاِنينٍ أَوْ أَنْظِمَةٍ اِدَارِيَّةٍ ، كَأَنْ يَتَبَنَّا رَئِيْسُ الدَّوْلَةِ سَنَّ قَانُوْنٍ لِنِظَامِ المُرُوْرِ فَالأُمَّةُ مُلْزَمَةٌ شَرْعًا بِإتْبَاعِ مَا أُمِرَ بِهِ رَئِيْسُ الدَّوْلَةِ"

“ Para sahabat juga telah sepakat mengatakan bahawa melaksanakan peraturan-peraturan yang didukung oleh pemerintah adalah wajib, dan tidak halal bagi seseorang muslim mengikut hukum,undang-undang serta sistem pentadbiran yang lain daripada apa yang ditentukan oleh pemerintah. Misalnya, apabila pemerintah telah menentukan undang-undang yang berkaitan dengan jalan raya, seluruh umat wajib disisi syarak mematuhi apa yang diperintahkan oleh ketua negara.”


Dalil-Dalil Pelaksanaan Siasah Syari’ah


Pertama: Firman Allah taala:

(An-nisa’:59)

“ Wahai orang –orang yang beriman, taat kepada kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah, dan kepada Ulul Amri ( golongan Pemerintah ) dari kalangan kamu”

Perintah mentaati pemerintah umat Islam dalam ayat di atas datang dalam bentuk yang umum meliputi semua perkara, melainkan dalam perkara yang dikecualikan atau ditahsiskan oleh nas syarak sendiri , iaitu dalam perkara maksiat,seperti yang terdapat dalam sabda nabi Muhammad s.a.w.


فَلاَ طَاعَةَ فِي الْمَعْصِيَةِ ، اِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي المَعْرُوْفِ

(رواه البخارى ومسلم)

“Tidak wajib taat dalam perintah maksiat,taat hanya wajib pada perintah yang baik’


Ketika mengulas hadis ini , imam Al-Qurtubi menyatakan :


"يَعْنِى بِالمَعْرُوْفِ هُنَا مَا لَيْسَ بِمُنْكَرٍ وَلاَ مَعْصِيَةٍ، فَيَدْخُلُ فِيْهَا الطَّاعَاتُ الوَاجِبَةُ، وَالمَنْدُوْبُ اِلَيْهَا وَالأُمُوْرُ الجَائِزَةُ شَرْعًا. فَلَوْ أَمَرَ بِجَائِزٍ لَصَارَتْ طَاعَتُهُ فِيْهَا وَاجِبَةً، ولا َحَلَّتْ مُخَالَفَتُهُ"

(القرطبى، المفهم)

“Yang dimaksudkan dengan makruf di sini ialah bukan mungkar, (yang di larang ) maka termasuklah didalamnya amalan-amalan taat yang wajib dan sunat, dan perkara yang harus pada hukum syarak. Jika pemerintah menyuruh melakukan perkara yang harus, taat kepada perintah tersebut menjadi wajib, dan tidak halal mengingkarinya.”

Kedua: Hadis-hadis yang memerintah umat Islam supaya taat kepada pemerintah mereka. Antaranya hadis-hadis berikut:



"السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيْمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَر بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ" (رواه البخارى)

“Wajib ke atas setiap muslim dengar dan taat kepada pemerintah, samada perintah yang ia suka atau ia tidak suka, selama mana ia tidak diperintah melakukan maksiat,maka janganlah dengar dan taat.”


"عَلَيْكَ السَّمْعَ وَالطَاعَةَ فِي عُسْرِكَ وَيُسْرِكَ وَمَنْشَطِكَ وَمَكْرَهِكَ وَأَثَرَةٍ عَلَيْكَ"

(رواه مسلم)

“Hendaklah kamu dengar dan taat kepada pemerintah dalam keadaan menyusahkan dan menyenangkan kamu, dalam keadaan kamu suka atau kamu tidak suka, dan dalam keadaan mereka membolot harta kekayaan dengan membelakangkan kamu”



"أَطِيْعُوْا أُمَرَاءَكُمْ مَهْمَا كَانَ فَإِنْ أَمَرُوْكُمْ بِشَيْئٍ مِمَّا جِئْتُكُمْ بِهِ فَإِنَّهُمْ يُؤْجَرُوْنَ عَلَيْهِ وَتُؤْجَرُوْنَ بِطَاعَتِهِمْ، وَإِنْ أَمَرُوْكُمْ بِشَيْئٍ مِمَّا لَمْ آتِكُمْ بِهِ فَإِنَّهُ عَلَيْهِمْ وَأَنْتُمْ مَنْهُ بَرَآءٌ………." (رواه الطبرانى)

“Taatilah kepada pemerintah kamu bagaimanapun keadaannya, jika mereka memerintah kamu dengan perintah yang sesuai dengan ajaranku, maka mereka akan diberi pahala dan kamu akan diberi pahala kerana mentaati mereka.Dan jika mereka memerintah kamu dengan peerintah yang tidak sesuai dengan ajaranku, maka dosanya ditanggung oleh mereka, manakala kamu terselamat dari dosa berkenaan.”



عَنْ عَدِىّ بنِ حَاتِم رضى الله قال : قُلْنَا يَا رَسُوْلُ اللهِ، لاَ نَسْأَلُكَ عَنْ طَاعَةِ مَنِ اتَّقَى، وَلَكِنْ مَنْ فَعَلَ وَفَعَلَ- فَذَكَرَ الشَّرَّ- فَقَالَ:"اتَّقُوا اللهَ وَاسْمَعُوا وَأَطِيْعُوا"

(أخرجه ابن ابى عاصم-صحيح)

“Daripada Ibnu Hatim, katanya: kami bertanya; “ Wahai Rasulullah, kami tidak bertanyakan tentang taat kepada pemerintah yang bertakwa, teteapi pemerintah yang melakukan itu dan ini, ia menyebut perkara-perkara yang buruk.Lalu Rasulullah s.a.w bersabda; Bertakwalah kamu kepada Allah, dan dengar serta taatlah kamu kepada pemerintah.”

Ketiga: Prinsip Saddu Zarra’ie Membendung Punca keburukan

Prinsip ini diterima oleh semua imam mazhab,seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Mahmud Abu Zahrah dalam kitabnya usul Fiqh:





"هَذَا أَصْلٌ مِنَ الأُصُوْلِ الَّتِي ذَكَرَتْهَا الْكُتُبُ المَالِكِيَّةُ وَالْكُتُبُ الحَنْبَلِيَّةُ. أَمَّا كُتُبُ المَذَاهِبِ الأُخْرَى فَإِنَّهَا لَمْ تَذْكُرْهَا بِهَذَا العُنْوَانِ، وَلَكِنَّ مَا يَشْتَمِلُ عَلَيْهِ هَذَا البَابُ مُقَرَّرٌ فِي الفِقْهِ الحَنَفِى وَالشَّافِعِي عَلَى اِخْتِلاَفِ فِي بَعْضِ أَقْسَامِهِ وَاتِّفَاقِ فِي أُخْرَي"

(محمد ابو زهرة ، أصول الفقه)

“Ini adalah satu daripada prinsip-prinsip yang disebut didalam kitab-kitab mazhab Maliki dan Hambali. Manakala kitab-kitab lain tidak menyebutnya dengan menggunakan tajuk seperti ini, namun isi kandungan yang dibincangkan dalam bab ini diterima dalam fekah Hanafi dan Syafei’ sekalipun terdapat perbezaan pendapat dalam bahagian –bahagian tertentu, dan persetujuan dalam bahagian-bahagian yang lain.”

“Rasulullah s.a.w melarang umat Islam daripada memerangi pemerintah dan melakukan penderhakaan terhadap mereka, sekalipun mereka melakukan kezaliman dan kefasikan, selagi mereka mendirikan sembahyang,kerana menutup pintu yang membawa kepada kerosakan yang lebih besar dan keburukan yang lebih banyak dengan melancarkan perang terhadap mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. ( maksudnya ) “ Apabila dilantik dua ketua negara, maka hendaklah dibunuh yang terkemudian perlantikannya” Ini bertujuan menutup jalan –jalan yang membawa kepada kekacauan”.

Disediakan oleh :

Dato’ Wan Zahidi bin Wan Teh

Dedit semula oleh pakatan09

Saturday, March 13, 2010

Jauhi ciri ciri Khawarijh




Hukum Mengkafirkan Pemerintah Islam

Assalamualaikum,

Isu mengkafirkan pemerintah adalah merupakan isu lama yg mana suatu ketika dahulu hebat diperbicangkan orang terutamanya di negara kita ini(Malaysia) termasuk di Singapura, Indonesia dan tidak terkecuali orang-orang Islam di selatan Thailand dan di selatan Filipina, sejak sekian lama sudah terdapat di negeri-negeri tersebut beberapa golongan, jamaah, pertubuhan dan badan-badan politik yang tidak menerima dasar pemerintah. Mereka telah menyerukan slogan serta seruan Khawarij iaitu al-Hakimiyah atau tauhid hakimiyah. Kemunculan mereka kerana terpengaruh dengan dakwah dan gerakan Ikwanul Muslimin yang bertanggungjawab menyebarkan fahaman hizbiyah Khawarijiyah melalui konsep al-Hakimiyah.

Seruan dan propaganda Ikhwanul Muslimin model Khawarij ini mendapat sokongan dari sebahagian besar orang-orang jahil. Kesan dari seruan dan gerakan ini menyebabkan berlakunya berbaga-bagai kemungkaran, fitnah dan memunculkan individu-individu yang mirip berfahaman pengganas yang suka megadakan demonstrasi sana demonstrasi sini.

Akibatnya tercipta berbagai-bagai pengistilahan yang bid’ah, seperti istilah takfir (pengkafiran) terhadap orang-orang yang di luar kelompok mereka, yang tidak menerima fahaman mereka dan orang-orang yang berbuat maksiat, sama ada mereka itu pemerintah atau rakyat. Mereka mengambil dalil dan hujah untuk menghukum dan bertindak sedemikian hanya dengan menyelewengkan penafsiran firman Allah ‘Azza wa-Jalla: (Lihat: Penjelasan Syeikh Jamal al-Murakibi, anggota Lajnah Fatwa Jam’iyah Ansar as-Sunnah, Kahirah, Mesir dalam Harian al-Muslimun, Kuwait, no 639. Jumaat 25 Dzulhijah 1417H. 2hb. Mei 1997)
وَمنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا اَنْزَلَ اللهُ فَاُوْلِئِكَ هُمُ الْكَافِرُوْنَ
Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan Allah maka mereka itu adalah orang-orang kafir”. (al-Maidah. 44)

Ahli sunnah wal-Jamaah yang berpegang dengan manhaj Salaf as-Soleh, mereka tidak pernah menerima fahaman Khawarij yang mengkafirkan orang yang tidak berhukum dengan apa-apa yang diturunkan Allah ‘Azza wa-Jalla, kecuali apabila ia menentang hukum Allah dan mengingkari kewajipan berhukum dengan hukum tersebut padahal dia sudah benar-benar mengetahuinya. (Lihat: Penjelasan Syeikh Jamal al-Murakibi, anggota Lajnah Fatwa Jam’iyah Ansar as-Sunnah, Kahirah, Mesir dalam Harian al-Muslimun, Kuwait, no 639. Jumaat 25 Dzulhijah 1417H. 2hb. Mei 1997)

Ahli Sunnah wal-Jamaah atau para aimmah Salaf as-Soleh membahagikan kafir (kufur) kepada dua jenisnya, sebagaimana yang dijelaskan juga oleh para ulama usuluddin:

Pertama: Kufur Amal. Iaitu kufur kerana meninggalkan amal-amal yang wajib tetapi masih meyakini kewajipannya. Maka sesiapa sahaja yang meninggalkan suruhan (perintah) yang wajib dengan sengaja tetapi masih beriman dengan kewajipan tersebut, maka ia dihukum sebagai kufur asghar (كفر اصغر) “kufur kecil” yang tidak membatalkan akidahnya. Apabila dia mati jika tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu walaupun belum sempat bertaubat, maka ia terserah kepada Allah sama ada akan diampunkan segala dosanya (kerana memperolehi syafaat dariNya) atau sebaliknya kerana Allah berkuasa atas segala-galanya.
Maka kekafiran jenis ini tidak mengekalkan pelakunya di dalam neraka, sekiranya ditakdirkan ia ke neraka hanyalah untuk membersihkan segala dosanya dan jika Allah kehendaki dia akan terus dimasukkan ke syurga.

Kedua: Kufur (جحود) “Kufur Menentang” atau Kufur (عناد) “Kufur Membangkang”. Iaitu menentang hukum ahkam Allah yang diturunkan kepada NabiNya dengan keyakinan dan bermati-matian. Berkata Imam az-Zahabi rahimahullah:
اِنَّمَا يَكْفُرُ بَعْدَ عِلْمِهِ بِاَنَّ الرَّسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ذَلَكَ ثُمَّ اِنَّهُ جَحَدَ ذَلَكَ، وَلَمْ يُؤْمِنْ بِهِ
“Sesungguhnya (seseorang itu boleh) dikafirkan setelah ia mengetahuinya bahawasanya ia adalah sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, kemudian benar-benar menentangnya dan tidak beriman dengannya”. (Lihat: العلو للعلي العظيم hlm. 214)

al-Hafiz Imam az-Zahabi rahimahullah dan kesepakatan para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah menghukumkan kafir kepada seseorang itu setelah berlaku kepadanya dua sebab iaitu:

Pertama: Dihukum kafir apabila seseorang itu benar-benar tidak beriman dan kemudian menentang serta membantah hukum Allah dengan terang-terangan dan dengan kesedarannya.

Kedua: Apabila dia tidak beriman dengan (hukum) yang diwahyukan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala dan menolak sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam walaupun telah ditegakkan dan didatangkan hujah-hujah berupa dalil-dalil al-Quran dan hadis-hadis sahih kepadanya.

Sebagai penutup tentang persoalan ini, dibawakan hadis sahih yang disabdakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan fatwa Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah:
قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ اَطَاعَنِيْ فَقَدْ اَطَاعَ اللهَ وَمَنْ يُعْصِنِيْ فَقَدْ عَصَى اللهَ ، وَمَنْ يُطِعِ اْلاَمِيْرَ ، فَقَدْ اَطَاعَنِيْ وَمَنْ يُعْصِ اْلاَمِيْرَ ، فَقَدْ عَصَانِيْ.
“Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Sesiapa yang mentaati aku, sesungguhnya dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang mendurhakai aku maka sesungguhnya dia telah mendurhakai Allah. Sesiapa yang mentaati pemimpin sesungguhnya dia telah mentaati aku dan sesiapa yang durhaka kepada pemimpin sesungguhnya dia telah durhaka kepadaku”. (Lihat: H/R Muslim. Syarah Nawawi. Juz. 12. Hlm. 223)

Fatwa Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah:

“Maka mentaati Allah dan RasulNya adalah wajib bagi setiap orang, begitu juga mentaati pemimpin muslim adalah wajib kerana adanya perintah Allah untuk mentaati mereka. Sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dengan mentaati para pemimpin muslim, pahalanya adalah atas Allah dan siapa yang tidak mentaati mereka (para pemimpin muslim) kecuali untuk memperolehi (dari pemerintah) satu kekuasaan (jawatan) dan harta semata, jika mereka (para pemimpin tersebut) memberinya dia mentaatinya dan jika tidak memberinya dia durhaka padanya, maka tidak ada kebahagian baginya di akhirat kelak”. (Lihat: مجموع فتاوى ابن تيمية Jld. 35. Hlm. 16-17)

Fatwa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah di atas ini, menekankan peri pentingnya berlaku ikhlas diketika mendekati pemerintah, terutama mereka yang telah diberi jawatan untuk mengurus agama dan hal ehwal ummah dan rakyat.

Siapakah Yang Digolongkan Sebagai Khawarij?

Sikap, perbuatan, tindakan dan sifat buruk Khawarij telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di dalam beberapa sabda baginda, antaranya ialah:

عَنْ اَبِيْ بَرْزَةَ اَنَّهُ قِيْلَ لَهُ : هَلْ سَمِعْتَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُوْنَ الْخَوَارِجِ ؟ فَقَالَ : نَعَمْ . سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِاُذُنِيْ وَرَاَيْتُهُ بِعَيْنَيْ اُتِيَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَالٍ فَقَسَمَهُ فَاَعْطَى مَنْ عَنْ يَمِيْنِهِ وَمَنْ عَنْ شِمَالِهِ وَلَمْ يُعْطَ مَنْ وَرَاءَ هُ شَيْئًا ، فَقَامَ رَجُلٌ مِنْ وَرَائِهِ فَقَالَ : يَا مُحَمَّدُ مَا عَدَلْتَ فِى الْقِسْمَةِ ، رَجُلٌ اَسْوَدُ مَطْمُوْمُ الشَّعْرِ ، عَلَيْهِ ثَوْبَانِ اَبْيَضَانِِ . فَغَضِبَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَضَبًا شَدِيْدًا وَقَالَ : وَاللهِ لاَ تَجِدُوْنَ بَعْدِي رَجُلاً هُوَ اَعْدَلُ مِنِّيْ ؟ . ثَمَّ قَالَ : يَخْرُجُ فِى آخِرِ الزَّمَانِ قَوْمٌ ، كَاَنَّ هَذَا مِنْهُمْ ، يَقْرَؤُوْنَ الْقُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ ، يَمْرُقُوْنَ مِنَ اْلاِسْلاَمِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ سِيْمَاهُمْ التَّحْلِيْقُ لا َيَزَالُوْنَ يَخْرُجُوْنَ حَتَّى يَخْرُجُ آخِرُهُمْ مَعَ الْمَسِيْحِ الدَّجَّالِ ، فَاِذَا لَقِيْتُمُوْهُمْ فَاقْتُلُوْهُمْ هُمْ شَرُّ الْخَلْقِ وَالْخَلِيْقَةِ.

“Dari Abu Barzah beliau ditanya: Apakah engkau mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda tentang Khawarij? Ia menjawab: Ya, aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda dengan telingaku dan melihat dengan mataku! Baginda datang dengan membawa harta, lalu baginda membahagi-bahagikannya. Maka baginda memberi kepada orang-orang yang berada di sebelah kanan dan kirinya dan tidak memberikan kapada orang-orang yang berada di belakang baginda sedikitpun. Berdirilah seorang yang berada di belakang baginda lantas berkata: Wahai Muhammad, engkau tidak adil dalam pembahagian! Dia adalah seorang lelaki yang berkulit hitam dengan rambut yang dicukur gondol dan memakai dua baju putih. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam marah dengan kemarahan yang bersangatan, kemudian bersabda: Demi Allah, kamu tidak akan mendapat seorang setelahku yang lebih adil daripadaku! Kemudian baginda bersabda lagi: Akan muncul pada akhir zaman suatu kaum seolah-olah ia dari mereka (orang-orang yang menentang kepimpinan Rasulullah). Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melebihi tenggorokan mereka, terlepas dari Islam seperti terlepasnya anak panah dari busurnya, ciri-ciri mereka ialah bercukur gondol, mereka akan sentiasa bermunculan sehingga akan keluar orang yang terakhir bersama al-Masih ad-Dajjal. Jika kamu menemui mereka maka bunuhlah mereka. Mereka seburuk-buruk makhluk dan ciptaan”. (H/R Ahmad (429) dan Nasaii (4104))

Posted by Nawawi Bin Subandi at 12:00 PM

Wednesday, March 10, 2010

Pemberitahuan seminar Islam anti Terorist






Tempat Auditorium, Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya

Yuran 50 rm seorang

Hubungi : Pn.Zuliana 012-2811265/Pn.Samsia 012-2954064/Pn. Zahariah 012-3076730

Ahad 28 Mac 2010

8.00 am


Pendaftaran & Sarapan

9.00 am


Ucapan oleh Presiden An-Nidaa

Ucapan oleh Prof Madya Datuk Dr Azraie Hj Idris

Ucapan oleh YB Dato' Mukhriz Tun Mahathir (Timb Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri)

10.15 am


Pembentangan 1: “Ahli Sunnah VS Terrorist

oleh Dr. Azwira Abdul Aziz(UKM)


11.30 am


Pembentangan 2: “Toleransi Agama antara Islam dan Penganas”

oleh Ustaz Sofwan Badrie (Presiden An-Nidaa)

-

12.45 am


Makan tengah hari & Solat Zohor


2.00 pm

Pembentangan 3: “Fiqh jihad di sisi ASWJ?”

oleh Ust Fathul Bari Mat Jahya ( Penasihat Agama Institut Jantung

Negara)


3.15 pm


Pembentangan 4: “Hikmah dalam ber dakwah: antara ASWJ dan terrorist”

oleh Ust. Rasul Dahri (Pendakwah Bebas)


4.30 pm


Minum petang & Solat Asar

5.00 pm


Pembentangan 5: “Fiqh Mencegah Kemungkaran antara ASWJ & Terrorisma ?”

oleh Dr. Johari Mat ( KIAS)


6.15 pm


Rehat

8.00 pm

8.15 pm


Ucapan oleh Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UM

Ucapan Oleh Presiden Penaja Pertubuhan Cendiakiawan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia.

Forum: “1 Malaysia Memerangi Terrorisma”

Ahli-ahli Panel: Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin (Mantan Mufti Perlis)

Prof Madya Datuk Dr Azraie Hj Idris (Timbalan Naib Canselor UM)

Tan Sri Musa Hassan (Ketua Polis Negara)

Moderator: Saudara Kamarul Hisham (peguam)

11.00 pm : Program tamat


Sumber: http://yapis.blogspot.com/

Monday, March 8, 2010

Tarikh kelahiran Nabi s.aw. di perselisihkan



Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Di antara cuti umum yang ditetapkan oleh pihak kerajaan Malaysia ialah pada 12hb. Rabiul Awwal kerana ia dianggap sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad SAW (Maulidur Rasul).

Pihak Darul Quraan Was Sunnah berasa bertanggungjawab untuk membincangkan persoalan ini demi memperbetulkan tarikh lahir Baginda SAW yang ditetapkan sebagai cuti umum itu kerana tidak ada ertinya kita merayakan sesuatu hari jika ia tidak menepati hari yang dimaksudkan itu dengan tepatnya. Apalagi kalau diterima juga tarikh wafat Nabi SAW sebagaimana dipercayai umum pada 12hb. Rabiul Awwal.

Keadaan ini tentunya menimbulkan satu konflik di dalam jiwa masyarakat yang mana di satu pihak mereka merayakan kelahiran Nabi SAW dan bergembira kerananya sedangkan di pihak lain pula pada hari yang sama sepatutnya mereka bersedih dan tidak boleh merayakan hari tersebut kerana ia juga merupakan hari kewafatan Nabi SAW. Jadi di manakah adanya kewajaran masyarakat merayakan Maulidur Rasul yang juga merupakan hari
perkabungan-nya?

Di samping itu angka 12 yang dipilih untuk hari lahir dan hari wafat Nabi SAW berkemungkinan besar berpunca daripada Syiah Imam Dua Belas. Justeru angka 12 ini bagi mereka merupakan angka sakti yang mereka kaitkan sekian banyak keistimewaan dengannya. Apalagi jika orang yang mula-mula mempopularkan tarikh ini adalah Ibnu Ishaq yang juga seorang Syiah. (Taqribut Tahdzib, Al Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, jld. 2, hal. 144)

Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi SAW dilahirkan pada 12hb. Rabiul Awwal itu walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah kerana ia berpunca daripada Ibnu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya.

Menurut ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya. Imam Nasa'i mengatakan bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan hadisnya tidak boleh menjadi hujjah. Imam Abu Daud ada berkata, "Dia adalah seorang yang berfahaman Qadariah dan Mu'tazilah."

Imam Sulaiman At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Sa’id Al-Qatthan dan Imam Malik mengatakan dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata, "Dia seorang dajjal". (Mizanul I’tidal, Imam Zahabi, jld. 3, hal. 468-475). Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat pengambilannya.

Pendapat yang sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Baginda ialah pada hari Isnin, 9hb. Rabiul Awwal Tahun Gajah. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin 'Aini. (Al Bidayah wa An Nihayah, jld. 2, hal. 260-261).

Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi SAW hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan Rabiul Awwal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya.

Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:

· Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah SAW iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan Nabi Muhammad SAW ketika itu berusia 63 tahun.

· Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari 632M pukul 8.30 pagi.

· Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran Nabi SAW jatuh pada tahun 571M. Berdasarkan
kira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb. Rabiul Awwal menepati 12hb. April 571M.

· Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi SAW, walau-bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal.

Mereka hanya berselisih tentang tarikh di antara 8 hingga 12 haribulan dalam bulan Rabiul Awwal tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M. Ini menguatkan lagi pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di atas. Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik di dalam Nurul Yaqin (hal. 6), Safiyyul Rahman Al Mubarakpuri di dalam Ar Rahiqul Makhtum (hal. 54), 'Allamah Sibli Nu'mani di dalam Siratun Nabi (jld. 1, hal. 176), Maulana Abul Kalam Azad di dalam Rasul Rahmat (hal. 37) dan lain-lain.

Berhubung dengan tarikh wafat Nabi Muhammad SAW pula, beberapa perkara yang telah diterima oleh ulama hadis dan sirah perlu diletakkan dihadapan untuk menentukan tarikhnya iaitu:
· Tahun kewafatan Baginda SAW ialah 11H.
· Dalam bulan Rabiul Awwal.
· Antara 1hb. hingga 12hb.
· Hari Isnin. (Sahih Muslim, jld. 8, hal. 51-52).
· Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada' pada 9 Zulhijjah tahun ke 10H jatuh pada hari Jumaat. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll).
· Daripada hari itu (wuquf) sampai kepada hari wafatnya Nabi Muhammad SAW adalah 81 hari. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, At Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j. 11 hal. 139, Tafsir Baghawi, Fathul Bari).

Berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah diterima oleh para ulama tadi, maka boleh diandaikan tarikh kewafatan Baginda SAW seperti berikut:
1. Diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 30 hari (walaupun tidak pernah berlaku begitu tetapi diandaikan mungkin juga berlaku) maka hari Isnin menepati 6 atau 13hb. Rabiul Awwal.
2. Jika diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 29 hari (walaupun ini juga tidak pernah berlaku) maka hari Isnin menepati 2, 9 atau 16hb. Rabiul Awwal.

Daripada kenyataan-kenyataan yang disebut di atas, tarikh yang lebih tepat bagi kewafatan Nabi SAW ialah pada hari Isnin 1hb. Rabiul Awwal tahun 11H bersamaan dengan 25hb. Mei 632M

Berdasarkan fakta-fakta yang telah kami kemukakan, pihak kami berharap agar ketetapan hari lahir Nabi Muhammad SAW yang ditentukan sebagai hari cuti umum itu dikaji dan diubah kepada tarikhnya yang sebenar kerana amatlah malang dan memalukan sekali kita orang-orang Islam jika kita merayakan suatu hari yang kononnya hari kelahiran Nabi SAW padahal ia bukanlah harinya yang sebenar.

(Dipetik dari Siri Risalah Suluhan terbitan Darul Quran Was Sunnah dengan sedikit pindaan)

Sumber : http://lenggangkangkung-my.blogspot.com/2010/02/tarikh-sebenar-hari-kelahiran-nabi.html

Saturday, March 6, 2010

Warkah untuk pengikut tariqat Nur Muhammad



Tajuk Nur Muhammad - Dikirim oleh: Syameel Akhtar Pada 10/11/03 Masa: 09:38:18

Asslamualaikum,

Moga para sahabat berada dalam naungan rahmat dan redha Allah sentiasa. Diri ini mengakui kejahilan diri, diri ini mengakui kekerdilan ilmu dan kedaifan pengalaman. Namun diri ini menyakini adanya Tauliah dari Nabi s.a.w yg berbunyi “Sampaikan dariku meskipun satu ayat”. Moga-moga usaha kerdil ini mampu memperluaskan horizon pemikiran kita, memperlebarkan ufuk penghayatan demi mencairkan antartika kejahilan.. Agar kita menjadi muslim sejati yang berittiba’ berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Bagi menyahut firman Allah “Berilah peringatan sesungghunya peringatan itu meberi manfaat bagi orang yang mukmin” dan menyahut Sabda Nabi s.a.w “ Sampaikan dariku meskipun satu ayat”. Jadi atas dasar membenarkan apa yang difirmankan oleh Allah dan apa yang disabdakan oleh Nabi maka saya terpanggil untuk berbicara. Berbicara tentang topik yang agak lapuk tetapi masih hangat. Berbicara tentang topik yang telah usang tapi masih bernadi dan berdenyut. Iaitu mengenai fahaman Nur Muhammad. Satu fahaman yang bercanggah dgn akidah ahliSunnah Waljamaah yang bersandarkan Al-Quran ,Hadith Sahih, Athar Sahabat dan Ijmak ulama’ Salafus soleh.

Nur Muhammad merupakan fahaman karut yang mempertuhankan Muhammad s.a.w. ini bukanlah beerti mereka menyembah Nabi Muhammad dalam ibadat mereka tetapi mereka memberikan sifat keTUHANan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Dikultuskan dan dikuduskan Nabi hinggakan disetarakan Nabi Muhammad dgn Allah s.w.t. Bagaimana fahaman ini sampai ke negara kita. Tak dinafikan dalam proses penyebaran Islam telah mengundang kedatangan para pendakwah yg pelbagai aliran. Ada yg berpijak atas paksi Al-Quran dan Sunnah dan ada juga golongan aqlaniyun malah ada juga golongan Tareqat menyeleweng. Islam di nusantara turut diwarnai dgn fahaman Jahmiyah, Murjiah, Rafidhah,Syiah dan berbagai lagi.. Sebagai umat Islam kita akui dan wajib menyayangi Nabi s.a.w melebihi menyayangi diri dan keluarga namun kita mesti akur Nabi juga manusia biasa yang diiutuskan oleh Allah untuk menyembahNya(Allah) dan menyeru sekalian manusia agar kembali ke jalan tauhid dan menjauhi toghut. Namun Nabi Muhammad s.a.w tetap manusia biasa dan tidak terkecuali dari hukum biologi.

Fahaman ini secara sedar mahupun tidak telah lama tersebar di Nusantara . Ia satu fahaman sesat yang diasaskan oleh ibn Arabi seorang tokoh Tasauf. Banyak Hadith maudu’(palsu) yang direka cipta oleh golongan ini( penganut Nur Muhammad). Antaranya ialah:

A)Kalaulah tidak kerana Muhammad maka dunia ini tidak akan dicipta.
لَوْلاَكَ مَا خُلِقَتِ الدُّنْي
B)Makhluk yang pertama dicipta ialah Nur Muhammad.

C)Nabi Muhammad dicipta dari Nur atau cahaya .

(Di sini saya rasa amat bertanggungjawab untuk menyangkal Hadith Maudu’ ini. Barangsiapa yang menyebarkannya tanpa menjelaskan kedudukannya maka dia telah menempah permit untuk ke neraka. Ini bukan ugutan dari saya tetapi ni adalah amaran) dari Nabi Muhammad s.a.w dalam Hadith Mutawatirnya.).

Inilah dakwaan bodoh lagi tidak berasas yang amat bertentangan dengan akidah ahlusSunnah Wal Jamaah. Dakwaan pertama(A) iaitu “Kalau tidak kerana Muhammad maka dunia ini tidak akan dicipta”. Mengikut dakwaan karut ini semua makhluk termasuk seisi langit dan bumi serta penghuninya termasuk para malaikat Jin ,manusia dan segalanya tercipta hasil Nur Muhammad.

Dakwaan Makhluk pertama dicipta ialah Nur Muhammad dan dakwaan Ruh Muhammad dicipta dari cahaya adalah satu teori yang amat karut dan boleh mebawa kesyirikan. Lupakah mereka bahawasanya Muhammad itu manusia dan manusia pula berasal dari tanah.Yang dicipta dari cahaya adalah malaikat. Makhluk pertama yang dicipta oleh Allah ialah Qalam dan manusia pertama yang dicipta ialah Nabi Adam a.s.

Berzanji

Teori sesat Nur Muhammad juga telah disebarkan di Nusantara dan ini dapat dilihat menerusi kitab Berzanji. Dalam kitab berzanji terdapat beberapa bait syair yg melampaui yg cuba mengangkat darjat Nabi Muhammad setaraf dgn Allah s.a.w. Contohnya اَنْتَ نُوْرٌ فَوْقَ نُوْر bermaksud "Engkaulah cahaya di atas cahaya". فَجَمِيْعُ اْلاَنْبِيَاءِ خُلِقُوْا مِنْ نُوْرِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " Maka sekalian para nabi telah dicipta dari Nur Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam".(rujuk kitab berzanji yg ada terjemahannya), dan banyak sekali unsur-unsur ghulu dan puji-pujian yang melampau ke atas Nabi s.a.w yg terkandung dalam kitab berzanji. Saya secara pribadi ada memerhatikan sebuah kitab berzanji dan yg menghairankan bagaimana pengarang kita ini mengatakan tujuan penciptaan kitab berzanji adalah unutk mengasihi Rasul dan menghargai pengorbannya. Betul kita hargai Nabi s.a.w namun ada had dan batasnya jangan sampai mempertuhankanya kerana ini boleh membawa syirik.

Dua tahun yang lalu(2001) saya ada meneliti sebuah buku ilmiah yang amat berharga yang Berjudul Gerakan Islah di Negeri Perlis dan Kesannya ke atas Malaysia hasil kajian dua org Pensyarah Pengajian Islan USM, iaitu Prof Madya Dr rdzi Hj Othman dan Allahyarham Ok Rahmat(moga Allah mencucuri rahmat ke atasnya rohnya). Dalam kajian ini Prof ini ada menyatakan tentang kebatilan kitab berzanji yang memuatkan fahaman Nur Muhammad. Beliau pernah mengajukan persoalan kitab berzanji ini kepada Mufti Perak ,Datu’ Harussani Zakaria. Dalam sesi perbincangan ini Datu’ Harussani akui kebatilan kitab berzanji yg dibaca seawktu meperingati Nabi termasuklah waktu maulidur Rasul. namun beliau terpaksa membenarkan terlebih dahulu pembacaan kitab ini kerana bimbang orang ramai akan mencari alternatif lain seperti hiburan luar batasan untuk mengantikan kitab berzanji.

Akhu kum Fil Islam

Monday, March 1, 2010

Katakan Tidak Pada Wahabi




http://drmaza.com/home/?p=796

Artikel ini telah ditulis dua tahun yang lepas dan dicadangkan untuk pembacaan)

Adalah malang apabila golongan yang kononnya kuat berpegang dengan agama tidak bersifat ilmiah. Sedangkan ilmu adalah teras kepada Islam yang tulen dan murni. Antara sikap tidak ilmiah ialah menuduh seseorang dengan sesuatu tuduhan palsu disebabkan tidak mahu atau berupaya menjawab persoalan yang dikemukakan. Sikap ini sama dengan Amerika sekarang yang menganggap sesiapa sahaja yang mengkritiknya sebagai pengganas sekalipun tanpa bukti.



Di Malaysia ini, wujud sikap yang sedemikian. Jika seseorang memberikan pandangan agama yang bukan menjadi perkara yang biasa diketahui oleh golongan agama tradisional tempatan, maka dia akan dilebelkan sebagai ‘wahabi’ yang sesat. Sekalipun mungkin dia tidak tahu menahu wahabi itu apa?!. Bahkan yang membuat tuduhan itupun kebiasaannya tidak begitu tahu apa itu wahabi?!,cuma mendengar cakap cakap orang wahabi itu sesat.

Jika kita bertanya kepada kebanyakan yang suka melebelkan orang lain sebagai ‘wahabi’; apa itu wahabi?. Berbagai jawapan diberikan. Ada yang katakan wahabi ialah sesiapa yang tidak qunut subuh.Ada yang kata: wahabi tidak buat tahlil.

Jika kita beritahu dia, mazhab-mazhab yang lain juga demikian.Tidak membaca Qunut solat subuh..tak buat tahlil. Apakah al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Abu Hanifah juga wahabi?. Dia diam.

Kita beritahu dia tahlil maksudnya La ilah illa ALLAH, tahmid bermaksud Alhamdulilah, tasbih bermaksud subhana ALLAH.Cuma majlis tahlil sebagaimana yang kita buat sekarang tak pernah dilakukan oleh Rasullullah.

Ada yang kata wahabi adalah mereka yang belajar di Arab Saudi. Saya kata saya tidak belajar di Arab Saudi pun ada juga yang menuduh wahabi. Kemudian, kalau wahabi itu sesat, apakah sekarang Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi sedang didiami dan diimami oleh golongan yang sesat?!!. Ada yang kata wahabi ialah golongan tidak bermazhab. Kita beritahu dia Arab Saudi yang sebagai dituduh wahabi bermazhab Hanbali.

Agak yang lebih pandai menyebut; wahabi adalah pengikut Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Dari situ digelar pengikutnya ‘Wahhabi’. Saya katakan saya sendiri dalam pengalaman yang singkat ini ada yang menuduh wahabi, sekalipun saya tidak begitu membaca buku-buku Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab.

Saya hanya menganggapnya salah seorang tokoh-tokoh umat yang ada jasa dan sumbangannya. Dalam masa yang sama ada kekurangan dan kelemahannya. Dia bukan tokoh mazhab fiqah yang ulung untuk dirujuk fatwa-fatwa fiqhnya. Dia sendiri bermazhab Hanbali. Bukan juga jaguh dalam hadith, sehingga al-Albani pernah mengkritiknya dengan agak keras. Namun, sebagai tokoh, ada sumbangannya yang tersendiri. Dari segi ilmiah, secara peribadi saya tidak dapat banyak manfaat daripadanya. Namun sumbangannya tidak dilupakan.

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab di Jazirah Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, ctk. Maktabah Wahbah, Mesir).

Bahkan Dr. Wahhab al-Zuhaili juga memujinya dengan menyebut: “Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikan), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan al-salaf al-salih yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah. Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih..” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).

Bahkan banyak lagi puji-pujian beliau dalam risalah tersebut. Saya tidak pasti apakah tokoh-tokoh agama yang begitu ramai memuji Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab patut dituduh wahabi atau tidak?!!!.Antara kitab-kitab yang saya ajar ialah kitab fekah mazhab al-Imam al-Syafi’i. Saya baca kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i kerana ia agak mudah untuk generasi muda. Namun apabila saya menyebut apa yang terkandung dalam kitab tersebut yang tidak sama dengan amalan masyarakat, maka saya dituduh wahabi.

Sedangkan kitab itu adalah kitab dalam Mazhab al-Imam al-Syafi’i. Tokoh-tokoh penulisnya, adalah tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi’i , iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji.Namun apabila saya baca antara apa yang disebut dalam kitab tersebut: “Daripada bid’ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya” (1/263, Damsyik: Dar al-Qalam), saya dituduh wahabi.

Apakah semua penulis itu wahabi?!!. Mereka katakan kepada saya, jangan baca! Itu tidak sama dengan mazhab syafii! Saya tanya: Adakah ada dua mazhab al-Syafi’i??!. Tidak mengapalah, mari kita tengok apa kata kitab-kitab melayu jawi. Kata Syeikh Daud al-Fatani (semoga ALLAH merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya” (2/34). Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: “Maka bid’ah yang tidak elok” (7/130). Apakah mereka semua juga wahabi?!!.

Apabila kita memberitahu amalan Nisfu Syaaban seperti yang dibuat oleh masyarakat kita bukan dari tunjuk ajar Nabi s.a.w. Mereka kata: “awak wahabi”. Kita kata ini bukan daripada tulisan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, ini fatwa Dr Yusuf al-Qaradawi apabila ditanya mengenai nisfu Syaaban, beliau menjawab: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya..perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut : Dar Uli al-Nuha). Apakah beliau juga wahhabi?!!

Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676 H) adalah tokoh agung dalam mazhab al-Syafi’i. Pada zamannya, beliau membantah mengiringi jenazah dengan mengangkat suara membaca al-Quran. Beliau berkata: “Ketahui sesungguhnya yang betul lagi terpilih yang menjadi amalan al-salaf al-salih r.a ialah diam ketika mengiringi jenazah. Jangan diangkat suara dengan bacaan, zikir dan selainnya. Hikmahnya nyata, iaitu lebih menenangkan hati dan menghimpunkan fikiran mengenai apa yang berkaitan dengan jenazah. Itulah yang dituntut dalam keadaan tersebut. Inilah yang cara yang betul. Jangan kamu terpengaruh dengan banyaknya orang yang menyanggahinya.Sesungguhnya Abu ‘Ali al-Fudail bin ‘Iyad r.a. pernah berkata –maknanya-: “Berpegang dengan jalan petunjuk, jangan engkau tewas disebabkan sedikit yang melaluinya. Jauhilah jalan yang sesat. Jangan engkau terpengaruh dengan banyaknya golongan yang rosak”. Adapun apa yang dilakukan oleh golongan jahil di Damsyik, iaitu melanjutkan bacaan al-Quran dan bacaan yang lain ke atas jenazah dan bercakap perkara yang tiada kaitan, ini adalah haram dengan ijma’ ulama. Sesungguhnya aku telah jelaskan Adab al-Qiraah keburukannya, besar keharamannya, dan fasiknya sesiapa yang mampu membantahnya tetapi tidak membantahnya”. (Al-Nawawi, Al-Azkar, m.s. 225-226, Damsyik: Maktabah al-Ghazali).

Saya percaya jika al-Imam al-Nawawi di zaman kini dan buat kenyataan ini, golongan yang taksub pegangan tempatan akan menuduhnya juga wahabi. Apatah lagi jika dia mereka mambaca kenyataan al-Imam al-Nawawi ini menyetujui tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i yang membantah jamuan atau kenduri sempena kematian. Katanya: “adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w sedikit pun. Ia adalah bid’ah yang tidak disukai” (Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Mahazzab 5/320 Beirut : Dar al-Fikr).

Banyak lagi contoh-contoh lain jika hendak disebut. Maka fahamlah bahawa tuduhan wahabi kepada seseorang di negara kita ini kebanyakan adalah fitnah. Sebagai jawapan kepada persoalan yang tidak terjawab, maka diputarkan isu ke arah yang lain. Ia adalah lambang akhlak dan perilaku buruk pembuatnya. Memburukkan orang lain tanpa bukti dan ilmu. Kesemua mereka ini akan didakwa di akhirat kerana memutar belitkan fakta tanpa rasa takut kepada ALLAH.

Tidak pernahkah mereka membaca firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 11-12: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Adalah malang jika medan perbahasan ilmiah dijadikan medan fitnah memfitnah. Apatah lagi jika yang terlibat itu golongan agama. Kita sepatutnya hanya berada dalam sempadan fakta dan angka sahaja. Jangan terbabas ke peringkat tuduh menuduh secara tidak berakhlak. Umpamanya, memang benar kita dalam beberapa pandangan hukum, mengambil selain dari mazhab al-Syafi’i. Ini beradarkan kajian atau tarjih yang disandarkan kepada ulama lain. Di Malaysia pun memang banyak hukum yang tidak berpegang dengan mazhab al-Syafi’i, terutamanya dalam fiqh muamalat.

Lihat sahaja hukum-hakam zakat di negara ini. Namun ini bukan bererti kita menghina al-Imam al-Syafi’i. Malang sebahagian yang berniat jahat membuat fitnah kononnya kita menghina Imam kita yang agung itu. Sedangkan saya sendiri pada Julai 2004 telah menulis tentang keagungan al-Imam al-Syafi’i dalam majalah ini dan demikian juga dalam buku-buku saya. Bahkan ada yang membuat cerita kononnya ingin dibakar kitab-kitab mazhab dan inilah wahabi. A’azu bi ALLAH min zalik (pohon perlindungan dengan ALLAH dari itu semua).

Benarlah kata Kata Muhammad bin Salih al-‘Ali: “Kebiasaannya, taksub kepada sesuatu pandangan atau mazhab membawa kepada sejenis sikap keras terhadap sesiapa yang menyanggahi pandangan dan mazhabnya. Inilah yang berlaku kepada sebahagian pengikut mazhab fiqh yang lidah mereka petah (mencerca) sesiapa yang berbeza dengan mereka…Orang yang taksub terlindung dari penilaian secara ilmiah dan berhati-hati dalam hukuman. Dia tidak melihat melainkan keburukan dan kesilapan orang yang berbeza dengannya. Ini membawanya kepada sikap keras, mengkritik dan menyakiti..” (rujukan: Muhammad bin Salih bin Yusuf al-‘Ali, Insaf Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah m.s. 113-114, Jeddah: Dar al-Andalus al-Khadra`).

Ramai pendakwah yang mengeluh dengan akhlak buruk ini. Saya juga berdukacita dan bersimpati. Apatah lagi jika ahli fitnah memakai gelaran ahli badan ulama. Lebih lagi kita sedihkan. Namun saya katakan kepada diri saya yang amat dhaif dan para pendakwah yang difitnah; bersabarlah.

Telah pun difitnah sebelum ini para rasul yang mulia, sehingga Nabi Muhammad s.a.w dituduh ahli sihir dan gila. Al-Imam al-Syafi’i r.h pernah dituduh sebagai pendokong Syiah di zaman sehingga dia dihukum. Al-Imam Al-Bukhari r.h pernah tuduh sebagai bersefahaman dengan Mu’tazilah mengenai al-Quran, sehingga dia terpaksa keluar dari kampung halamannya.

Demikian sejarah dan sirah para ulama kesemuanya tidak sunyi dari mainan golongan yang hasad dan khianat. Demikian tabiat dakwah ini yang sentiasa menuntut keikhlasan dan pengorbanan.

Pada hari kita memulakan dakwah ke jalan ALLAH dan rasulNya ini, kita sepatutnya mengetahui denai berliku dan lorong berduri yang akan lalui di hadapan. Jika tidak bertemankan keikhlasan dan kecintaan yang tinggi kepada ALLAH dan Rasul, gugurlah kita satu persatu. Untuk itu dari awal kita mesti sedar hakikat ini. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Ada kata golongan wahabi enggan terikat dengan mazhab. Jadi sesiapa yang ada berpegang dengan mazhab lain dalam beberapa perkara, maka dia wahabi. Kita katakan kita amat menghormati mazhab dan memuliakannya.

Dalam banyak perkara kita terkait dengan mazhab al-Syafii. Tetapi ahli ‘tuduh menuduh’ ini seperti kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan mereka menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syari`at dan perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau selain mereka. Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabah dan mereka yang selepas sahabah sepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi. Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya (pengkaji) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah”. (rujukan: Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazlum, m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah). Barangkali mereka juga kena masukkan al-Qaradawi dalam senarai wahabi seperti yang didakwa oleh Amerika terhadap beliau.

Dalam ilmu hadith pula, kita menyebut apa yang disebut oleh ulama-ulama hadith yang mendhaif atau menghukum sebagai palsu sebahagian hadith yang diamalkan oleh masyarakat kita. Umpamanya, kita memetik ulasan-ulasan para ulama terhadap Kitab Ihya ‘Ulum al-Din.

Bukan bertujuan menghina al-Imam al-Ghazali (semoga ALLAH merahmatinya), tetapi sebagai ingatan untuk kita. Malangnya, mereka yang tidak takutkan ALLAH membuat fitnah kononnya kita menganggap kita lebih alim dari al-Imam al-Ghazali.

Di sini saya petik apa yang tertera dalam buku saya “Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya” yang dicetak pada awal tahun 2004: “Sebagai contohnya di sini kita sebutkan kitab Ihya`Ulum al-Din karangan al-Imam al-Ghazali r.h (meninggal 505H) secara khusus. Ini memandangkan ia merupakan yang paling masyhur dan banyak diguna pakai dalam masyarakat.

Dengan kita menyedari bukan hanya kitab al-Ihya ini sahaja yang mengandungi hadith-hadith dhaif dan palsu, ada kitab-kitab lain juga banyak yang mempunyai masalah yang sama. Mengkritik hadith-hadith palsu dan dha`if dalam kitab al-Ihya ini tidaklah bererti kita menafikan sama sekali sumbangan penulisnya dan nilai-nilai baik yang terkandung di dalamnya. Sebagai seorang tokoh, tentunya Al-Ghazali mempunyai sumbangannya yang tersendiri.

Namun ini tidak memboleh kita menyembunyi apa yang benar. Kita mendo`akan keampunan dan kerahmatan Allah untuknya dan juga kita. Namun persoalan kebenaran dan ilmu mesti dijelaskan. Firman Allah:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.( Surah al-Nisa`: 135)

Al-Ghazali seperti yang dinyatakan oleh al-Hafizd al-Zahabi (wafat 748H) ketika mengulas kesilapan-kesilapannya dalam kitab Ihya `Ulum al-Din: “Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan. (rujukan: Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala 19/339, Beirut :Muassasah al-Risalah)

Sesiapa sahaja yang mengkaji ilmu hadith tahu bahawa Al-Imam al-Ghazali bukan seorang pakar dalam bidang hadith, ini diakui oleh semua pihak, melainkan mereka yang jahil tentang ilmu hadith sahaja.

Sehingga Taj al-Din al-Subki (meninggal 771H/ Beliau adalah tokoh mazhab al-Syafi’i yang terkenal) yang begitu mempertahankan al-Imam al-Ghazali dalam Tabaqatnya turut mengakui hal ini dengan menyatakan: “Adapun apa yang dianggap cacat pada kitab al-Ihya disebabkan kelemahan sebahagian hadith-hadithnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bukanlah seorang pakar dalam bidang hadith”. (rujukan: Taj al-Din al-Subki, Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 3/449, Beirut :Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah)

Kita lihat apa yang kata tokoh-tokoh hadith umat mengenai kitab Ihya `Ulum al-Din antaranya:

-Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) dalam Al-Bidayah wa Al-Nihayah: “Ketika berada di Damsyik dan Bait al-Maqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya `Ulum al-Din, ianya sebuah kitab yang ganjil. Ianya mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawwuf dan amalan hati. Namun padanya banyak hadith yang gharib, munkar dan palsu”.( Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut : Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah)

-Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Jauzi (wafat 597H): “Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya’ berdasar pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadith-hadith yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya”.( rujukan :Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 190, Beirut : Dar al-Kutub al-ilmiyyah)

-Kata al-Hafizd al-Imam al-Zahabi (wafat 748H): “Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadith-hadith yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat?. Ianya apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan”.( Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala`, 19/339)

-Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H): “Abu Hamid (Al-Ghazali) tidak mempunyai kepakaran dalam hadith-hadith Nabi dan riwayat-riwayat salaf sepertimana yang dimiliki oleh ahli yang mengetahui perkara itu. Mereka dapat membeza antara yang sahih dan yang tidak sahih. Oleh itu al-Ghazali menyebut dalam kitab-kitabnya hadith dan athar yang palsu dan dusta, yang mana kalau mengetahuinya tentu dia tidak menyebutnya”.( Ibn Taimiyyah, Dar`u Ta`arud al-`Aql wa al-Naql, 7/149, Riyad : Dar al-Kunuz al-Adabiyyah).

Ada yang kata, kalau iya pun, banyak lagi isu yang lebih penting. Kita katakan alhamd lil Lah, atas kurnia ALLAH, banyak isu-isu ilmiah utama di negara ini, kita antara yang awal membincangkannya. Isu Islam Liberal, isu Astora, Syiah dan seumpamanya.

Tulisan-tulisan kita banyak tentang isu-isu itu. Adapun isu-isu yang disebutkan tadi hanya sampingan sebagai menjawab persoalan-persoalan yang dibangkit oleh generasi baru yang luas pembacaannya. Namun telinga anda hanya memetik apa yang anda benci dan memekakkan diri dari apa yang anda suka. Kami pohon keampunan dari Allah untuk kami dan anda juga !!

Justeru, jauhkan diri fitnah-menfitnah kerana itu perlambangan akhlak yang buruk dan peribadi yang amat rendah. Kita kurang kecewa apabila pelakunya itu ‘Shahrir Long’. Namun kita akan kecewa jika hal ini dilakukan oleh golongan agama, yang berakhlak dan mempunyai maruah diri.

Mungkin ada orang yang benar-benar ingin menasabkan dirinya kepada wahabi. Namun kita sejuta kali menyebut : ‘Katakan tidak untuk wahabi’.

Ya untuk syafii, ya untuk Hanbali, Ya untuk Maliki, Ya untuk Hanafi. Dengan syarat tidak ekstrim dan taksub. Tapi no untuk wahabi kerana ia bukan aliran yang cukup untuk dimazhabkan.

——————————————————————————–
Artikel ini asalnya diterbitkan oleh Majalah i, Karangkraf.