Thursday, March 18, 2010
Siasah Syariyyah
Pelaksanaan “Siasah Syariyyah” Dalam Pentadbiran Kerajaan
Perkataan siasah dalam bahasa Arab membawa makna:
تَدْبيرُ الشَّئِ وَالقِيَامُ عليه بِمَا يُصْلِحُهُ
“ Mengurus sesuatu dan menjaganya dengan apa cara yang boleh membawa kebaikan kepadanya”
Para ulama’ fekah ketika menulis dalam bidang ini biasanya menggandingkan perkataan siasah dan perkataan syariyyah.
Imam Ibnu Al-Qayyim dalam kitabnya “Al-Thuruqul Al- Hukmiyah” memetik kata-kata Ibnu Aqil seperti berikut mengenai penggunaan siasah syariyyah :
جَرَىْ جَوَازُ العَمَل في السَّلْطَنَةِ بِالسِّيَاسَةِ الشَّرْعِيَّةِ : أَنَّهُ هُوَ الحَزْمُ، ولا يَخْلُوْا مِنَ القَوْلِ بِهِ اِمَامٌ
( ابن القيم الطرق الحكمية )
“Dalam urusan pemerintahan , terdapat pandangan yang menyatakan keharusan beramal dalam prinsip siasah syariyyah, ini merupakan pendapat yang kukuh, dan mana-mana imam mazhab tidak ketinggalan memperakuinya.”
Mengenai pengertian siasah syariyyah, Ibnu Aqil menyatakan:
"السِّيَاسَةُ ما كَانَ فِعْلاً يكونُ مَعَهُ النَّاسُ أَقْرَبَ اِلَى الصَّلاَحِ وَأَبْعَدَ عَنِ الفَسَادَ، واِنْ لَمْ يَضَعْهُ الرَّسُوْلُ وَلاَ نَزَلَ بِهِ وَحْيٌ"
“Siasah Syariyyah ialah ,apa-apa tindakan(kerajaan) yang membawa kepada manusia kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada keburukan, sekalipun ianya tidak ditetapkan oleh Rasulullah dan tidak terdapat dalam wahyu yang diturunkan.”
Sementara Ibnu Najim pula mentakrifkan sebagai:
"فِعْلُ الشَّئِ مِنَ الحاَكِمِ لِمَصْلِحَةٍ يَرَاهَا واِنْ لَمْ يَرِدْ ِبهَذَا دَلِيْلٌ جُزْئِيٌّ"
“Sesuatu tindakan yang diiambil oleh pemerintah, yang pada pandangannya boleh menjaga kepentingan umum, sekalipun tidak terdapat dalil yang khusus mengenainya.”
Daripada takrif-takrif di atas dapat difahami bahawa di bawah prinsip siasah syariyyah ini, pemerintah mempunyai kuasa yang luas dalam menguatkuasakan apa-apa peraturan dan larangan untuk menjaga kepentingan umum. Dan apa-apa yang dianggap boleh memelihara kepentingan umum itu mestilah berasaskan pandangan dan penilaian pemerintah sendiri, sepertimana yang yang ditekankan oleh Ibnu Najim dalam takrifnya, (Limaslahatin Yaraha) “Kerana sesuatu kepentingan umum mengikut pandangannya”
Ketika membicarakan bidangkuasa dan hak pemerintah ini, doktor Mahmud Al- Khalidi dalam kitabnya, “Qawai’du Nizam Al Hukm fi Islam” sebuah tesis Ph.D menyatakan:
"وَانْقَعَدَ اِجْمَاعُ الصَّحَابَةِ أَيْضًا عَلَى أَنَّ العَمَلَ بِمَا يَتَبَنَّاهُ الخَلِيْفَةُ مِنَ الأَحْكَامِ وَاجِبُ، وِلاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَعْمَلَ بِغَيْرِ مَا يَتَبَنَّاهُ مِنَ أَحْكَامٍ أَوْ قَوَاِنينٍ أَوْ أَنْظِمَةٍ اِدَارِيَّةٍ ، كَأَنْ يَتَبَنَّا رَئِيْسُ الدَّوْلَةِ سَنَّ قَانُوْنٍ لِنِظَامِ المُرُوْرِ فَالأُمَّةُ مُلْزَمَةٌ شَرْعًا بِإتْبَاعِ مَا أُمِرَ بِهِ رَئِيْسُ الدَّوْلَةِ"
“ Para sahabat juga telah sepakat mengatakan bahawa melaksanakan peraturan-peraturan yang didukung oleh pemerintah adalah wajib, dan tidak halal bagi seseorang muslim mengikut hukum,undang-undang serta sistem pentadbiran yang lain daripada apa yang ditentukan oleh pemerintah. Misalnya, apabila pemerintah telah menentukan undang-undang yang berkaitan dengan jalan raya, seluruh umat wajib disisi syarak mematuhi apa yang diperintahkan oleh ketua negara.”
Dalil-Dalil Pelaksanaan Siasah Syari’ah
Pertama: Firman Allah taala:
(An-nisa’:59)
“ Wahai orang –orang yang beriman, taat kepada kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah, dan kepada Ulul Amri ( golongan Pemerintah ) dari kalangan kamu”
Perintah mentaati pemerintah umat Islam dalam ayat di atas datang dalam bentuk yang umum meliputi semua perkara, melainkan dalam perkara yang dikecualikan atau ditahsiskan oleh nas syarak sendiri , iaitu dalam perkara maksiat,seperti yang terdapat dalam sabda nabi Muhammad s.a.w.
فَلاَ طَاعَةَ فِي الْمَعْصِيَةِ ، اِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي المَعْرُوْفِ
(رواه البخارى ومسلم)
“Tidak wajib taat dalam perintah maksiat,taat hanya wajib pada perintah yang baik’
Ketika mengulas hadis ini , imam Al-Qurtubi menyatakan :
"يَعْنِى بِالمَعْرُوْفِ هُنَا مَا لَيْسَ بِمُنْكَرٍ وَلاَ مَعْصِيَةٍ، فَيَدْخُلُ فِيْهَا الطَّاعَاتُ الوَاجِبَةُ، وَالمَنْدُوْبُ اِلَيْهَا وَالأُمُوْرُ الجَائِزَةُ شَرْعًا. فَلَوْ أَمَرَ بِجَائِزٍ لَصَارَتْ طَاعَتُهُ فِيْهَا وَاجِبَةً، ولا َحَلَّتْ مُخَالَفَتُهُ"
(القرطبى، المفهم)
“Yang dimaksudkan dengan makruf di sini ialah bukan mungkar, (yang di larang ) maka termasuklah didalamnya amalan-amalan taat yang wajib dan sunat, dan perkara yang harus pada hukum syarak. Jika pemerintah menyuruh melakukan perkara yang harus, taat kepada perintah tersebut menjadi wajib, dan tidak halal mengingkarinya.”
Kedua: Hadis-hadis yang memerintah umat Islam supaya taat kepada pemerintah mereka. Antaranya hadis-hadis berikut:
"السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيْمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَر بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ" (رواه البخارى)
“Wajib ke atas setiap muslim dengar dan taat kepada pemerintah, samada perintah yang ia suka atau ia tidak suka, selama mana ia tidak diperintah melakukan maksiat,maka janganlah dengar dan taat.”
"عَلَيْكَ السَّمْعَ وَالطَاعَةَ فِي عُسْرِكَ وَيُسْرِكَ وَمَنْشَطِكَ وَمَكْرَهِكَ وَأَثَرَةٍ عَلَيْكَ"
(رواه مسلم)
“Hendaklah kamu dengar dan taat kepada pemerintah dalam keadaan menyusahkan dan menyenangkan kamu, dalam keadaan kamu suka atau kamu tidak suka, dan dalam keadaan mereka membolot harta kekayaan dengan membelakangkan kamu”
"أَطِيْعُوْا أُمَرَاءَكُمْ مَهْمَا كَانَ فَإِنْ أَمَرُوْكُمْ بِشَيْئٍ مِمَّا جِئْتُكُمْ بِهِ فَإِنَّهُمْ يُؤْجَرُوْنَ عَلَيْهِ وَتُؤْجَرُوْنَ بِطَاعَتِهِمْ، وَإِنْ أَمَرُوْكُمْ بِشَيْئٍ مِمَّا لَمْ آتِكُمْ بِهِ فَإِنَّهُ عَلَيْهِمْ وَأَنْتُمْ مَنْهُ بَرَآءٌ………." (رواه الطبرانى)
“Taatilah kepada pemerintah kamu bagaimanapun keadaannya, jika mereka memerintah kamu dengan perintah yang sesuai dengan ajaranku, maka mereka akan diberi pahala dan kamu akan diberi pahala kerana mentaati mereka.Dan jika mereka memerintah kamu dengan peerintah yang tidak sesuai dengan ajaranku, maka dosanya ditanggung oleh mereka, manakala kamu terselamat dari dosa berkenaan.”
عَنْ عَدِىّ بنِ حَاتِم رضى الله قال : قُلْنَا يَا رَسُوْلُ اللهِ، لاَ نَسْأَلُكَ عَنْ طَاعَةِ مَنِ اتَّقَى، وَلَكِنْ مَنْ فَعَلَ وَفَعَلَ- فَذَكَرَ الشَّرَّ- فَقَالَ:"اتَّقُوا اللهَ وَاسْمَعُوا وَأَطِيْعُوا"
(أخرجه ابن ابى عاصم-صحيح)
“Daripada Ibnu Hatim, katanya: kami bertanya; “ Wahai Rasulullah, kami tidak bertanyakan tentang taat kepada pemerintah yang bertakwa, teteapi pemerintah yang melakukan itu dan ini, ia menyebut perkara-perkara yang buruk.Lalu Rasulullah s.a.w bersabda; Bertakwalah kamu kepada Allah, dan dengar serta taatlah kamu kepada pemerintah.”
Ketiga: Prinsip Saddu Zarra’ie Membendung Punca keburukan
Prinsip ini diterima oleh semua imam mazhab,seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Mahmud Abu Zahrah dalam kitabnya usul Fiqh:
"هَذَا أَصْلٌ مِنَ الأُصُوْلِ الَّتِي ذَكَرَتْهَا الْكُتُبُ المَالِكِيَّةُ وَالْكُتُبُ الحَنْبَلِيَّةُ. أَمَّا كُتُبُ المَذَاهِبِ الأُخْرَى فَإِنَّهَا لَمْ تَذْكُرْهَا بِهَذَا العُنْوَانِ، وَلَكِنَّ مَا يَشْتَمِلُ عَلَيْهِ هَذَا البَابُ مُقَرَّرٌ فِي الفِقْهِ الحَنَفِى وَالشَّافِعِي عَلَى اِخْتِلاَفِ فِي بَعْضِ أَقْسَامِهِ وَاتِّفَاقِ فِي أُخْرَي"
(محمد ابو زهرة ، أصول الفقه)
“Ini adalah satu daripada prinsip-prinsip yang disebut didalam kitab-kitab mazhab Maliki dan Hambali. Manakala kitab-kitab lain tidak menyebutnya dengan menggunakan tajuk seperti ini, namun isi kandungan yang dibincangkan dalam bab ini diterima dalam fekah Hanafi dan Syafei’ sekalipun terdapat perbezaan pendapat dalam bahagian –bahagian tertentu, dan persetujuan dalam bahagian-bahagian yang lain.”
“Rasulullah s.a.w melarang umat Islam daripada memerangi pemerintah dan melakukan penderhakaan terhadap mereka, sekalipun mereka melakukan kezaliman dan kefasikan, selagi mereka mendirikan sembahyang,kerana menutup pintu yang membawa kepada kerosakan yang lebih besar dan keburukan yang lebih banyak dengan melancarkan perang terhadap mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. ( maksudnya ) “ Apabila dilantik dua ketua negara, maka hendaklah dibunuh yang terkemudian perlantikannya” Ini bertujuan menutup jalan –jalan yang membawa kepada kekacauan”.
Disediakan oleh :
Dato’ Wan Zahidi bin Wan Teh
Dedit semula oleh pakatan09
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment