Sunday, February 21, 2010
Sambutan Maulid antara yang menyokong dan membantah
Assalamualaikum,
Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang hukum menyambut maulid Nabi, tetapi disebabkan keterbatasan ruang, kami hanya akan mengutip beberapa pendapat yang masyhur sahaja. Al-Hafiz Ibnu Hajar, Ibnu al-Haj, Ibnu Katsir, Ibnu Abaad, Ibnu Marzuq, al-Subki, Abu Syamah (guru Imam Nawawi), Ibnu Duhayyah, al-Suyuthi, al-Sakhawi dan beberapa ulama lain lagi membolehkan sambutan hari kelahiran Nabi dengan syarat sambutan tersebut bersih dari segala aktiviti kemungkaran. Manakala Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, al-Syatibi, al-Abdari,Syaikh Muhammad bin Shaleh Al 'Utsaimin rahimahullah dan beberapa ulama lain mengharamkan sambutan maulid ini. Al-Hafiz Ibnu Hajar, Ibnu al-Haj dan al-Sakhawi setuju bahawa sambutan maulid al-Rasul adalah bid’ah kerana tidak pernah dilakukan pada zaman Rasulullah, tidak pula pada zaman sahabat dan generasi sesudah mereka. Namun begitu, mereka menilai bahawa sambutan maulid Nabi ini sebagai bid’ah hasanah (bid’ah yang baik), dan akan menjadi bid’ah dhalalah (bid’ah yang sesat) jika mengandungi kemungkaran. Sebahagian besar ulama memandang bahawa sambutan maulid al-Rasul adalah bid’ah muharramah (bid’ah yang haram). Mereka juga berpendapat bahawa segala perbelanjaan harta (infaq) untuk sambutan maulid adalah haram. Yang paling masyhur di antara para ulama yang menyatakan hal ini merupakan bid’ah dhalalah adalah Tajudin Umar bin Ali al-Lakhami al-Sakandari al-Maliki yang terkenal dengan panggilan al-Fakihani. Beliau mengarang kitab berjudul al-Maurid fi al-Kalami ala Amali al-Maulid yang memuat jawapan dari pelbagai pertanyaan oleh masyarakat.
Di dalam kitab tersebut, terdapat soalan tentang maulid berbunyi; “apakah ada dasarnya menurut syara’ ataukah hal itu merupakan bid’ah dalam agama?”. Maka Tajudin menjawab, “Saya tidak mengetahui adanya dasar syar’i untuk sambutan maulid baik dalam Al-Kitab mahupun Sunnah, begitu pula tidak ada satu riwayat pun dari salah seorang ulama umat yang menjadi teladan dalam urusan agama, yang berpegang teguh pada atsar (peninggalan khazanah) orang-orang terdahulu yang mendukung, bahkan hal itu (sambutan maulid) merupakan bid’ah. Bukan termasuk kewajipan yang sesuai dengan ijmak, tidak pula sunnah kerana hakikat dari sunnah (mandub) adalah tuntutan syara’ tanpa adanya celaan bagi yang meninggalkannya. Mereka yang mengadakan maulid tidak mendapat izin dari syara’ untuk menyambutnya. Para sahabat tidak pernah melakukannya, begitu pula para tabi’in tidak melakukannya. Para ulama pun tidak melakukannya. Begitulah sesuai yang saya ketahui...” [lihat Al-Hawiy li al-Fatawi, Imam Suyuthi, juz 1 hlm 190]. Imam Suyuthi sendiri mengarang makalah tentang maulid dengan judul Husnu al-Qasdi fi Amali al-Maulid, di mana di dalamnya beliau menjawab hukum maulid di mana beliau cenderung kepada membolehkannya. Imam Suyuthi menilai berkumpulnya manusia untuk membaca Al-Quran dan pelbagai riwayat atau khabar (hadis) Rasulullah, kemudian ada jamuan makan di dalamnya sebagi bid’ah hasanah, sebab di dalamnya terdapat pengagungan terhadap kedudukan Rasulullah dan menampakkan kegembiraan akan kelahiran baginda. Beliau mengupas pendapat al-Fakihani dan membantahnya.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah yang hidup hingga awal abad ketujuh hijriyah (meninggal tahun 728H) pula berpendapat, “Apa yang diada-adakan oleh sebahagian orang dalam aktiviti maulid, kadang-kadang menyerupai Nasara dalam menyambut kelahiran Nabi Isa as, dan kadang-kadang sebagai ungkapan kecintaan dan pengagungan kepada Nabi, bukan untuk bid’ah seperti menjadikan hari kelahiran baginda sebagai hari raya Nabi (maulid), meskipun tanggal kelahiran baginda masih diperselisihkan oleh ulama. Namun sesungguhnya sambutan maulid itu tidak pernah dilakukan oleh orang-orang terdahulu dari generasi salaf (sahabat, tabi’in dan tabi’i tabi’in) padahal merekalah yang lebih berhak melakukannya jika itu diperlukan, dan tidak ada suatu apa pun yang dapat mencegah mereka melakukannya. Andaikata itu merupakan satu kebaikan yang pasti atau kuat dugaan kebenarannya, nescaya generasi salaflah yang paling berhak dari kita untuk melakukannya, kerana mereka termasuk orang-orang yang paling kuat kecintaannya dan pengagungannya kepada Nabi dan dari segi mengerjakan kebaikan, mereka lebih memerhatikan hal ini dari generasi-generasi Islam lainnya. Kesempurnaan dan kecintaan kaum Muslimin dan pengagungan mereka kepada Nabi seharusnya nampak dalam peneladanan, ketaatan dan pelaksanaan perintah Rasul. Termasuk dalam hal ini adalah menghidupkan sunnah Nabi baik secara batin (dalam diri) mahupun zahir (dalam realiti kehidupan), menyebarkan risalahnya serta berjihad dalam penyebaran risalah itu dengan hati, tangan dan lisan. Itulah cara orang-orang terdahulu...” [Iqtidhau al-Sirathil Mustaqim Mukhalafatu As-habi al-Jahim, hlm 294-297].
Sumber : http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/369-sn166-hukum-menyambut-maulid-al-rasul
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment