I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, January 9, 2010

Taqlid buta cicela oleh semua ulama dari semua Mazhab



Ramai umat Islam tidak dapat menerima bahkan membantah tindakan ulama tertentu yang lantang menyuarakan seruan perubahan dan anjakan paradigma (paradigm shift) di dalam amalan beragama masyarakat Malaysia. Seruan ini menyeru agar umat Islam tidak beragama dengan cara bertaklid buta sebaliknya beragama berdasarkan ilmu dan bersumber serta ilmiah.

Malangnya seruan mereka sukar diterima oleh majoriti rakyat Malaysia kerana kejahilan dan sikap sudah selesa dengan apa yang ada tanpa mahu memperbaiki status dan keadaan diri mereka ke arah yang lebih baik. Sikap yang ditunjukan oleh majoriti umat Islam di Malaysia yang selesa dengan budaya taklid buta dan mengikut “tok guru” atau “pak ustaz” ini jelas menunjukan bahawa mereka tidak memahami kepentingan beragama dengan berpandukan hujah serta ilmiah.

Sesungguhnya Perintah Menjauhi Taqlid buta amat jelas disebut oleh Allah swt di dalam Al-Quran yang bermaksud : "Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

Pengertian taklid daripada sudut bahasa arab bermaksud menggantung sesuatu di leher. Ini bermakna orang yang bertaklid itu tidak ubah seperti haiwan yang diikat lehernya dan mengikuti ke mana sahaja dirinya dibawa oleh tuannya. (Lihat : Lisanul Arab Jilid 1 ms. 469 cetakan Darul Hadith, Kaherah dan rujuk juga Al-Misbahul Munir Jilid 2, ms. 704)

Dari sudut takrifan fuqaha, Taqlid bermaksud : “Menerima perkataan atau pendapat seseorang tanpa berdasarkan hujah(dalil).” (Sila lihat takrifan yang diberikan oleh Imam As-Syi'razi dalam Syarah Al-Luma' Jilid 2, ms. 1005 dan At-Tahmid, Jilid 4, ms.395)

Adapun tindakan para ulama dan orang ramai yang beragama dengan bersumber dan berhujah kepada dalil daripada Al-quran dan Hadith atau sekurang-kurangnya mengikuti pendapat ulama’ dengan mengetahui sumber dan dalil yang digunakan di dalam fatwa ulama tersebut maka hal ini tidaklah dinamakan sebagai taqlid buta yang dicela atau disebut taqlid tanpa hujah kerana Al-Quran dan Sunnah itu sendiri ialah hujah.

Begitu juga jika orang awam mengikuti pendapat imam, ulama' yang bersumberkan kepada Al-quran dan as-sunnah serta mengetahui hujah yang digunakan oleh para ulama’ itu maka tindakan ini juga ialah hujah.

Hal ini amatlah berbeza dengan sikap orang ramai di kalangan umat Islam di Malaysia yang sejak sekian lama beragama tanpa hujah dan tidak langsung peduli atau mempunyai hasrat untuk menyemak apakah amalan agama mereka selama ini benar-benar sahih dan didasari oleh Al-quran dan as-sunnah atau sekadar dakwaan dan ikutan buta.

Umat Islam perlu menyedari bahawa tindakan dan sikap menyandarkan urusan agama kepada para ustaz dan golongan agamawan tanpa mengetahui hujah dan sumber yang digunakan oleh mereka di dalam mengeluarkan fatwa dan hukum adalah tidak boleh.

Perbuatan ini amatlah tercela dan bertentangan dengan agama Islam yang suci dan mendedahkan agama Islam kepada jenayah penipuan, pendustaan dan ibadah yang menyeleweng daripada kitab dan as-sunnah.

Allah SWT pernah menyebut di dalam Al-Quran berkenaan ayat yang bermaksud : “Mereka menjadikan para ulama' dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain daripada Allah.” (Surah At-Taubah : 31).

Maka apabila ayat ini dibacakan oleh Rasulullah Salallahualaihiwasalam kebetulan seorang sahabat bernama Adi' bin Hatim ra (bekas seorang ulama nasrani) yang mendengarnya lantas beliau menegur Rasulullah Salallahualaihiwasalam dengan mengatakan bahawa tidaklah mereka (orang nasrani itu) sampai menjadikan rahib-rahib dan orang alim mereka sebagai tuhan (yakni tidaklah sampai menyembah).

Namun teguran Adi’ bin Hatim ini dijawab oleh baginda Rasul Salallahualaihiwasalam dengan sabdanya yang bermaksud :"Mereka (para rahib) jika menghalalkan sesuatu maka orang ramai pun ikut menghalalkannya (yakni mengikutinya) dan mereka itu jika mengharamkan sesuatu maka orang ramai pun turut ikut mengharamkannya maka itulah bentuk pengibadatan mereka (itulah bukti mereka menyembah para rahib.) - Hadith riwayat At- Tirmidzi no.3095 dengan status yang hasan.

Sungguh perbuatan taqlid dan menuruti seseorang tanpa ilmu amatlah dicela dan dikeji oleh agama Islam yang mulia.

Bahkan para ulama Islam yang lampau seperti Al-Imam Abu Hanifah rahimahullah sendiri pernah berpesan kepada kita dengan berkata : “Tidaklah dihalalkan bagi sesiapa pun untuk menerima pendapat kami (mengikuti mazhab kami) sekiranya mereka tidak tahu daripada mana sumber yang kami gunakan.” (Sila rujuk Ibn’ Abd Barr di dalam Al-Intiqa fi Fadha’il Tsalasah A'immah Fuqahah, ms. 145 dan Ibn’ Qayyim di dalam I'lamul Muwaqi'in, ms. 29).

Demikianlah juga perkataan Al-Imam Malik rahimahullah yang turut mengatakan : “Aku hanyalah seorang manusia yang biasa yang mana pendapat aku kemungkinan adalah benar dan kemungkinan juga adalah salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan.” (Sila rujuk dalam Kitab Jami Bayan Al-Ilm )

Sehingga akhirnya Imam As-syafie rahimahullah yang merupakan ulama sanjungan dan ikutan masyarakat Islam di Malaysia sendiri tidak ketinggalan menegaskan bahawa : "Dan sesungguhnya hadith nabi itu adalah lebih utama maka oleh itu janganlah kamu bertaqlid kepada aku." (Sila rujuk Ibn’ Abi Hatim dalam kitabnya " Adab As-Syafi'ie" ms. 93)

Maka setelah dikaji dan dilihat seluruh naskah kitab-kitab tulisan para ulama Islam sejak sekian zaman di dalam pelbagai bahasa dan daripada pelbagai negara kita akan kagum dan terkejut apabila mendapati bahawa setiap fatwa dan tulisan mereka seringkali menekankan persoalan ilmiah dan ketelusan ilmu supaya beragama dengan bersandarkan Hujah.

Adalah sangat bermanfaat jika kita dapat mengambil pengajaran daripada kata-kata Al-Imam Ibn’ Hazm Al-Andalusi di dalam kitabnya Al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam yang menyebut : Kami tidaklah mengingkari fatwa yang diberikan oleh para ulama’ kepada orang-orang awam yang jahil dan mahu meminta fatwa akan tetapi yang kami mengingkari ialah penetapan fatwa atau pendapat agama tanpa bukti hujah yang mendukunginya, tanpa rujukan kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah kerana yang sedemikian itu boleh menimbulkan kemungkinan kepada berlakunya pendapat yang silap. Bayangkanlah jika di zaman Rasulullah salallahualaihiwasalam sahaja sudah wujud orang yang memberi fatwa yang salah maka sudah pasti pada zaman selepas kewafatan baginda akan boleh berlaku lebih banyak kesilapan dalam perkara yang lebih meluas. Oleh yang demikian maka kita perlulah menghindari fatwa yang dikeluarkan oleh mufti (pemberi fatwa) yang tidak menyandarkannya kepada dalil Al-Qur’an, As-Sunnah serta Ijmak ulama’.” (Sila lihat di dalam Kitab Al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam, jld. 6, ms. 1076)


Di nukil dari Blogger Ustaz Emran
Labels: feqah

No comments:

Post a Comment