Kafarat
Berikut adalah hadis yang menjadi dalil berkenaan kafarat dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu,
“Pernah datang seseorang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kemudian berkata, “Ya Rasulullah, binasalah aku!” Rasulullah bertanya, “Apakah yang membuatmu binasa?” Orang itu menjawab, “Aku menjima’i isteriku di bulan Ramadhan.” Rasulullah bersabda, “Apakah kamu mampu memerdekakan seorang budak?” Orang itu menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Apakah engkau mampu memberi makan enam puluh orang miskin?” Orang itu menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Duduklah.” Dia pun duduk. Kemudian ada yang mengirimkan (membawakan) satu wadah kurma kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Rasulullah bersabda, “Bersedekahlah dengan kurma ini.” Orang itu berkata “Tidak ada di antara dua kampung ini keluarga yang lebih miskin dari kami.” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam pun tertawa hingga terlihat gigi serinya, lalu beliau bersabda, “Ambillah, berilah makan kepada keluargamu.” (Hadis sahih dengan berbagai lafadz yang berbeza dari al-Bukhari (11/516), Muslim (1111), at-Tirmidzi (724), al-Baghawi (6/288), Abu Dawud (2390) ad-Darimi (2/11), Ibnu majah (1671) Ibnu Abi Syaibah (2/183-184) Ibnu Khuzaimah (3/216) Ibnul Jarud (139) asy-Syafi’i (299) Malik (1/297) dan Abdur Razzaq (4/196). Sebahagian mereka memursalkannya dan sebahagian yang lainnya menyambungkannya. Lihat juga di dalam Fathul Bari oleh al-Hafiz Ibnu Hajar (11/516))
1. Kafarat Bagi Laki-Laki yang Menjima' Isterinya
Telah disampaikan berkenaan hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkenaan laki-laki yang menjima’ (menyetubuhi) isterinya di siang hari dalam bulan Ramadhan bahawa dia harus mengqadha puasanya dan sekaligus membayar kafarat iaitu dengan membebaskan (memerdekakan) seorang budak (hamba), jika tidak mampu maka dia wajib berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak mampu maka dia wajib memberi makan enam puluh orang miskin.
Ada yang mengatakan bahawa kalimat kafarat jima’ itu boleh dipilih secara tidak tertib (iaitu tanpa mengikut turutan seperti yang dijelaskan dalam hadis Abu Hurairah). Akan tetapi, mereka yang berpendapat agar ianya mengikut tertib (sesuai urutannya) lebih ramai. Ini adalah kerana riwayat yang dipegang dan digunakan lebih rajih, kerana perawinya lebih banyak jumlahnya dan padanya terdapat kelebihan ilmu, mereka sepakat menyatakan tentang batalnya puasa kerana jima’. Tidak pernah terjadi hal seperti ini dalam riwayat-riwayat lain, dan orang yang berilmu menjadi hujjah atas yang tidak berilmu. Dan hujah yang menyatakan perlunya mengikut tertib itu adalah lebih selamat. Yang menganggap lebih rajih berkenaan perlunya mengikut tertib disebabkan dengan tertib sudah cukup sebagaimana di dalam hadis, sama ada bagi yang menyatakan boleh memilih atau tidak, berbeza dengan sebaliknya.
2. Gugurnya Kafarat
Barangsiapa yang telah wajib membayar kafarat, namun tidak mampu membebaskan seorang budak atau pun berpuasa (dua bulan berturut-turut) dan juga tidak mampu memberi makan (enam puluh orang miskin), maka gugurlah kewajibannya membayar kafarat tersebut, kerana tidak ada beban syari'at kecuali jika ada kemampuan. Allah berfirman:
“Allah tidak membebani jiwa kecuali mengikut kemampuannya.” (al-Baqarah, 2: 286)
Dan dengan dalil Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menggugurkan kafarat dari orang tersebut, ketika mengkhabarkan kesulitannya dan memberinya satu wadah kurma untuk diberikan kepada keluarganya.
3. Kafarat Hanya Bagi Laki-Laki
Seorang wanita tidak ditsabitkan dengan kewajiban membayar kafarat, karena ketika dikhabarkan kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam berkenaan perbuatan yang terjadi di antara seorang laki-laki dengan isterinya tersebut, beliau Shalallahu ‘alaihi wa Sallam hanya mewajibkan satu kafarat saja, Wallahu a'lam.
Di salin dari blogger Nawawi Sbandi
070110
2.25 pm
No comments:
Post a Comment