I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, January 31, 2010

Persoalan Membaca Qunut Subuh



Ustaz Emran
Universiti Imam Yamen.

Menjawab persoalan yang berlegar oleh beberapa pihak yang ingin mengetahui persoalan khilaf (Perselisihan) berkenaan bacaan qunut pada waktu subuh ini maka ana dengan ini menulis dan memberikan jawapan secara ringkas.

Menyelesaikan permasalahan bacaan qunut di waktu subuh hendaklah dengan memahami perbahasan dan perselisihan mengenainya terlebih dahulu dan ini disebutkan sebagaimana diriwayatkan dari Qatadah ra : "Barangsiapa yang tidak mengetahui perkara khilaf, tidaklah sampai melepasi ilmu fiqh dari hidungnya (maksudnya belumlah mahir)".

Juga terdapat dalam riwayat dari Usman Ibn Atho ra mengatakan : " Tidak patut bagi seseorang berfatwa melainkan setelah dia mengetahui tentang perkara yang diperselisihkan (khilaf) oleh orang lain" (Sila rujuk Ibn. Abd Bar' dalam " Jami' Bayan Ulum").


Pengertian Qunut

Qunut bererti doa dan juga bermaksud ketaatan atau dalam bentuk lain bermakna berdiri lurus (lihat dalam Lisanul Arab m/s 504 Jilid 7).

Allah swt mengunakan perkataan qunut ini dalam beberapa keadaan yang masing-masing membawa maksud ketaatan, berdiri lurus, berdoa dan kepatuhan.

“Berdirilah kepada Allah dalam kepatuhan” (Al-Baqarah : 238).

“Wahai Maryam berdoalah kepada tuhanmu dan sujudlah dan rukuklah bersama golongan yang meruku’" (Alil-Imran : 43).


Membaca Doa Qunut dalam Solat Subuh

Para ulama dan ahli ilmu berselisih dalam masalah membaca doa qunut pada waktu subuh kepada beberapa pendapat. Demi meringkaskan perbincangan maka cukup ana keutarakan mazhab dan pendapat yang mengatakan ianya sunat seperti yang dilakukan oleh masyarakat Melayu.

Mazhab Malik dan Syafie mengatakan bahawa perbuatan membaca Qunut dalam solat Subuh ialah sunat yang dituntut (lihat dalam Al-Mudawanah, Al-Istizkar dan Al-Umm serta Al-Majmuk M/s 494 Jilid 3).

Mereka (yang berpendapat sunat) berdalilkan kepada hujah berikut :

Hadith riwayat Anas ra yang ditanyakan : Apakah nabi berqunut pada waktu subuh ? maka dijawab : " Ya " dan ditanya apakah sebelum rukuk dibuat qunut ? lalu dijawab : " Selepas rukuk dengan secara ringkas " (hadith sahih riwayat Bukhari no. 1001 dan Muslim no. 677).Sebahagian ulamak mesyarahkan hadis ini sebagai Qunut Nazilah,selama sebulan sahaja dimana Nabi s.a.w. melakukan Qunut didalam semua solat waktu termasuk subuh.

Hadith Bara’a Ibn Azib ra yang mengatakan : “Sesungguhnya rasulullah salalallahualaihiwasalam melakukan qunut dalam subuh dan maghrib” (Hadith sahih riwayat Muslim no. 678, Tirmidzi no. 401 dan Abu Daud dan Nasaie serta khilaf pada Amru ibn Marah pada lafaz maghrib”).(Qunut Nazilah)

Dari hadith Anas ra bahawa beliau berkata : “ Tidaklah rasulullah meninggalkan qunut sehinggalah baginda rasulullah meninggalkan dunia” (makna hadis ini ialah nabi melakukan Qunut subuh sehingga beliau wafat).Tetapi (hadith ini mungkar tidak sahih riwayat Ahmad dan Daruquthni dan baihaqi).

Serta beberapa hadith lain yang akan diterangkan kemudian kerana berkongsi hadith itu sebagai dalil dengan pihak yang menafikan kesunatan qunut dan sebaliknya mengatakan ianya bid’ah dan sudah dimansuhkan.

Mereka yang mengatakan qunut telah dimansuhkan ialah mazhab Abu Hanifah (lihat Al-Mabsuth m/s 165 jilid 1 dan Fathul Qadir m/s 431 Jilid 1).

Pendapat mereka berasaskan hadith dari Abi Malik Al-Asyja’ie yang berkata kepada bapanya : “Wahai bapa sesungguhnya engkau telah solat di belakang rasulullah salallahualaihiwasalam dan Abu Bakar dan Umar, Utsman serta Ali ibn Abi Thalib di Kufah ini yang sudah mencapai 5 tahun maka apakah mereka itu berqunut ?” Lalu dijawab : “Tidak bahkan ianya yang diada-adakan iaitu bid’ah (yakni tidak pernah dibuat oleh para sahabt dan rasulullah)” (Isnad sahih riwayat tirmidzi no. 402, Ibn Majah dan Ahmad serta Ibn Abi Syaibah).

Bapa kepada Abu Malik ini ialah Tariq ibn Asyim ra dan sebenarnya qunut ini jelas berlaku tetapi tidak diteruskan melainkan hanya sebentar cuma dalam tempoh sebulan sempena qunut nazilah yang akan diterangkan kemudian.

Diriwayatkan dari Ummu Salamah ra : “Baginda rasulullah salallahualaihiwasalam melarang dari melakukan qunut di waktu subuh” ( hadith riwayat Daruquthni dengan isnad lemah & ringan).

Diriwayatkan dari Ibn Mas’ud ra : “Tidaklah baginda berqunut subuh melainkan sebulan kemudian tidak lagi selepas itu dan sebelum itu” (Dikeluarkan oleh Thahawi dalam syarah Mughni dan Baihaqi dengan Isnad ringan dan lemah).

Diriwayatkan oleh Ibn Umar : “ Sesungguhnya ianya ialah bid’ah dan tidaklah dibuat oleh baginda rasulullah melainkan sebulan kemudian ditinggalkan” ( hadith dhaif riwayat Baihaqi no. 213 Jilid 2).

Juga dari Ibn Umar ra : “ Tidaklah aku melihat sesiapa pun yang membuatnya (qunut subuh)” (Isnad Sahih riwayat Abd razaq no. 4954).

Dari Ibn Mas’ud : “Sesungguhnya baginda tidaklah berqunut di solat subuh” ( Isnad Sahih riwayat Abd Razaq no. 3949).

Mereka dari mazhab Abu Hanifah ra mengatakan hujah mansuhnya perbuatan qunut subuh ini bersempena dengan mansuhnya juga qunut dalam solat Maghrib (Nazilah) dan tiada alasan dan hujah untuk meneruskan qunut yang khusus pada waktu subuh melainkan dengan dalil khas.


Pendapat yang mengatakan qunut tidaklah dibuat oleh rasulullah salallahualaihiwasalam melainkan pada waktu qunut nazilah ialah pendapat mazhab Imam Ahmad ra dan sebahagian dari ulama muta’akhirin dari hanafiyah (lihat Al-Mughni oleh Ibn Qudamah m/s 587 Jilid 2 dan Fathul Qadir oleh Ibn Humam ).

Mereka membuat hujah berdasarkan dalil-dalil sebelumnya dan kemudian menambah dengan dalil dari hadith Anas ra yang berkata : “ Sesungguhnya nabi salallahualaihiwasalam tidaklah berqunut kecuali untuk berdoa kepada sesuatu kaum atau berdoa ke atas kaum tertentu” (Isnad ringan riwayat ibn Khuzaimah no. 620).

Hadith Abu Hurairah ra yang mengisahkan mengenai tertib dibuat qunut yang mengandungi bacaan qunut nazilah dan kemudian disebut telah sampai kepada kami (iaitu Zuhri seperti yang diberikan isyarat oleh Hafiz Ibn hajar ra) bahawa perbuatan qunut nazilah ini ditinggalkan setelah turunnya ayat : “Tidaklah menjadi urusan engkau sedikit pun mengenai mereka sama ada Allah hendak menerima taubat mereka atau menyiksa mereka sesungguhnya mereka itu golongan yang zalim” ayat 128 dari surah Alil Imran” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 804 dan Muslim 675).

Pendapat Imam Sauri dan Ibn Jarir At-tabari dan Ibn Hazm serta Ibn Qayyim ialah boleh membuat qunut dan boleh pula meninggalkannya seperti yang dimuatkan dalam Zadul Ma’ad dan Al-Muhalla oleh Ibn Hazm dan pendapat ini pun bukanlah yang terbaik dan tepat tetapi boleh dijadikan sebagai kelonggaran bagi ramai pihak.

Kesimpulannya

Membaca setiap hujah dan dalil-dalil dari pelbagai pendapat di atas serta banyak lagi yang belum dimuatkan sekurangnya pembaca dapat memperolehi bayangan mengenai keputusan yang wajar dan sahih.

Tidak syak lagi bahawa qunut memang pernah dibuat oleh rasulullah dan ianya bukan hanya pada waktu subuh tetapi setiap waktu termasuk Maghrib dan Insya’ dan lain-lain. Adapun qunut yang dibuat oleh rasulullah itu ialah qunut nazilah kerana itulah yang diriwayatkan dalam semua hadith-hadith baginda berkait bacaan doa dalam qunut yang menunjukkan hanya qunut nazilah yang dibuat oleh baginda dalam beberapa tempoh waktu.Pada zaman sekarang Qunut nazilah boleh dilakukan pada setiap solat waktu,cuma beberapa hari tertentu sahaja contohnya seperti mendoakan keselamatan rakyat palastin dan mendoakan kehancuran regim Israil.

Disebabkan tiada dalil sahih mengatakan qunut terus dibuat selepas kewafatan rasulullah dan selepas tempoh qunut nazilah juga lebih-lebih lagi hanya khusus untuk subuh maka pendapat yang mengatakan telah mansuh dan hanya dibuat ketika berlakunya hajat seperti qunut nazilah itulah yang paling tepat seperti yang diriwayatkan dalam musonaf Imam Abd Razaq As-San’ani Al-Yamani ra.

Pendapat yang paling tepat ialah tidaklah dibuat qunut subuh secara khusus dan ianya termasuk bid’ah apabila hanya berqunut pada waktu subuh dan termasuk bid’ah juga ialah melakukan sujud sahwi kerana tidak melakukan qunut subuh misalnya apabila ada kumpulan yang mengikuti Imam yang tidak berqunut kemudian melakukan sujud selepas salam dan ini termasuk bid’ah.

Dibolehkan untuk membuat qunut pada waktu solat tidak hanya subuh tetapi baik Zohor, Asar dan Maghrib serta Isyak bersesuaian keperluan seperti mendoakan hajat yang dinamakan qunut nazilah.

Bersesuaian dengan hadith Ibn Abbas ra yang berkata : “ Telah berqunut rasulullah selama sebulan berturut-turut pada waktu Zohor dan Asar dan Maghrib serta Isyak juga Subuh di akhir setiap solat setelah membaca “samiallahuliman hamidah pada rakaat terakhir dengan mendoakan keselamatan Bani Salim ke atas Ry’lan dan Zakuan dan lain-lain…” (hadith hasan riwayat Ahmad dan Ibn Jarud dan Ibn Khuzaimah dan Hakim serta Baihaqi dan mempunyai syahid dari hadith Abu Hurairah dalam Bukhari).

Diedit dengan sedikit tambahan

Wallahualam

Segala puji hanyalah bagi Allah swt.

1 comment:

  1. SEGA GENESIS - GAN-GAMING
    SEGA 메이피로출장마사지 GENESIS. GENESIS-HANDS. Genesis (JP-EU). nba매니아 NA. NA. NA. SEGA GENESIS-HANDS. NA. SEGA sol.edu.kg GENESIS. 1등 사이트 NA. GENESIS-HANDS. goyangfc NA.

    ReplyDelete