I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, May 16, 2012

APABILA MATI ANAK ADAM MAKA TERPUTUSLAH AMALANNYA KECUALI TIGA PERKARA ...



Assalamualaikum,
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." 
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya) 

Assalamualaikum, kita sering mendengar hadis di atas yang di bawakan oleh ustaz2 kita di TV, Radio di internet dan sebagainya. Persoalannya sekarang adakah kita benar2 faham apa yang di maksudkan oleh hadis diatas? 

Dalam hadis di atas menerangkan bahawa apabila telah meninggalnya seseorang manusia,tiada lah apa apa yang dapat menolongnya kecuali tiga perkara sahaja. 1. sedekah jariah yang di berikan semasa hidupnya. 2. Segala ilmu yang baik yang di ajarkan kepada orang semasa hidupnya. 3. Doa anak yang soleh/solehah terhadap ibubapanya yang di tingalkannya (di warisinya). 

1.Sedekah Jariah
Segala bentuk sedekah bahan yang dikeluarkan oleh si mati semasa hayatnya termasuklah sedekah wang,makanan,harta benda dan dalam katogeri ini termasuk juga harta yang di waqafkan oleh si mati semasa hidupnya. Sebagai contoh seseorang itu mendirikan surau untuk kegunaan Masyarakat setempat. Selagi mana surau itu di menfaatkan selagi itulah pahala mengalir untuk si mati. Orang yang hidup atau waris boleh juga bersedekahkan bagi pihak si mati tak kiralah samaada sedekah itu hasil dari wang,harta, peninggalan si mati atau wang waris sendiri.Yang pentingnya ialah niat kita untuk bersedekah bagi pihak si mati. Amalan "waqaf" dalam Islam juga telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w. dan telah berkembang di negara-negara Islam hingga hari ini dan seterusnya, malah ada yang datang membentuk "Kementerian Waqaf "

2.Doa
Selain dari doa anak anak yang soleh/solehah terhadap ibubapanya, doa antara sesama kaum muslimin pun bermenfaat untuk si mati. Ini berdasarkan kepada dalil berikut : Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan RahmatMu”. Al-Hasyr ayat 10.
Mengenai doa anak yang soleh/solehah Insya’Allah doa akan bermenfaat jika anak2 itu bersolat.Kalau tak solat pasti doa itu tak akan diterima sebab solat itu tiang agama, tidak diterima segala amal kebaikan jika tidak bersolat termasuklah doa. Jadi usahakanlah supaya anak anak kita terdiri dari golongan orang orang yang mengerjakan solat.


3.Ilmu yang bermenfaat

"Ilmu yang berguna atau bermanfaat yang di ajarkan kepada orang lain," yang tersebut dalam hadith ialah ilmu yang berhubung dengan agama Islam secara khusus dan juga yang berhubung dengan ilmu ilmu kemajuan di dunia secara umum, sama ada melalui syarahannya,pengajaran kepada murid-muridnya dan orang ramai,atau melalui kitab-kitab dan buku-buku karangannya. 

Selagi ilmu yang diajarkannya atau kitab-kitab dan buku-buku karangannya masih wujud dan dinikmati faedahnya oleh umum maka ia akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati.

4.Membayar hutang puasa si mati. 

Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Seorang lelaki datang mengadap Nabi Muhammad s.a.w. lalu berkata: "Ya Rasulullah, ibu saya telah mati sedang ia menanggung hutang puasa (yang wajib) selama sebulan, bolehkah saya mengqadha puasanya itu?" 

Baginda menjawab: "Boleh, (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang (manusia kepada) Allah lebih berhak diselesaikan. 

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari) 

Hadith ini mengatakan bahawa orang mati yang menanggung hutang puasa yang wajib (sama ada puasa Ramadhan atau pun puasa nazar atau puasa kifarah), boleh dibayar oleh orang yang termasuk dalam lingkungan kaum kerabatnya - dengan jalan berpuasa untuknya. 

Dalam hal ini Imam Nawawi rahimahullah berkata: Imam al-Syafi'i rahimahullah, mempunyai "dua pendapat" dalam masalah ini: 

Pertama - Hutang puasa si mati hendaklah dibayar dengan "fidyah" sahaja. 

Kedua - Boleh juga dibayar dengan jalan berpuasa untuknya. 

Berdasarkan keterangan yang tersebut, maka kesimpulan masalah ini dalam mazhab Syafi'i ialah: Menurut "pendapat" yang pertama: Hutang puasa si mati , hendaklah di bayar dengan "fidyah" sahaja oleh walinya. 

Menurut "pendapat" yang kedua pula : Pihak walinya bebas memilih, sama ada dengan memberi fidyah atau dengan berpuasa untuknya. 

Salah satu hadis yang lain juga:

Dari `Aisyah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa mati sedang ia menanggung hutang puasa (yang wajib) hendaklah walinya (membayar dengan) berpuasa untuknya". 

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim) 

5.Melangsaikan hutang harta si mati 

Kita juga boleh membantu si mati dengan cara melangsaikan hutang harta si mati. Terdapat beberapa hadis yang menceritakan kebolehan tersebut. Terdapat banyak lagi hadis yang menceritakan akan kebolehan dan kewajipan melunaskan hutang si mati. Antaranya:

Dari Ibn Abbas r.a., bahawa: .. Rasulullah s.a.w bersabda: ".. (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan." 

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim). 

6.Amalan baik anak anak sendiri 

Di dalam Al-Quran, ayat 39, Allah telah berfirman yang bermaksud:

Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.

Terang di dalam ayat di atas mengatakan bahawa usaha seseorang akan di bawa ketika telah mati. Zuriat yang di tinggalkan adalah hasil usaha si mati sendiri semasa hidupnya. Jadi bagaimana pula ayat di atas dapat menjadi dalil yang membolehkan amalan baik anak itu sampai kepada si mati? Persoalan ini terjawab dengan hadis sahih di bawah:

Sesungguhnya makanan yang paling baik untuk di makan oleh seseorang ialah hasil titik peluhnya sendiri. Dan sesungguhnya anak adalah sebahagian daripada hasil usaha kita sendiri.

[Hadith sahih-Al-Hakim, Imam At-Turmudzi, Imam Ahmad, Abu Daud An-Nasai]

Di dalam hadis yang lain:

Hadis Aisyah r.a: 

Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal dunia secara mengejut dan tidak sempat berwasiat tetapi aku menduga, seandainya dia mampu berkata-kata, tentu dia menyuruh untuk bersedekah. Adakah dia akan mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Rasulullah s.a.w bersabda: Benar! Sahih Muslim

Kesimpulanya di sini jika si mati mewarisi anak2 yang soleh solehah maka si mati akan mendapat pahala hasil dari kebaikan dan kosolehan anak anaknya itu,tetapi jika anak anaknya tidak soleh/solehah si mati akan mendapat kesusahan di alam kubur.

Akhir kalam, ada satu perkara yang diperselisihkan oleh ulamak dari dahulu sampai sekarang iaitu “adakah sampai bacaan ayat ayat al Quran yang kita sedekah kepada si mati.” Menurut Imam syafi’ dan sebahagian murid dan pengikutnya adalah tidak sampai . Sebahagian yang lain berpendapat adalah sampai sedekah pahala tersebut. Allahua’lam.

Allahua’lam.

Friday, January 6, 2012

AKTIVITI MENCERCA,MENGUMPAT,MEMAKI HAMUN OLEH AGAMAWAN SEMASA

AKTIVITI MENCERCA,MENGUMPAT,MEMAKI HAMUN OLEH AGAMAWAN SEMASA

Assalamaualaikum,

Firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Ta-ha [43] "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya"

Ta-Ha [44] "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut"

Semenjak kebelakangan ini aktiviti mencerca, mengumpat, memaki hamun yg dilakukan oleh sebahagian agamawan semasa semakin menular di interternet terutamanya di youtube.Kalau kita rajin search di youtube terutamanya video2 yang berbentuk ceramah kita akan dapati akan ada ustaz2 semasa yang tak perlu penulis sebut nama mereka, dalam ceramah2/pengajian ilmu lidah mereka begitu ringan utk mengutuk,mengumpat serta memaki hamun individu2 lain yang berbeza pendapat dengan mereka dengan kata2 kesat seperti ustaz anjing,bapa syaitan, ustaz sesat,ustaz dua ekor tuuu,ustaz bodoh,bangang ... (sambil terang2 menyebut nama individu tersebut).Ustaz 2 seperti ini lah rangkingnya di youtube begitu tinggi dan familiar dari yang lain.Biasanya Masjid atau surau akan penuh apabila mereka berceramah, seolah2 orang awam begitu cenderung dgn isi2 cermah yang suka mengumpat,mencerca serta memaki hamun ini. Ustaz2 ini seolah2 tidak memahami akan 3 ayat Al Quran diatas dimana Allah s.w.t. menyuruh kita berdakwah dgn hikmah & bijaksana serta dgn kata2 yg lembut sebagaimana Allah menyuruh Nabi Musa berhadapan dgn Firaun dgn kata2 yg lembut.Apa yang pelik ialah setiap kali ceramah menyambut maulid Nabi mereka akan tekankan bahawa Nabi s.a.w. itu adalah contoh tauladan yang baik utk diikuti terutamanya dari segi akhlak Nabi dalam menyampaikan dakwah.Tetapi apa yang mereka sarankan itu mereka sendiri tidak ikuti.Kalau ada yang mengkritik cara mereka berdakwah alasan yg sering di beri ialah dalam Islam ada perkara2 yang boleh kita umpat. Allahua’lam.

Cuba lihat video2 berikut ;

1. http://www.youtube.com/watch?v=FFWwujOGreY

2. http://www.youtube.com/watch?v=qDyH9qtBp8Q


Tuesday, January 3, 2012

PERPECAHAN DI KALANGAN UMMAT ISLAM AKHIR ZAMAN



HADIS-hadis terakhir Nabi s.a.w. banyak memaparkan perihal keperihatinan dan kerunsingan baginda terhadap situasi umat Islam pada akhir zaman. Sebab itulah ungkapan ‘umatku” diulang-ulang dan merupakan lafaz kata terakhir Nabi s.a.w. yang didengari isteri baginda Saidatina Aisyah r.a. sebelum diwafatkan oleh Allah.

Demikianlah kuatnya kasih dan sayang Nabi s.a.w. terhadap umat baginda sehinggakan pada saat-saat akhir hayat terus resah memikirkan nasib umat. Antara yang paling dibimbangi Rasulullah s.a.w. sebagaimana diungkapkan dalam banyak hadis ialah senario perpecahan di kalangan umat Islam yang diakibatkan oleh pelbagai aliran pemikiran dan pertentangan pendapat.

Walaupun hakikatnya Islam tidak pernah menolak kepelbagaian pendapat, namun perselisihan yang menimbulkan pertentangan tajam sehingga menenggelamkan hakikat persamaan risalah dan matlamat ditentang sama sekali.

Jika diperhatikan secara objektif, kebanyakan perselisihan yang membawa kepada pertentangan dan perpecahan amat terkait dengan sikap fanatik terhadap pendapat sendiri, lantas cuba memonopoli pemikiran dan tiada kesediaan untuk menghormati pandangan orang lain. Penyakit yang disebut juga sebagai ‘al-‘ijab bi al-ra‘yi’ atau penyakit mengkagumi pendapat sendiri ini bagaikan wabak merbahaya yang sedang menjalar dalam urat saraf umat sehingga mereka tidak lagi mewarisi sikap dan adab para pejuang dan pendokong Islam terdahulu.

Kejahilan

Sesungguhnya kedatangan Islam kepada umat manusia bertujuan membebaskan mereka daripada kejahilan dan kejumudan kepada pemikiran yang bebas dan merdeka yang dibimbing oleh cahaya wahyu Ilahi. Sebab itulah Rasulullah s.a.w. menegaskan: Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jama‘ah lalu dia mati, maka dia mati jahiliah. Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada assabiah atau marah kerana assabiah maka kematiannya adalah jahiliah. (Riwayat Muslim, An-Nasai dan Ibnu Majah).

Perkataan al-Jamaah dalam hadis di atas tidaklah merujuk secara khusus kepada mana-mana parti politik ataupun pertubuhan-pertubuhan tertentu. Sebaliknya mengikut ulama Al-Hindawi dalam bukunya Dirasat Haul al-Jama‘ah wa al-Jama‘at, perkataan al-jamaah sebagaimana yang disebut dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. merujuk kepada kesepakatan kaum muslimin, para sahabat Nabi s.a.w., para ulama, para pemerintah dan lain-lain.

Apa yang turut dipertegaskan dalam hadis di atas ialah penentangan Nabi berkenaan ketaksuban membuta tuli seseorang kepada kelompok yang disertainya. Sebab itulah Al-Sindi dalam kitab Syarh Ibn Majah menerangkan kalimah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) ialah fenomena ketaksuban melampau di kalangan masyarakat yang berhimpun dan menyokong atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil.

Sikap sebeginilah yang Nabi s.a.w. istilahkan sebagai assabiah atau ketaksuban melampau terhadap sesuatu kaum atau kelompok. Hinggakan Nabi secara keras dan tegas menentang sesiapa yang mendokong dan melebarkan faham assabiah yang menyesatkan. Dalam hadis lain disebutkan: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada assabiah, bukan sesiapa yang berperang atas assabiah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas assabiah. (Riwayat Abu Daud).

Istilah assabiah bukanlah bermaksud halangan Islam terhadap semangat cintakan sesuatu kaum atau kelompok. Dalam menjelaskan maksud assabiah, Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’: Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan al-assabiah? Sabda baginda: “Kamu menolong kaummu atas kezaliman”.

Namun apa yang menyedihkan kini, umat Islam rata-rata dihinggapi penyakit assabiah yang menyesatkan. Penyakit assabiah atau ketaksuban kepada kelompok hingga tergamak menyesatkan kelompok yang lain bagaikan fenomena lumrah di mana-mana sahaja termasuklah di dalam negara kita yang tercinta ini.

Suasana

Gara-gara penyakit inilah maka kita menyaksikan suasana umat yang amat menyayat hati dan meruntun emosi. Gamatnya pertelagahan di kalangan pendokong-pendokong wadah Islam sehingga mengakibatkan terabainya tanggungjawab utama menyelesaikan pelbagai masalah umat yang melanda kini. Sebaliknya seluruh tenaga dihabiskan dan tertumpu kepada polemik, politiking, adu-domba dan perlumbaan menambah bilangan penyokong pendapat masing-masing.

Justeru, dalam upaya mengembalikan sinar kegemilangan Islam yang semakin pudar, usaha penjernihan sikap dan pemikiran harus segera dilakukan ke atas setiap umat Islam. Umat seharusnya kembali menjiwai budaya dan prinsip penting yang mendasari sikap dan perwatakan generasi awal Islam terutamanya dalam menangani fenomena perbezaan pendapat ini.

Prinsip-prinsip tersebut termasuklah sikap keterbukaan kepada pandangan berbeza, tidak taksub atau fanatik kepada pandangan sendiri, berlapang dada, saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain. Mungkin jalan keluar dari belitan konflik kefanatikan pemikiran yang melanda kini terumus dalam ungkapan keramat tokoh reformis Islam, Jamaluddin al-Afghani: Bekerjasamalah dalam hal-hal yang disepakati dan berkompromi dalam hal-hal yang diperselisihkan.

Sesungguhnya kepelbagaian pendapat sebenarnya mampu memperkaya khazanah pemikiran Islam andainya kita bersedia menghadapinya secara dewasa. Tetapi andainya kita menanganinya dengan sikap keanak-anakan, menganggap mereka yang tidak sealiran sebagai musuh, maka perbezaan pendapat pasti menjadi bahan bakar penyemarak api persengketaan yang membinasakan.

http://smzblog.wordpress.com/2008/04/01/perpecahan-umat-islam-akhir-zaman/

Thursday, November 17, 2011

CIRI CIRI KHAWARIJH



Makna khawarijh " keluar dari keta'atan terhadap pemimpin Islam"

" tidak ta'at dalam perkara kebaikan secara total"

Ada pun ciri ciri Khawarijh antaranya :

1.Suka Mencela dan Menyesatkan Orang

Golongan Khawarij sangat mudah mencela dan menganggap Muslim yang tidak sehaluan atau sependapat dengan mereka sebagai sesat, bahkan dalam satu peristiwa, Rasulullah s.a.w sendiri dikatakan sesat kerana tidak berlaku adil dalam pembahagian ghanimah (harta rampasan perang). Seandainya kepada Rasulullah s.a.w pun mereka sanggup berkata seperti itu, termasuklah kata-kata seperti “Nabi Muhammad s.a.w itu dimuliakan kerana wahyu yang diturunkan kepadanya,” atau “Kalau tak kerana wahyu, Muhammad bin Abdullah tu sama macam kita saja. Macam budak-budak kampung yang lain,” apatah lagi terhadap Muslim yang lain. Mereka telah mengkafirkan Syaidina Ali r.a, Syaidina Muawiyyah r.a, dan Sahabat-Sahabat r.a yang lain.

Fenomena sebegini telah dan sedang berlaku dalam masyarakat Melayu -Islam di Malaysia, terutama dari fikrah politik yang bertentangan antara satu sama lain.Kesannya, wujudlah isu kafir-mengkafir dan kerelaan untuk melihat kemusnahan & perpecahan umat Islam yang berlainan fikrah dan ideologi politik.

2.Suka buruk sangka atau berprasangka

Kaum Khawarij telah dibuktikan menjadi golongan yang paling mudah berburuk sangka. Dalam catatan sejarah, mereka berburuk sangka terhadap Rasulullah s.a.w dalam pembahagian ghanimah, bahkan sehingga sanggup menuduh Rasulullah s.a.w tidak mencari keredhaan Allah Taala dan tidak berlaku adil.Mereka juga menuduh Syaidina Uthman Affan r.a sebagai pengamal nepotisme dan menuduh Syaidina Ali r.a sebagai pemimpin yang tidak berwawasan.

3.Bersikap Keras Sesama Muslim Tetapi Lunak Terhadap Golongan Kafir

Hadis Rasulullah s.a.w menyatakan golongan Khawarij sangat cenderung untuk menjatuhkan hukum terhadap orang Islam yang tidak sehaluan dengan mereka secara keras,tetapi sangat bersikap sangat lembut dan lunak terhadap penyembah berhala dan kaum kafir.

Golongan Khawarij seringkali digambarkan di dalam hadis-hadis baginda Rasulullah s.a.w sebagai golongan muda yang hanya mempunyai semangat yang berkobar kobar & meluap -luap
tetapi mempunyai pemahaman yang cetek dalam hal hal agama.Terlalu berbangga bangga dengan ilmu yang sedikit dan sering menguji orang yang dirasakan kurang berilmu dari mereka.
Mereka berdakwah kepada manusia agar mengamalkan al Quran dan kembali kepada ajaran al Quran sedangkan mereka sendiri tidak mengamalkannya dan memahami isi kandungannya.
Bahkan mereka sangat cenderung untuk memilih bahagian-bahagian al Quran yang dirasakan bersesuaian dengan hawa nafsu mereka dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Sesuatu yang sangat jelas ialah golongan Khawarij sangat mudah keluar dari Islam sama ada mereka sedar atau sebaliknya sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Mereka keluar dari Islam sebagaimana anak panah keluar dari busurnya"
Golongan Khawarij akan sentiasa wujud sehingga kedatangan kiamat sebagaimana yang tercantum dalam sebuah hadis yang bermaksud, “‘Mereka akan sentiasa keluar sampai yang terakhir keluar bersama-sama Al-Masih ad-Dajjal"

Khawarij adalah seburuk-buruk makhluk dan berkedudukan sangat rendah di kalangan umat Islam. Pada hari akhirat, merekalah yang disebutkan sebagai "ANJING NERAKA". Dek kerana itulah, Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadisnya menyuruh kita agar membunuh mereka seandainya bertemu mereka, cuma menurut ulamak mereka di hukum oleh pemerintah bukan orang awam.

Khawarij akan muncul pada bila-bila masa sahaja.Bermula dengan ketidakpercayaan (‘adamuts tsiqah) sebahagian mereka kepada pemimpin kaum Muslimin iaitu Syaidina Uthman Affan r.a yang mereka anggap tidak adil, pengamal nepotisme dan kronisme sehinggalah ke zaman kini di mana mereka bertindak sebagai pemecah belah umat Islam dengan teori-teori atau dogma-dogma politik mereka dalam mencari kekuasaan.Ibn Taimiyyah di dalam kitabnya, Al-Fatawa menyatakan Khawarij adalah Firqah Bathil yang pertama muncul dalam Islam.“Bidaah yang pertama muncul dalam Islam adalah bidaah Khawarij”

Allahua'lam.

Monday, September 26, 2011

Jom Amal Zikir Pagi dan Petang






1. Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk.
Membaca ayat al-Kursi: (Al-Baqarah: 255).
[ “Barangsiapa membacanya ketika pagi hari, maka dia dijaga daripada (ganguan) jin hingga petang hari. Dan barangsiapa mengucapkannya ketika petang hari, maka dia dijaga daripada (ganguan) jin hingga pagi hari.” HR. Al-Hakim, 1/562. Al-Albani berpendapat hadits tersebut shahih dalam Shahih At-Targhib wat Tarhib 1/273 dan beliau menisbatkan hadits tersebut kepada An-Nasa’i dan Ath-Thabrani, beliau berkata, isnad Ath-Thabrani jayyid’.]
2. Membaca surah: Al-Ikhlas (3 kali), al-Falaq (3 kali), dan an-Nas (3 kali)
[“Barangsiapa membaca tiga surat tersebut tiga kali setiap pagi dan petang hari, maka ia (tiga surat tersebut) cukup baginya daripada segala sesuatu.” HR. Abu Dawud 4/322, At-Tirmidzi 5/567 dan lihat Shahih At-Tirmidzi 3/182.]
3:
أَصْبَحْنَا وَأَصْبَحَ الْمُلْكُ لِلَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ. رَبِّ أَسْأَلُكَ خَيْرَ مَا فِيْ هَذَا الْيَوْمِ وَخَيْرَ مَا بَعْدَهُ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِيْ هَذَا الْيَوْمِ وَشَرِّ مَا بَعْدَهُ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْكَسَلِ وَسُوْءِ الْكِبَرِ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابٍ فِي النَّارِ وَعَذَابٍ فِي الْقَبْرِ.
“Kami telah memasuki waktu pagi dan kerajaan hanya milik Allah, segala puji bagi Allah. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. Bagi-Nya kerajaan dan bagiNya pujian. Dia-lah Yang Mahakuasa atas segala sesuatu. Hai Tuhan, aku mohon denganMu kebaikan di hari ini dan kebaikan sesudahnya. Aku berlindung denganMu daripada kejahatan hari ini dan kejahatan sesudahnya. Wahai Tuhan, aku berlindung denganMu daripada kemalasan dan keburukan di hari tua. Wahai Tuhan! Aku berlindung denganMu daripada seksaan di neraka dan kubur.”

Seterusnya sila klil : http://www.intisonline.com/artikel/jom-amal-zikir-pagi-dan-petang



Friday, July 22, 2011

SIAPAKAH HASAN AL BANA DAN IKHWANUL MUSLIMIN?





Siapa Hasan al-Banna?

Assalamualaikum,

Wahai saudara saudara seIslamku,pernahkah Saudara2 mendengar nama yang sering di sebut oleh ustaz2 kita dalam ceramah ceramah mereka di mana insan ini sering di angkat dan dipuji sebagai tokoh terkenal di suatu ketika dahulu dan dikatakan oleh pengikutnya mati syahid kerana menetang pemimpin Islam pada masa itu Mustafa an-Nuhas Pasha di Mesir. Antara slogan yang di bawa oleh tokoh ini ialah “Kami inginkan penyatuan saf (barisan), bukan menyatukan pendapat (pandangan)”. (Lihat: Fikru at-Takfir Qadiman wa-Hadisan. Hlm. 153 Abdus Salam bin Salim bin Raja as-Suhaimi).Tahukah saudara2 ku bagaimana Aqidah (kepercayaan) dan Manhaj (jalan) yang di bawa oleh tokoh ini sehingga ia menjadi ikutan Gerakan Islam dan tokoh2nya di dunia Islam Amnya dan di Nusantara khususnya sehingga kini. Untuk itu teruskan membaca artikel di bawah ini.

Intro : sebagai pengenalan :

Hasan al-Banna adalah pengasas pertubuhan “Ikhwanul Muslimin” (Muslim Brotherhood) di Kota Ismailiyah, Mesir pada tahun 1928M atau pada Zulkaedah 1347H. (Lihat: al-Mausu’ah al-Muyassarah. Hlm. 23) Manakala Jema’ah Ikhwanul Muslimin pula adalah mereka yang menjadi pengikut kepelbagaian pemikiran Hasan al-Banna dan pengikut tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin sesudahnya seperti Syed Qutub, Sa'id Hawa (gurunya Hj Abdul Hadi Awang),Prof. Dr. Yusuf Qaradhawi dan yang lainnya.

Hasan al-Banna... semoga Allah merahmati dan mengampuninya, dilahirkan di kampung al-Mahmudiyah Mudiriyah al-Buhariyah (Mesir) pada 1324H bersamaan 1906M. (Lihat: an-Nuqtah Fauqal Huruf, hlm. 81 Ust. Ahmad Abdilkarim) Beliau meningal dunia pada tahun 1368H bersamaan 1949M. Nama penuh beliau ialah Hassan Bin Ahmad Bin Abdulrahman al-Banna. (Ad-Dakwah Ilallahi Ta’ala. Hlm. 86. Saied bin Abdulahraman al-Husin) Dialah yang menjadi Mursyid pertama bagi pertubuhan ini. (Lihat: dalam tajuk Ikhwanul Muslimin. Salim bin ‘Ied al-Hilali) Memiliki banyak parti, antaranya parti sekular, sosialis dan nasionalis.

Hasan al-Banna bermati-matian berusaha untuk menyatu-padukan parti-parti tersebut ke dalam satu jamaah dengan satu nama iaitu “Ikhwanul Muslimin” (Lihat: Turkh Hasan al-Banna wa-Ahammul Warisin) walaupun beliau mengetahui akidah setiap golongan yang ingin disatukan ke dalam jemaah/pertubuhan “Ikhwanul Muslimin” itu saling bertentangan antara satu sama lain. (Lihat: al-Majallah as-Salafiyah. Bil. 7 Penjelasan Syeikh Salim bin ‘Ied al-Hilali (Ulama Jordan))

Antara slogan dan suara yang batil dalam usaha menyatukan para pengikut Ikhwanul Muslimin (mewakili Ikhwanul Muslimin) ialah suara yang diserukan oleh Salman al-Audah (salah seorang pengikut gerakan Ikhwanul Muslimin masa kini): “Kami inginkan penyatuan saf (barisan), bukan menyatukan pendapat (pandangan)”. (Lihat: Fikru at-Takfir Qadiman wa-Hadisan. Hlm. 153 Abdus Salam bin Salim bin Raja as-Suhaimi)

Malangnya pertubuhan Ikhwanul Muslimin tidak pernah mencapai matlamatnya untuk menyatukan barisan atau pemikiran, sebaliknya: “Akhirnya setelah sekian lama Ikhwanul Muslimin berusaha menggerakkan para ahlinya, mereka hanya mampu mencetuskan kepelbagaian firqah (pecahan kelompok) yang menyimpang jauh dari matlamat yang mereka inginkan. Ia berpunca dari perpecahan di dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin itu sendiri”. (Lihat: (1). at-Tarikh as-Sirri li Jamaatil Ikhwanil Muslimin. Hlm. 4. (2). al-Qutubiyah Hiyal Fitnah Fa’rifuha hlm. 76 Ibnu Sultan al-Adnani) Keadaan ini telah diceritakan oleh Sa’id Hawa (salah seorang tokoh Ikhwanul Muslimin sendiri):

“Kemuncak perpecahan telah melanda bahagian dalaman jemaah, semua yang berlaku tidaklah menghairankan kerana suara-suara protes masuk ke setiap telinga, juga kerana banyaknya unsur-unsur perpecahan dan unsur-unsur lain yang membantu, termasuk pengaruh luaran yang terus menekan, ditambah lagi jaringan organisasi jamaah yang rapuh. Sementara orang-orang yang bergabung ke dalamnya dari pelbagai kelompok, maka jamaah tidak mampu menghadapi pelbagai kerenah mereka semuanya”. (Lihat: Hazihi Tajribati wa-Hazihi Syahadati. Hlm. 34)

Memang benar apa yang telah difirmankan oleh Allah ‘Azza wa-Jalla, iaitu apabila sesuatu kaum yang tidak berpegang dengan prinsip al-Quran dan as-Sunnah pasti akan berpecah-belah sebagaimana firman-Nya:

“Kamu sangka mereka itu bersatu sedangkan hati mereka berpecah-belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti”. (al-Hasyr, 59: 14)

Sejak Ikhwanul Muslimin tertubuh, Hasan al-Banna, para tokoh Ikhwanul Muslimin dan para pengikutnya berusaha untuk menggabungkan antara Qibti (orang-orang Kristian/Nasara Mesir yang jelas kafirnya) dengan jamaah Ikhwanul Muslimin, sedangkan menyatukan orang Islam dengan orang kafir telah dilarang oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam agar seseorang muslim tidak menjadi seperti mereka. Baginda bersabda:

“Barangsiapa yang bergabung dengan orang musyrik dan tinggal bersamanya, maka dia seperti musyrik tersebut”. (Hadis Riwayat Abu Daud 2787)

Sebelum membentuk Jamaah Ikhwanul Muslimin, Hasan al-Banna telah membaiah (janji setia) dengan cara sufi yang disebutnya sendiri di dalam kitabnya “Muzakkirat Daiyah”. Ia membaiah Syeikh Hasafiyah, setelah itu membentuk Ikhwanul Muslimin dan mengadopsi manhajnya ke dalam jamaahnya. Bahkan istilah “Mursyidul Am” yang menjadi gelaran Hasan al-Banna diambil dari istilah sufi yang bererti “Wali Yang Sempurna”. (Lihat: Hasan al-Banna Seorang Teroris? Hlm. 23 Ayyad asy-Syamari)

Melalui berbagai fakta yang boleh dijadikan hujah, telah menunjukkan bahawa para pemimpin dan para pembesar (tokoh-tokoh utama) Ikhwanul Muslimin kebanyakan mereka berakidah Asy’ariyah bersadur sufiyah, malah Hasan al-Banna sendiri berakidah Asy’ariyah dan menganut tariqat sufiyah al-Hasafiyah (Lihat: Fikru Takfir Qadiman wa-Hadisan hlm. 151 Raja as-Suhaimi) kuburiyah yang dipenuhi dengan berbagai-bagai zikir dan tawassul yang bid’ah, syirik, khurafat, tahaiyul, kemungkaran dan kesesatan. Pejuang sufi seperti ini bagaimana boleh dianggap sebagai tokoh penyumbang kepada kebangkitan tajdid (perubahan)?

Lihat dan fikirkanlah terhadap kepelbagaian pemikiran dan pegangan Hasan al-Banna dalam perjuangannya.

Pemikiran Hasan al-Banna Yang Berbahaya Di Dalam Kitab-Kitabnya dan Kitab-Kitab Milik Ikhwanul Muslimin Serta Pengikutnya

Terdapat pelbagai bentuk pemikiran yang menyeleweng yang berupa bid’ah, kesyirikan, dan khurafat di dalam aqidah/pegangan dan dakwah/pemikiran Hasan al-Banna. Segalanya telah dibongkar oleh antaranya adalah Syeikh Abu Ibrahim bin Sultan al-‘Adnani, beliau menerangkan di dalam bukunya: “Terdapat pelbagai penyimpangan manhaj dan akidah yang telah disemai dan disuburkan di dalam manhaj Ikhwanul Muslimin”. (Lihat: at-Tarikh as-Sirri Lijama’atil Ikhwan Muslimin Hiyal Fitnah. Fa’rifuha.Hlm. 76 Abu Ibrahim Bin Sultan al’Adnani) Antaranya contoh yang boleh diketengahkan ialah slogan: “Kita tolong-menolong dalam perkara yang kita sepakati dan saling memaafkan (mutual respect) terhadap perkara yang kita berselisih padanya”. (Lihat: Dakwahtul Ikhwanul Muslimin Fii Mizanil Islam hlm 206)

Dalam Hal ini, Sheikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah (Ketua Mufti Saudi Arabia) dan Sheikh al-Muhaddith Abdul Muhsin bin Abbad al-Badr telah mengeluarkan fatwa:

Menurut fatwa sheikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah terhadap slogan Ikhwanul Muslimin ini: “Ya benar, wajib saling tolong menolong dalam perkara kebenaran yang disepakati, menyeru kepadanya dan memperingatkan ummah dari segala yang ditegah oleh Allah dan Rasulnya. Adapun bertolong-tolongan dalam perkara yang diperselisihkan maka tidak dibenarkan secara mutlak malah perlu diteliti jika perkara tersebut dalam persoalan ijtihadiyah yang tidak ada dalilnya secara jelas, maka tidak boleh antara kita saling mengingkarinya. Tetapi apabila perkara tersebut jelas bertentangan dengan nas al-Quran dan as-Sunnah (akidah), maka wajib ditentang dengan hikmah, nasihat dan berbincang dengan baik”. (Lihat: Majmu’ Fatawa Ibn Bazz 3/58-59)

Syeikh al-Muhaddith Abdul Muhsin Abbad membidas slogan ini: “Sudah sewajarnya bagi para pengikut (al-Banna) meninggalkan slogan ini yang berjuang agar bertoleransi terhadap kelompok-kelompok sesat, malah yang paling sesat seperti Syiah Rafidhah. Hendaklah memberi penumpuan untuk menerapkan kaedah “Cinta kerana Allah dan membenci kerana Allah. Atau wala’ kerana Allah dan bara’ kerana Allah” yang tidak ada ruang bertoleransi bagi orang-orang yang menyeleweng lagi sesat dalam perkara yang menyalahi Ahli Sunnah wal-Jamaah”. (Lihat: Zajrul Mutahawin. Hlm. 8)

Hasan al-Banna membuat pengakuan tentang manhaj dakwahnya yang sebenar: “Sesungguhnya dakwah Ikhwanul Muslimin adalah dakwah Salafiyah, mengikut sunnah (tetapi) hakikatnya sufiyah dengan berdasarkan gaya politik”. (Lihat: Majmu’ah ar-Rasail al-Imam al-Banna, hlm. 122. Lihat: Nadarat fil Manhaj Ikhwanul Muslimin hlm. 27) Para ulama Salaf as-Soleh mengingkari uslub dakwah seperti ini kerana mencampurkan yang hak dengan yang batil. Hasan al-Banna menjelaskan lagi tentang uslub dakwahnya: “Pendirian kami dalam membentuk dakwah di negeri ini (Mesir), adalah dakwah diniyah (berdakwah) kepada persatuan, ekonomi dan politik”. (Lihat: Muzakkirati ad-Dakwah wa-Daiyah, hlm. 307) Ingatlah, “Tiada seorang nabi atau rasul yang diutus mengutamakan dakwah mereka dengan ekonomi, falsafah, muzik atau politik, tetapi dengan akidah!”, (Lihat: Hakikatu ad-Dakwah Ilallah. Saied Abdulrahman al-Husin. Hlm 24)

Akibat dari metode dakwah dan penyelewengan akidah Hasan al-Banna, para tokoh Ikhwanul Muslimin membiarkan syirik besar di kuburan yang dikeramatkan, nazar untuk orang mati, menyembelih atas nama arwah, berdoa kepada selain Allah dan sebagainya. Buktinya: “Hasan al-Banna sering berkuliah di markas kesyirikan terbesar di Mesir iaitu di kubur Syaidah Zainab”. (Lihat: al-Maurid al-Azb az-Zilal Fima Inqad ‘ala Ba’di al-Manahij ad Daiyah Minal ‘Aqaid wal-‘Amal, bab 10. Dan lihat: Qafilah al-Ikhwanul Muslimin. Oleh Abbas as-Sisi), Malah hal ini diakui sendiri oleh kebanyakan pengikut tarekat masa kini yang menjadikan kuburan sebagai tempat-tempat mendapatkan keramat dan berkat. Beliau tidak pernah menegur perbuatan syirik besar di kuburan Syaidah Zainab seperti membina bangunan di atas kuburan, tawaf, istighasah, menyembelih, bernazar, berzikir dan berdoa kepada kubur. Ibnu Sultan al-‘Adnani menjelaskan lagi: “Akhirnya setelah sekian lama Ikhwanul Muslimin berusaha menggerakkan para ahlinya, mereka hanya mampu mencetuskan pelbagai firqah (kelompok) yang menyimpang jauh dari matlamat yang mereka inginkan. Ia berpunca dari perpecahan di dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin itu sendiri”. (Lihat: (1). at-Tarikh as-Sirri li Jamaatil Ikhwanil Muslimin. Hlm. 4. (2). al-Qutubiyah Hiyal Fitnah Fa’rifuha hlm. 76 Ibnu Sultan al-Adnani)

Hasan al-Banna berusaha menggabungkan/menyatukan gerakan Kristian dengan Ikhwanul Muslimin, sedangkan Rasulullah bersabda: “Barangsiapa yang bergabung dengan orang musyrik dan tinggal bersamanya, maka dia seperti musyrik tersebut”. (H/R Abu Daud 2787)

Ada yang beralasan dengan kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradhawi: “Di Mesir justeru Hasan al-Banna dan pengikutnya dituduh sebagai Wahhabi-Salafi, yang mengingkari kaum sufi dalam banyak perkara seperti pemikiran-pemikiran dan zikir-zikir yang dianggap bid’ah dan sesat”. (Lihat: Yusuf al-Qaradhawi 70 tahun al-Ikhwan al-Muslimin. Hlm. 312)

Menurut al-Qaradhawi lagi: “Hasan al-Banna hingga akhir hayatnya tidak pernah bergabung secara rasmi dengan al-Hasafiyah. Ia sekadar simpatisan (muhibbun)”. (Lihat: Al-Ikhwan Al-Muslimun Anugerah Allah Yang Terzalimi. 173. Farid Nu’man. Edisi Lengkap. Pustaka Nauka. Cetakan 1. August, 2003)

Kenyataan ini al-Qaradhawi tersebut telah tertolak dengan fakta berikut: “Hasan al-Banna telah membaiah dengan cara sufi yang disebutnya sendiri di dalam kitabnya “Muzakkirat Daiyah”. Ia membaiah Syeikh Hasafiyah, setelah itu membentuk Ikhwanul Muslimin dan meng-adaptasi pemikiran/manhajnya ke dalam jamaahnya. Bahkan istilah “Mursyidul Am” yang menjadi gelaran Hasan al-Banna diambil dari istilah sufi yang bererti “Wali Yang Sempurna”. (Hasan al-Banna Seorang Teroris? Hlm. 23 Ayyad asy-Syamari)

Hasan al-Banna sendiri juga mengakui melalui kenyataannya: “Saya menganggotai al-Ikhwan al-Hasafiyah (tariqat kesufian) di Damanhur. Saya sentiasa berada di Masjid Taubah setiap malam”. (Lihat: Muzakkirat ad-Dakwah wad-Daiyah hlm. 27 Hasan al-Banna) Selanjutnya beliau berkata: “Hadir sama Sayid Abdul Wahhab yang memberikan ijazah dalam tariqat sufi al-Hasafiyah asy-Syazaliyah. Saya membaiah tariqat al-Hasafiyah asy-Syazaliyah darinya. Dia telah memberitahu aku tempat-tempat dan semua kegiatan-kegiatan tariqat al-Hasafiyah as-Syazaliyah”. (Lihat: Muzakkirat ad-Dakwah wad-Daiyah hlm. 27 Hasan al-Banna) Hasan al-Banna ikut mendirikan kumpulan Sufiyah Hasafiyah, beliau berkata: “Kemudian saya dipilih sebagai setiausaha di dalam tariqat ini (tariqat sufi al-Hasafiyah as-Syazaliyah)”. (Lihat: Muzakkirat ad-Dakwah wad-Daiyah hlm. 27 Hasan al-Banna)

Sa’id Hawa memberi pengakuan dan kenyataan: “Sesungguhnya, setelah menempuh perjalanan yang panjang dan memikul beban yang banyak, jemaah Ikhwanul Muslimin telah menjadi sebahagian dari sejarah. Hanya jemaah inilah sahaja satu-satunya jamaah memiliki hak memegang kuasa Imamah. Sesungguhnya kami tidak memuji seorangpun di hadapan Allah”. (Lihat: Madkhal Ilaa Dakwah Ikhwanul Muslimin. Hlm. 294)

Sa’id Hawa, beliau berkata: “Telah muncul di pelbagai tempat pemikiran dari orang-orang yang sakit hatinya, (Dimaksudkan: Orang yang sakit hatinya oleh Sa’id Hawa ialah sesiapa yang mendedahkan kemungkaran Ikhwanul Muslimin, para tokohnya, tulisan-tulisannya, kenyataan-kenyataanya, kuliah-kuliah dan fatwa) iaitu dengan melepaskan diri dari dakwah Hasan al-Banna dan segala pemikiran beliau”. (Lihat: Fii Afaaqit Ta’lim. Hlm 5)

Kemudian beliau memperjelaskannya lagi: “Hendaklah mereka (yang di luar kelompok Ikhwanul Muslimin) menyedari bahawa menyeleweng dari pemikiran Hasan al-Banna di masa sekarang ini adalah perbuatan yang salah, mustahil akan selamat dan perbuatan yang bodoh kerana apabila kita menginginkan perjuangan yang sempurna dalam membela Islam dan kaum Muslimin ia hanyalah dengan pemikiran Hasan al-Banna”. (Lihat: Fii Afaaqit Ta’lim. Hlm. 5) Beliau berkata lagi: “Pembuktian dari segi hukum telah memastikan bahawa tidak terdapat manusia sekarang ini yang menguasai sejumlah kriteria seperti yang dimiliki oleh Hasan al-Banna. Hanya beliau satu-satunya yang mampu mencetuskan teori-teori amal Islami sekarang ini”. (Lihat: Fii Afaaqit Ta’lim. Hlm. 11)

Oleh kerana itu menurut Sa’id Hawa: “Salah satu kewajipan aktivis harakah (gerakan Islam) adalah memenuhi rumahnya dengan prinsip-prinsip Ikhwanul Muslimin”. (Lihat: Fii Afaaqit Ta’lim. Hlm. 29)

Bagaimana prinsip dan pemikiran yang dicemari kesyirikan seperti kuburi, bid’ah sufiyah, akidah Asy’ariyah al-Maturidiyah dan hizbiyah Khawarijiyah mampu membawa umat ke jalan kebenaran dan membela Islam? Nilailah dengan neraca akidah pengakuan Sa’id Hawa ini: “Kami amat yakin, tidak terdapat jamaah yang paling sempurna bagi kaum muslimin kecuali dengan pemikiran Hasan al-Banna”. (Lihat: Jaulat Fil Fiqhain. Hlm. 79)

“Pada keadaan sekarang khususnya, tidak ada pilihan yang benar untuk kaum Muslimin, kecuali menerima konsep pemikiran Hasan al-Banna jika mereka menghendaki jalan kebenaran”. (Lihat: Min Ajli Khutwah Ilal Iman. Hlm. 5)

Akidah Hasan al-Banna ternyata bertentangan dengan al-Quran, Sunnah, Athar dan dengan pemahaman Salaf as-Soleh (kelompok generasi terbaik). Hasan al-Banna turut menegaskan: “Cara merungkai segala kesukaran dalam amal, fikrah dan segala prinsip-prinsipnya yang ditempuh oleh golongan sufi, semuanya itu termasuk uslub (metodologi) mentarbiyah dan cara berpolitik Ikhwanul Muslimin”. (Lihat: Muzakkirat ad-Dakwah wa-Daiyah hlm. 31) Menurut Hasan al-Banna rahimahullah: “Tidak diragukan lagi bahawa mengambil kaedah-kaedah dari tasawuf apabila mentarbiyah dan membina suluk dalam dakwah, ia akan memberi kesan yang kuat dalam jiwa dan hati. Ini berpunca lantaran kata-kata orang-orang sufi (tasawuf) dalam hal ini lebih jelas dari perkataan manusia yang bukan sufi”. (Lihat: Muzakkirat ad-Dakwah wa-Daiyah hlm. 31) Kenyataan Hasan al-Banna dikuatkan dengan pengakuan Si Pemuja sufi Sa’id Hawa semoga Allah merahmatinya, beliau berkata: “Bahawasanya Ikhwanul Muslimin pada hakikatnya adalah sufiyah (pertubuhan yang bermanhaj sufi)”. (Lihat: Jaulat fi Fiqihin hlm. 154)

Dikuatkan lagi dengan pengakuan Abdurrahman al-Banna, saudara kepada Hasan al-Banna, beliau menjelaskan: “Kebiasaannya setelah solat Isyak, Hasan al-Banna duduk bersama orang-orang (sufi) yang berzikir dari kalangan al-Ikhwan Hasafiyah”. Beliau menceritakan keadaan Hasan al-Banna berzikir berserta ahli al-Hasafiyah: “Tidak kelihatan di dalam masjid, kecuali orang-orang yang berzikir… Malam menjadi hening kecuali bisikan doa berserta kilauan cahaya, seluruh tempat diselimuti cahaya langit, diselimuti cahaya Rabb, longlailah seluruh jasmani, terbanglah arwah, lenyaplah segala sesuatu yang ada dalam wujud, hilang dan terlepas lantaran suara-suara zikir yang sangat manis”. (Hasan al-Banna bi Aqlami Talamizatihi wa-Mu’asirihi hlm. 70-71 Jabir Rizqi)

Inilah ilusi sufi wahdatul wujud yang mungkar dan batil. Menurut Abdurrahman al-Banna pula tentang amalan-amalan kesufian Hasan al-Banna: “Apabila menjelang anak bulan Rabi’ul Awal, kami berjalan beramai-ramai dalam satu perarakan setiap malam, sehinggalah ke malam 12 Rabi’ul Awal. (Lihat: Muzakkirah ad-Dakwah wa-Du’at Hlm. 22-23) Kami mendendangkan qasidah puji-pujian untuk Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Hasan al-Banna bersyair: “Kekasih ini (Nabi Muhammad) bersama para sahabat telah tiba (hadir) # Dia mengampunkan segala dosa yang telah berlalu dan yang akan datang”. (Lihat: Hasan al-Banna bi Aqlami Talamizatihi Hlm. 71-72)

Hasan al-Banna tidak secara langsung mengajak umat meyakini bahawa Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang telah wafat dapat mengampunkan dosa. Bukankah ini keyakinan dan kepercayaan sufi yang bid’ah, syirik, batil dan khurafat? Sesungguhnya tiada siapa yang boleh mengampunkan dosa kecuali Allah, kerana Allah ‘Azza wa-Jalla berfirman: “Dan siapakah yang dapat mengampunkan segala dosa jika tidak selain Allah?”. (Ali Imran, 3: 135)

Fikirkanlah kenyataan Yusuf al-Qaradhawi yang menyeru kepada gerakan sufi Hasan al-Banna: “Jadikanlah Salafi itu Sufi”. (Lihat: Majalah an-Nida’. Malaysia)

Perayaan Maulid, Tawassul Dan Kuburi

Hasan al-Banna mewajibkan perayaan maulid, beliau berkata: “Menghidupkan perayaan maulid Rasulullah menjadi kewajipan semua orang sama ada Islam atau bukan Islam kerana majlis ini dipenuhi dengan berkat. Rasulullah diutus bukan untuk kaum muslimin sahaja, tetapi baginda juga diutus sebagai rahmat untuk sekalian alam, jin dan manusia”. (Lihat; Qafilah al-Ikhwan al-Muslimun 1/48 Abbas as-Sisi)

Kebatilan dan kesalahan pemikiran Hasan al-Banna sangat dipertahankan oleh Yusuf al-Qaradhawi, dibawakan fatwa Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab secara tadlis (curang) dan tidak sempurna demi untuk mempertahankan pendapat Hasan al-Banna yang batil. Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Tidak mengapa bertawassul dengan orang-orang soleh”. (Lihat; Qafilah al-Ikhwan al-Muslimun 1/48 Abbas as-Sisi) Memang benar Muhammad bin Abdul Wahhab, Ibnu Taimiyah, Imam Ahmad bin Hambal dan Sheikh al-Albani rahimahullah membolehkan bertawssul, tetapi hanya kepada orang yang masih hidup dan mengharamkan bertawassul kepada orang mati sama ada para nabi, rasul, wali atau orang soleh. Yusuf al-Qaradhawi tidak boleh berbohong dalam hal ini walaupun syeikhnya (Hasan al-Banna) telah bertawassul kepada orang mati.

Ada pula yang mempertahankan kata-kata Hasan al-Banna di dalam Usul Isyrin Prinsip no. 14 yang menyatakan: “Menziarahi kubur perkara yang disyariatkan dengan contoh yang diajarkan oleh Rasulullah. Akan tetapi, meminta pertolongan kepada mayat di dalam kubur siapa pun mereka, berdoa kepadanya, meminta pertolongan kepadanya, bernazar untuknya, membina bangunan di atasnya, menutupi kelambu, menerangi dengan lampu, mengusapnya untuk mendapat berkah, bersumpah dengan selain Allah dan segala sesuatu yang serupa dengannya adalah bid’ah yang wajib diperangi. Usahlah mencari-cari cara untuk membolehkan berbagai perilaku itu demi menutup fitnah yang lebih besar lagi”.

Semuanya itu hanya tulisan Hasan al-Banna semata, kerana pada hakikatnya beliau tidak pernah mengingkari dari keyakinan kesufian, perayaan-perayaan bid’ah dan menghidupkan amalan kuburi sehingga keakhir hayatnya. Raja’ as-Suhaimi menyatakan bahawa Hasan al-Banna melalui pemikiran sufinya membolehkan berdoa atau bertawassul kepada kuburan dan menyeru roh para wali: “Beliau tidak pernah menarik semula fatwa-fatwanya dan tidak pernah menentang akidah kuburiyah yang bid’ah dan membawa kepada kesyirikan”. (Lihat: Fikru at-Takfir Qadiman wa-Hadisan, Raja as-Suhaimi) Hasan al-Banna berfatwa: “Berdoa apabila disertai dengan bertawassul kepada Allah dengan makhluk-Nya (yang telah mati), maka yang demikian adalah furu’iyah dalam tata cara berdoa, bukan termasuk dalam masalah akidah”. (Lihat: Usul Isyrin, Perkara ke l5 Hasan al-Banna. Nazarat Fi Risalah at-Ta’lim. Hlm.177 Muhammad Abdullah al-Khatib & Muhammad Abdul Hamid)

Sa’id Hawa mempertahankan dan melanjutkan segala bid’ah yang telah dihidupkan oleh gurunya, beliau mengakui: “Ustaz al-Banna menganggap antara kepentingan gerakan Islam ialah menghidupkan hari-hari perayaan bersempena yang dinasabkan dengan kejadian-kejadian dalam Islam dan mengingatkan manusia kepadanya. Melaluinya maka sesungguhnya ia seakan-akan kewajipan fiqh-dakwah Islamiyah masa kini, yang mana menghidupkan maulid Nabi dan merayakannya merupakan pelajaran ilmiyah, diterima secara fiqhiyah dan kepentingan yang tidak boleh ditinggalkan”. (Lihat: Dakwahtul Ikhwanul Muslimin fi Mizanul Islam. Hlm. 72)

Kenyataan ini diperkuatkan lagi dengan pengakuan Sa’id Hawa: “Tasawuf adalah gerakan Islam yang terkini - yang dimaksudkan ialah – gerakan tasawuf yang dihidupkan oleh Ikhwanul Muslimin”. (Lihat: Tarbiatuhum ar-Ruhiyah. Hlm. 6. Sa’id Hawa) “Gerakan Islam yang terkini memberi tumpuan kepada pendidikan sufiyah secara pemikiran dan perlaksanaan agama secara menyeluruh, kerana ustaz al-Banna memberi pengkhususan utama kepada hakikat sufiyah”. (Lihat: Tarbiatuhum ar-Ruhiyah. Hlm. 17. Sa’id Hawa) Setelah kematian Hasan al-Banna maka Sa’id Hawa menganggap: “Hasan al-Banna sebagai pembesar sufiyah dan digelar sebagai Mursyid al-Kamil (mursyid yang sempurna), iaitu pewaris nabi yang paling sempurna” sebagaimana tercatit di dalam bukunya “Tarbiyatuhum ar-Ruhiyah” hlm 159.

Sa’id Hawa berkata di dalam bukunya ini di halaman 21 bahawa: Ustaz Al-Banna adalah Mursyid yang sempurna dengan persaksian sebagai sufi besar pada jiwa orang-orang Ikhwanul Muslimin. Dia seorang Mujaddid (reformer/pembaharu), wakil wali-wali dan dia khalifah yang sebenarnya. Oleh yang demikian maka wajib mengambil keseluruhan isi kandungan dakwahnya secara sempurna”. Sa’id Hawa mempersempit ruang dakwah Islamiyah dengan menekankan:“Oleh kerana itu, tidak seorangpun boleh meninggalkan dakwah Ikhwanul Muslimin”. (Lihat: Fii Afaqit Ta’lim. Hlm. 16)

Allah s.w.t. berfirman: “Dan janganlah kamu seru apa yang tidak memberi manfaat dan tidak pula memberi mudharat kepada selain Allah sebab apabila kamu melakukan sedemikian itu maka sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk orang-orang yang zalim (syirik)”. (Yunus, 10: 106) Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: “Doa itu adalah ibadah” . (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Inilah antara perkara-perkara batil dan bid’ah yang diperjuangkan oleh Hasan al-Banna dan pengikutnya Sa’id Hawa dan dipertahankan oleh kebanyakan yang lain yang menyanjungi dakwah Ikhwanul Muslimin tanpa memahami hakikat yang sebenarnya.

Selain itu, Sa’id Hawa pula terus menegaskan: “Sesungguhnya kaum muslimin selama beberapa masa yang lalu mempunyai para imam dalam akidah, fiqh, tasawuf dan ibadah kepada Allah ‘Azza wa-Jalla. Imam mereka dalam akidah seperti Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi”. (Lihat: Jaulat Fil Fiqhain. Hlm. 22) Inilah model akidah Ikhwanul Muslimin, mencampurkan yang hak dengan yang batil, akidah Asy’ariah al-Maturidiyah, sufiyah kuburiyah dan siyasah hizbiyah Khawarijiyah ala Jahiliyah sehingga menolak akidah yang sahih dari para salaf iaitu generasi awal kaum muslimin. Sa’id Hawa menegaskan dengan pengakuannya: “Kami tidak pernah merelakan diri kami untuk meninggalkan prinsip pemikiran ustaz Hasan al-Banna. Pada masa ini, jika sesiapa cuai pada perkara ini (prinsip pemikiran al-Banna. pent) samalah ertinya meninggalkan jalan kebenaran dalam membela Islam“. (Lihat: , Salim bin ‘Ied al- Hilali. Dan Lihat: Min Ajli Khutwah Ilal Imam Hlm. 12)

Keyakinan Hasan al-Banna terus diperjuangkan dan dihidupkan oleh Umar at-Tilmisani dan para pengekor Ikhwanul Muslimin, beliau mempertahankan kemungkaran ini dan menjelaskan: “Ada orang yang berkata: Sesungguhnya Rasulullah hanya mengampunkan dosa mereka semasa mendatangi baginda diketika hidupnya sahaja, saya tidak tahu mengapa mereka membatasi ayat ini dengan doa permohonan pengampunan dosa dari Nabi ketika baginda masih hidup sahaja, pada hal tidak ada yang membuktikan pembatasan dalam ayat tersebut”. (Lihat: Syahidul Mihrab Umar bin al-Khattab, hlm. 225-226 Umar at-Tilmisani)

Kesalahan/penyimpangan pemikiran Hasan al-Banna terus dipertahankan oleh Tilmisani dengan keyakinannya: “Saya lebih cenderung mengambil pendapat pihak yang meyakini bahawa Rasulullah boleh mengampunkan dosa, sama ada semasa baginda hidup atau setelah wafat bagi sesiapa yang mendatangi kubur baginda”. (Lihat: Syahidul Mihrab Umar bin al-Khattab, hlm. 226 Umar at-Tilmisani) Beliau menekankan: “Maka tidak sepatutnya bersikap ekstrem semasa mengingkari mereka-mereka yang berkeyakinan tentang kebenaran keramat-keramat para wali serta meminta perlindungan kepada kubur-kubur mereka yang suci atau berdoa di atas kubur-kubur tersebut ketika ditimpa kesusahan. Keramat-keramat para wali itu sebagai salah satu bentuk bukti mukjizat para rasul utusan Allah”. (Lihat: Syahidul Mihrab Umar bin al-Khattab, hlm. 226 Umar at-Tilmisani) Inilah perbuatan syirik besar yang telah dilakukan oleh orang-orang jahiliyah sebelum Nabi Muhammad di utus sedangkan para ulama Salaf mengharamkannya berdasarkan firman Allah:

“Kemudian mereka meminta keampunan atas dosa-dosa mereka, maka siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah”. (Ali Imran, 3: 153)

Dan firman-Nya: “Janganlah kamu seru di samping Allah dengan seseorang yang lain”. (al-Jin, 72: 18)

Apakah membela dan mempertahankan tokoh-tokoh seperti ini dibolehkan di dalam syara’?

Hasan al-Banna Dan Syiah

Sebahagian kaum muslimin yang menyeru agar menolong Hizbullah (pejuang berfahaman Syi’ah) di bawah pimpinan Hasan Nasrullah hampir sama seperti seruan Hasan al-Banna yang menyeru kepada penyatuan antara Sunnah dan Syiah. (Lihat: Zikriyat La Muzakarat, Umar at Tilmisani) Hasan al-Banna tidak menentang Syiah kerana menurut beliau: “Syiah sama seperti empat mazhab yang ada”. (Lihat: Zikriyat La Muzakarat, Umar at Tilmisani) Malah Hasan al-Banna berwala’ dan berterus terang kepada para pemuka serta pengikut Syiah: “Kami sampaikan kepada yang mulia Sayid Muhammad Uthman segala apa yang terpendam di lubuk hati Ikhwanul Muslimin berupa rasa cinta, kasih dan sentiasa memuliakan (Syiah)”.

Fikirkanlah maki dan celaan Syiah terhadap Abu Bakr, Umar, Uthman seluruh sahabat dan menuduh ‘Aisyah sebagai penzina (pelacur) lalu, wajarkah Syiah dimuliakan, dicintai dan dikasihi oleh Hasan al-Banna dan Ikhwanul Muslimin serta habis-habisan dipertahankan pemikiran yang seperti itu?

Kebencian pengikut Hasan al-Banna terhadap ahli tauhid dan orang yang mengikut salafiyah. Contohnya: “Abu Ahmad dan Abu Bilal dipecat dari keanggotaan Ikhwanul Muslimin gara-gara mengikuti kuliah dan mengundang Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani”. Perkara ini telah dijelaskan oleh Seikh Salim bin Ied al-Hilali. (Lihat: Pemecatan ditanda tangani oleh Dzeib Anis)

Hizibiyah, Takfiriyah Dan Irhabiyah (Pengganas)

Pendukung Ikhwanul Muslimin perlu tahu dan menyedari bahawa terlalu banyak buku-buku yang menjelaskan tentang perkara ini, antaranya di dalam kitab Hasan al-Banna wa-Ahamul Warisin di jelaskan bahawa Hasan al-Banna mentakfir parti yang tidak berwala’ kepada mereka, tidak ada konsensus malah bermusuh dengan pemerintah yang dianggap kafir dan wajib diperangi: “Orang yang mencetuskan pengkafiran daulah dan pemimpin Islam jika tidak bersatu dengan partinya adalah Hasan al-Banna kemudian diikuti oleh Sayid Qutub dan kebanyakan para tokoh Ikhwanul yang lainnya”. (Lihat: Turkh Hasan al-Banna wa Ahammul Warisin. Prinsip Kedua)

Desakan Hasan al-Banna kepada seluruh anggota Ikhwanul Muslimin agar: “Berbaiah secara sufiyah dan ketenteraan. Mewajibkan jihad dan merealisasikan mengikut manhaj Ikhwani melalui sepuluh syarat yang ditetapkan oleh al-Banna”. (Dinukil dari kitab: hlm. 96-97, Abdussallam bin Salim bin Raja as-Suhaimi) Sehingga pengikut didikan Hasan al-Banna, Ikhwanul Muslimin “Sentiasa bersedia apabila pemimpin memberikan arahan untuk membuat rusuhan atau melakukan pembunuhan (keganasan) semuanya itu wajib dilaksanakan”. (Lihat: Turkh Hasan al-Banna wa Ahammul Warisin. Prinsip Kedua (Bai’at)) Kerana: “Seseorang di hadapan Hasan al-Banna semestinya seperti mayat di hadapan orang yang memandikannya”. Ditekankan agar berpegang dengan syiar sufiyah, iaitu melihat dengan penglihatan al-Banna: “Mesti taat dan tidak boleh menderhaka”. (Lihat: Turkh Hasan al-Banna wa Ahammul Warisin. Prinsip Kedua (Bai’at))

Di dalam seruan Hasan al-Banna terisi juga seruan ke arah keganasan (Teroris), iaitu melalui prinsip Khawarij yang dikembangkan melalui teori (fahaman) Tauhid Hakimiyah, teori takfir, (Teori takfir dikembangkan oleh Sayid Qutub di dalam kitabnya “Mu’alimu fii Tariq”) penubuhan Tanzim Khas dan semangat aksi teror (pengebom berani mati) (Yusuf al-Qaradhawi telah menghalalkan pengeboman berani mati dan dianggap pelakunya sebagai berjihad dan mati syahid) yang menjadi dasar perjuangan Ikhwanul Muslimin yang membawa kepada gerakan teroris besar-besaran di Mesir. Ia menjadi model ikutan semua aktivis ala Ikhwanul Muslimin di manapun mereka berada. Dibuktikan melalui penekanan ketua-ketua para pemimpin mereka antranya Hasan al-Banna: “Dan fasa kedua adalah fasa khusus untuk membina syakhsiyah (peribadi) supaya taat, mendengar, jihad, membunuh, melakukan keganasan (teror), melaksanakan setiap perintah pemimpin dan mengkafirkan pemerintah”. (Lihat: Turukh Hasan al-Banna wa-Ahammul Warisin. Semak “Prinsip Ketiga”. Aiyid asy-Syamari)

Setelah “Tanzim Khusus” terlaksana, Hasan al-Banna membentuk marhalah ketiga tetapi setelah beliau terbunuh pada 1948M rancangannya gagal di separuh jalan, namun sempat direalisasikan oleh al-Hudhaibi pada 1952M dengan melakukan huru-hara, pemberontakan dan akhirnya rampasan kuasa terhadap kerajaan Raja al-Faruq. Unsur-unsur keganasan dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin dikesan di dalam teks baiah yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu: “Mendengar dengan pendengaran Hasan al-Banna dan melihat dengan penglihatan Hasan al-Banna”. (Lihat: Zikriyat La Muzakkirat. Umar at-Tilmisani)

Ikhwanul Muslimin yang dipimpin oleh Hasan al-Banna memperalat para pelajar dalam acara demonstrasi, membawa bahan letupan dan meletupkan bahan tersebut dalam aksi keganasan sehingga mengorbankan ramai nyawa. (Lihat: Turukh Hasan al-Banna wa- Ahammul Warisin. Di Prinsip Ketujuh. Aiyid asy-Syumari) Segala perintah dan arahan tersebut mesti dipatuhi dan dilaksanakan oleh para ahli kerana ia tertakluk kepada ikrar bai’ah: ”Mendengar, taat, tidak merasa serik, tidak ragu dan tidak bimbang”. (Lihat: Qanun Nizam Asasi li-Hai’ah Ikhwanul Muslimin wa-Syu’abiha hlm. 7)

Pada 1940M Hasan al-Banna menubuhkan gerakan ketenteraan (Tanzim Khusus). Anggotanya membaiah Hasan al-Banna dengan menjunjung al-Quran untuk setia melakukan kekacauan, rusuhan, kekejaman, demonstrasi, melakukan pembunuhan terhadap polis, tentera, orang awam, pegawai pemerintah dan rakyat jelata. Dan semuanya itu telah dilakukan sehingga berjaya menggulingkan kerajaan Raja Faruq. (Lihat: Kenyataan ini lebih terperinci di dalam buku “Tanzim Khas”. Oleh Muhammad as-Shabagh) Ditahun yang sama (1940M), Tanzim Khas dan gerakan komando (Lihat: “al-Muzakkirat oleh Hasan al-Banna” bahawa para anggota yang tidak mematuhi arahan Hasan al-Banna akan dihukum. Mereka tidak mendapat kebebasan sehingga perlu meminta izin walaupun ingin menunaikan haji) dibentuk oleh Hasan al-Banna. Mereka yang berada di unit ini ditugaskan untuk melakukan operasi keganasan di mana sahaja setelah mendapat arahan dari pemimpin tanpa dipertikaikan. Hal ini telah diakui dan dijelaskan oleh Muhammad Abdul Halim di dalam tulisannya. (Lihat: kenyataan lanjut dan lebih terperinci di dalam buku “Ikhwanul Muslimin wa-Ahwal Sintai’Asyara Tarikh. Oleh Muhammad Abdul Halim)

Fatwa Sheikh Abdul Aziz bin Baz Tentang Ikhwanul Muslimin

Setelah Syeikh maklumi hadis Nabi tentang perpecahan umat, saya ingin bertanya apakah Jamaah Tabligh dengan kesyirikan dan bid’ahnya dan Jamaah Ikhwanul Muslimin dengan kehizbiyahannya termasuk ke dalam firqah yang sesat?

Jawapan Syeikh Ibn Bazz rahimahullah: “Jamaah Tabligh dan Ikhwanul Muslimin termasuk tujuh puluh dua firqah yang sesat kerana barangsiapa berselisih dengan akidah Ahli Sunnah, ia akan masuk ke dalam tujuh puluh dua yang disebut oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sebagai “umatku”. Maka yang dimaksudkan “umatku” adalah golongan yang masih menjadi umat baginda iaitu umat Islam”.

Beliau (Ibn Bazz) ditanya lagi: Apakah keduanya (Jamaah Tabligh dan Ikhwanul Muslimin) termasuk ke dalam tujuh puluh dua golongan tersebut?

Jawapan Ibn Bazz: “Ya, (Ikhwanul Muslimin) termasuk dalam keumuman tujuh puluh dua golongan tersebut! Termasuk juga Murjiah dan Khawarij”. (Lihat: Majalah as-Salafiyah. Hlm. 47. No. 7 tahun 1422)

Tetapi para tokoh Ikhwanul Muslimin berpendirian sebaliknya sehingga Sa’id Hawa berkali-kali menyeru para pendampingnya supaya berbaiah kepada pemimpim Ikhwanul Muslim agar menjadi anggota pertubuhan tersebut. Beliau berkata:“Tidak ada pilihan yang lain, hanya jamaah Ikhwanul Muslimin sahajalah yang wajib diikuti dan dibaiah oleh seluruh kaum muslimin”. (Lihat: , hlm. 30)

Isi kandungan teks bai’ah Ikhwanul Muslimin ialah:

“Aku berjanji kepada Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung untuk sentiasa berpegang teguh dengan dakwah Ikhwanul Muslimin dan berjihad di jalannya, mematuhi syarat-syarat keahliannya dan mempercayai sepenuhnya kepada kepimpinannya. Sentiasa patuh dan taat dalam keadaan suka atau benci. Aku bersumpah atas nama Allah Yang Maha Agung atas semuanya ini dan aku berbaiah atasnya. Allah menjadi saksi atas apa yang aku katakan”. (Lihat: Qanun Nizam Asasi li Haiah Ikhwanul Muslimin wa-Syu’abiha hlm. 7)

Walaupun Sa’id Hawa tidak menganggap pertubuhan Ikhwanul Muslimin sebagai jamaah yang maksum sebagaimana anggapan seorang tokoh dalam negara kita (Malaysia), tetapi baginya ia mendekati kepada maksum. (Menurut Sa’id Hawa: Kami tidak mengklaim maksum, tetapi selain kami juga tidak maksum. Lihat: Madkhal Ilaa Dakwah Ikhwanul Muslimin hlm. 12) Beliau tidak terasa segan silu mencabar dengan kata-kata: “Pernahkah ada dari kalangan umat ini orang yang setara dengan Hasan al-Banna? Adakah generasi yang akan datang akan menemui orang yang lebih tegas dari Hasan al-Hudheibi? Sesungguhnya hanya kepada kedua Khalifah Ikhwanul Muslimin inilah sahaja kita membaiah”. (Lihat: Madkhal Ilaa Dakwah Ikhwanul Muslimin hlm. 30)

Sa’id Hawa menekankan agar setiap individu bergabung dengan Ikhwanul Muslimin sebagaimana kenyataannya: “Bahawa bergabung dengan Ikhwanul Muslimin adalah kewajipan kepada seluruh kaum muslimin”. (Lihat: Fii Afaqit Ta’alim. Hlm. 16) Hasan al-Banna berakidah Asy’ariyah dan sufiyah al-Hasafiyah (Lihat: Fikru Takfir Qadiman wa-Hadisan hlm. 151 Raja as-Suhaimi) kuburiyah yang dipenuhi dengan syirik, khurafat dan tahaiyul.

Menurut keterangan Sa’id Hawa: “Umat (Ikhwanul Muslim) telah menyerahkan persoalan akidah mereka kepada dua orang imam, iaitu Abul Hasan Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi”. (Lihat: Jaulat Fil Fiqhain. Hlm. 22)

Pendirian Pentaksub Hasan Al-Banna

Sa’id Hawa yang radikal ini menjadi ghuluw (taksub) kepada Hasan al-Banna sehingga dengan berani menegaskan: “Dan kami mempercayai bahawasanya tidak ada jamaah yang sempurna bagi kaum muslimin kecuali dengan fikrah (pandangan/pemikiran) al-Ustaz Hasan al-Banna atau dengan pandangan-pandangan beliau”. (Lihat: Jaulah al-Fiqhiyin al-Akbar as-Saghir hlm. 79 Sa’id Hawa)

Perkataan Sa’id Hawa ini bertentangan dengan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang menjelaskan bahawa di dalam Islam hanya terdapat satu sahaja manhaj: “Akan berpecah umatku kepada 73 golongan, semuanya di dalam neraka kecuali al-Jamaah”. (Hadis Riwayat Hakim dalam Mustadrak 1/128. Kitab al-Ilm)

Hasan al-Banna mendapat sokongan yang kuat dari Muhammad Qutub sehingga Muhammad Qutub menegaskan bahawa tidak ada lagi jamaah yang boleh diikuti kecuali Jamaah Ikhwanul Muslimin, beliau berkata: “Dan tidak ada lagi ruang jamaah-jamaah lain kecuali jamaah ini (Ikhwanul Muslimin)”. (Lihat: as-Syahwah Islamiyah. Hlm 96)

Beliau berkata lagi: “Munculnya Kebangkitan Islam (dimaksudkan gerakan Hasan al-Banna dan Ikhwanul Muslimin) yang seharusnya menyinari dunia Islam merupakan peristiwa besar dalam sejarah kebangkitan insani dikurun dua puluh”. (Lihat: as-Syahwah Islamiyah. Hlm 96)

Dan beliau berterus terang: “Telah datang gerakan Imam as-syahid dan umat dalam keadaan begitu lalai (dimaksudkan kafir atau jahiliyah) kecuali yang dirahmati Tuhanmu”. (Lihat: as-Syahwah Islamiyah. Hlm 96)

Penegasan di atas ini juga bertentangan dengan hadis: “Dari Abdullah bin Masoud berkata: Rasulullah telah menggariskan kepada kami suatu garisan lalu bersabda: Inilah jalan Allah. Kemudian menggariskan beberapa jalan di sebelah kanannya dan beberapa garis di sebelah kirinya, lalu baginda bersabda: Inilah jalan-jalan yang pada setiap jalan ada syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut. Kemudian baginda membacakan ayat (al-Quran yang mana Allah berfirman): Sesungguhnya inilah jalan Ku yang lurus, maka ikutilah jalan tersebut, janganlah kamu ikuti jalan-jalan (yang ke kanan atau ke kiri) kerana jalan-jalan tersebut mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Yang demikian itulah kamu diperintahkan oleh Allah agar kamu bertakwa”. (al-An’am, 6: 153)

Penampilan dan sifat al-Jamaah yang Rasulullah jelaskan ialah: “(Iaitu orang-orang yang seperti) apa yang aku di atasnya pada hari ini dan para sahabatku”. (Lihat: Tuhfatul Ahwazi 7/399-340)

Iaitu bukan seperti Jamaahnya Ikhwanul Muslimin.

Syeikh Abdul Muhsin Abbad al-Badr, salah seorang ulama Madinah telah mengkritik Hasan al-Banna dan berkata: “Tidak ada ruang untuk memberi keuzuran kepada ahli yang menyeleweng dan sesat (Hasan al-Banna) tentang apa yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah”. (Lihat: Fikru at-Takfir Qadiman wa-Hadisan 153, Raja as-Suhaimi)

Syeikh Soleh Ali as-Syeikh, Menteri Hal Ehwal Agama kerajaan Arab Saudi menjelaskan: “Para pemimpin Ikhwanul Muslimin menutup rapat akal para pengikut mereka dari menerima kata-kata yang berlainan dengan manhaj mereka”. (Lihat: Fikru at-Takfir Qadiman wa-Hadisan 281, Raja as-Suhaimi)

Seruan Hasan al-Banna kepada Syiah

Cita-cita Hasan al-Banna telah digambarkan oleh Umar at-Tilmisani (Mursyid ketiga) yang mana beliau berkata: “Fadilat Syeikh Muhammad al-Qummi salah seorang ulama besar dan tokoh ulama besar Syiah merangkap pemimpin Syiah telah diundang ke markas umum Ikhwanul Muslimin. Ia berada dalam waktu yang agak panjang di situ. Sebagaimana juga sudah dimaklumi bahawa Imam Hasan al-Banna telah membuat pertemuan dengan tokoh utama Syiah Ayatullah al-Kasysyani dimusim Haji tahun 1948M hingga membentuk kesatuan fahaman antara Syiah dengan Ikhwanul Muslimin”. (Lihat: Limaza Ughtila Hasan al-Banna, hlm. 32. Lihat: Nukilan dari Ikhwanul Muslimin fi-Mizan)

“Seingat saya pada tahun empat puluhan Sayid Qummi tokoh yang bermazhab Syiah berkunjung sebagai tetamu ke Markas Umum Ikhwanul Muslimin. Ketika itu Imam al-Banna sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menyatukan golongan-golongan yang berpecah (antaranya Syiah)”. (Lihat: Zikriyat Laa Muzakkirat. Hlm. 249, Tilmisani)

Umar at-Tilmasani menulis di dalam bukunya untuk merialisasikan niat Hasan al-Banna: “Sedarlah, sesungguhnya Ahli Sunnah dan Syiah semuanya adalah kaum Muslimin yang disatukan oleh kalimah Laa Ilaha Illallah Muhammad Rasulullah! Inilah asas akidah, ternyata Ahli Sunnah dan Syiah dalam akidah adalah sama dan semuanya dalam keimanan. Adapun perselisihan antara keduanya maka itu terjadi pada perkara-perkara yang boleh dilakukan tolak-ansur antara keduanya”. (Lihat: Zikriyat Laa Muzakkirat. Hlm. 250, Tilmisani)

Seruan Hasan al-Banna dan jamaahnya adalah mungkar dan batil, kerana Syiah mengkafirkan dan melaknat Abu Bakr, Umar, Uthman dan Muawiyah. Menurut al-Majalisi: “Syiah berlepas dari empat wanita iaitu ‘Aisyah, Hafsah, Hindun, Ummu Hakam serta seluruh keluarga dan pengikut mereka”. (Haqqul Yakin hlm 519. Muhammad Baqir al-Majalisi (berbahasa Parsi))

Kepercayaan Syiah ini bertentangan dengan firman Allah yang menjelaskan: “Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka”. (al-Ahzab, 33: 6)

Hasan al-Banna terus mendapat dokongan dari Umar Tilmisani. Umar Tilmisani berkata: “Pendekatan antara Syiah dan Sunnah merupakan kewajipan para fuqaha’. Beliau berkata lagi: Maka merupakan kewajipan para fuqaha’ untuk menubuhkan pemikiran taqrib (pendekatan Syiah dan Sunnah) bagi tujuan membina masa depan kaum muslimin yang gemilang”. (Lihat: Majalah Dakwah al-Misriyah. Keluaran 105, Julai 1985)

Dr. Izzuddin Ibrahim menjadi saksi tentang kenyataan ini, beliau berkata: “Aku ikut terlibat dalam usaha kumpulan ini (pendekatan Sunnah dan Syiah) atas berkat al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna yang berpendapat bahawa kaum muslimin sama ada Sunni atau Syiah adalah umat yang satu. Kitab sucinya satu, rasulnya satu, menetapkan halal dan haram juga satu, sistem siyasahnya satu, sistem ekonominya satu, sistem sosialnya satu, daulahnya satu begitu juga dalam rangka membersihkan alam dari kezaliman, ketidakadilan, kepalsuan yang dilakukan oleh dua kuasa besar. Maka Sunni dan Syiah semestinya bersatu dalam menghadapinya”. (Lihat: Mauqif Ulama Muslimin Min asy-Syiah wa-Saurah al-Islamiyah hlm. 35)

Syiah juga tidak mengiktiraf kitab-kitab Bukhari, Muslim, Turmizi dan lain-lainnya. Malah sebahagian mereka sudah mula menyelwengkan kitab-kitab ini dengan cara mengubah-suai dan menyebarkannya. Mereka hanya mengiktiraf kitab al-Kafi oleh Kulaini dan menolak al-Quran pegangan ahlus sunnah dan berpegang kepada al-qur’an yang didakwa sebagai Mushaf Fatimah. Tokoh Ikhwan Muhammad al-Ghazali (Muhammad al-Ghazali lahir pada 1334H (1917M) di Nakla al-‘Inab. Meninggal pada 6 Mach l996M di Mesir. Walaupun pernah menjadi guru penulis selama 3 tahun di Universiti Ummul Qura, namun penulis menghormati beliau hanya sebagai guru tetapi penulis lebih mencintai ilmu yang datangnya dari Allah ‘Azza wa-Jalla berbanding pemikiran Muhammad al-Ghazali yang banyak dipertikai) telah mengemukakan pendiriannya terhadap Syiah, beliau berkata: “Aku termasuk anggota penyatuan antara pelbagai mazhab. Aku diberi tugas menyenambungkan jamaah di Markas Ikhwanul Muslimin di Kaherah (Cairo). Aku berusaha merapatkan penyatuan dengan Syiah melalui Muhammad Taqiy al-Qummi sebagaimana aku usahakan melalui Syeikh Jawwad. Aku berusaha merapatkan hubungan dengan ramai tokoh-tokoh Syiah lainnya”. (Lihat: Mauqif Ulama Muslimin Min asy-Syiah wa-Saurah al-Islamiyah hlm. 22) Usaha Muhammad al-Ghazali tidak berjaya sehinggalah meninggal dunia.

Pengekor Hasan al-Banna antaranhya Zainab al-Ghazali berkata: “Menurutku Syiah Ja’fariyah dan Zaidiyah termasuk mazhab Islam seperti empat mazhab di kalangan Ahli Sunnah. Para cendiakawan dan para tokoh dari kalangan Sunnah dan Syiah hendaklah mencari titik pertemuan dan saling memahami serta bekerjasama dalam mengeratkan hubungan antara mazhab yang empat dengan mazhab-mazhab Syiah”. (Lihat: Muaqif Ulama Muslimin wa-Saurah al-Islamiyah. Hlm. 33)

Abdul Aziz bin Syabib as-Saqr membuktikan akan kebenaran kenyataan ini kerana beliau berkata: “Setelah Hasan al-Banna meninggal, usaha pendekatan Syiah dengan Sunnah diambil alih oleh seluruh tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin agar diterapkan di negeri masing-masing sebagaimana yang diusahakan oleh Umar at-Tilmisani di Mesir, Mustafa as-Siba’i di Syiria, Hasan at-Turabi di Sudan, al-Ganusyi di Tunis, Fathi Yakan di Lubnan dan al-Maududi di Pakistan”. (Lihat: Tahafutus Syi’arat wa-Suqutul Aqni’ah. Hlm. 32. Abdul Aziz Syabib)

Daarut Taqrib (Badan ini diwujudkan untuk menyatukan Syiah dan Ikhwanul Muslimin. Melalui Ikhwanul Muslimin pula disatukan Syiah dengan Sunnah) sebuah organisasi yang bekerjasama antara Ikhwanul Muslimin dan Syiah. Membelanjakan untuk sebuah rumah eksklusif di Zamaalik, Kaherah (Cairo) dipenuhi perabut-perabut luks, peralatan pejabat, menerbitkan majalah Islam yang besar, menggaji para pengurus, pengelola dan penulis-penulisnya. Dari manakah semua dana itu dan siapakah yang membiayainya? (Lihat: Majalah al-Azhar. 24/285-286)

Semua persoalan ini terjawab melalui pengakuan dari beberapa penulis Syiah yang menjelaskan bahawa: “Daarut Taqrib didirikan dengan dana pembiayaan yang datangnya dari tokoh-tokoh pembesar Syiah. Di Daarut Taqrib sesiapapun dari Ahli Sunnah tidak mempunyai hak untuk melakukan sembarang tugas tanpa persetujuan dari tokoh-tokoh Syiah”. (Lihat: al Khomeini. Hlm. 27. Ahmad Mughniyah)

Hasan al-Banna mengiktiraf Syiah. Al-Asmawy berkata: “Hasan al-Banna telah menyatukan pemikiran Sayid Jamaluddin al-Afghani (Syiah) dengan jalan pemikiran Muhammad Abduh”. (Lihat: Majalah ad-Dakwah. No 21. Rabiulawal 1398H. Hlm. 23)

Berkata Syeikh Rabi’ al-Madkhali: “Kekejian dan kemungkaran Syiah bukan sahaja menolak al-Quran tetapi telah merubah dan merosakkan kandungan Kitabullah tersebut yang tidak pernah dilakukan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani terhadap kitab mereka”. (Dipetik dari ceramah Syeikh Rabi’ Ibn Hadi al-Madkahli. Jumaat 10. 7 1427. Di Taif, Arab Saudi) Dan “Syiahlah yang telah menjatuhkan Khalifah Abbasiyah”. (Dipetik dari ceramah Syeikh Rabi’ Ibn Hadi al-Madkhli. Jumaat 10. 7 1427. Di Taif, Arab Saudi)

Para pendukung Ikhwanul Muslimin menyokong Syiah Hizbullah. Sedangkan Hizbullah tidak pernah menyerukan kalimatul ‘ulya (tauhid) dan tidak berjihad untuk pemurnian akidah. Mereka hanyalah Syiah – Rafidhah yang tidak pernah mencintai Ahli Sunnah wal-Jamaah. Peperangan di jalan Allah hanya untuk meninggikan kalimat Allah. Menolong agama Allah. Selainnya pula bukan fisabilillah melainkan fanatisma jahiliyah. Hizbullah adalah Syiah – Rafidhah. Jihad mereka untuk meluaskan Hizbur Rafidhah – Hizbus Syiah atau dikenali sebagai empayar Iran – Parsi. Lihatlah di Iraq di mana Hizbus Syiah – Hizbur Rafidhah tidak sudi bersatu dengan Ahli Sunnah wal-Jamaah sehingga ribuan Ahli Sunnah diusir, dibunuh dan disembelih dengan penuh kekejaman dan sadis. Mereka menghinjak-hinjak al-Quran, masjid orang-orang Sunnah dirampas atau dimusnahkan, yayasan-yayasan sunnah dihapuskan dan kehormatan Ahli Sunnah dicabul dengan tidak ada pertimbangan agama dan peri kemanusiaan. Apakah Syiah di Iran dan di Iraq berbeza akidah, prinsip dan perjuangannya dengan Syiah di Lubnan pimpinan Hasan Nasrullah wahai orang yang mahu memikirkan! Begitulah juga dengan Hizbullah, ia adalah Syiah kerana datangnya dari orang-orang Syiah yang tidak sudi meninggalkan akidah Syiahnya.

Para Da’i Syiah Menentang Ahli Sunnah

Para tokoh Ikhwanul merelakan diri diperalat oleh Syiah, seperti Subhi Saleh, Dr. Abdul Karim Zaidan, Muhammad al-Ghazali, Muhammad Abu Zahrah, Dr. Mustafa as-Syeikh, Hasan Aiyub, Hasan at-Turabi, Fathi Yakan, Zainab al-Ghazali, Umar at-Tilmisani, Yusuf al-Azham, Yusuf al-Qaradhawi dan ramai lagi. Mereka bersungguh-sungguh menyatukan Syiah dan Sunnah melalui Daarut Taqrib. Sehingga Syiah berjaya memperolehi fatwa dari Syeikh al-Azhar, Muhammad Syaltut untuk memberi ruang kepada Syiah Rafidhah dalam bidang fiqh, usul fiqh, tarikh, mustalah hadis dan perawi-perawinya di Universiti al-Azhar. (Lihat: al-Jamaah al-Islamiyah fi Dhawi al-Kitab wa Sunnah bi Fahmi Salaf al-Ummah. Salim Ied al-Hilali. (dalam perbincangan Mutaah))

Nawab Syafawi menyampaikan pidatonya di hadapan pemuda-pemuda Syiah dan Sunnah: “Barangsiapa ingin menjadi penganut Syiah Ja’fariyah yang tulin maka hendaklah bergabung ke dalam barisan Ikhwanul Muslimin”. (Lihat: Mauqif Ulama Muslimin. Hlm. 15)

Strategi persefahaman dan pola kerjasama antara Ikhwanul Muslimin dan Syiah telah terjalin intim, sehingga membawa Nawab Syafawi mengadakan kunjungan ke Kaherah, Mesir pada tahun l954M. (Lihat: as-Sunnah al-Muftara ‘alaihi. Hlm. 57. Salim al-Bahnasawi)

Ikhwanul Muslimin menyeru agar seluruh ahli dan anggotanya bersatu dengan Syiah. Sedangkan Syiah begitu petah dan lancang melaknat dan mengkafirkan para sahabat. Islam tidak menghalalkan seseorang mengkafirkan seseorang yang tidak dikafirkan oleh syara. Apakah Ikhwanul Muslimin tidak mencernakan hadis-hadis berikut?:

“Barangsiapa memanggil seseorang dengan panggilan kafir atau berkata: Engkau musuh Allah sedangkan dia tidak kafir maka perkataan tersebut kembali (terpantul) kepada Si Pemanggil”. (H/R Bukhari 3246. Muslim 93. Dan Ahmad 20492)

“Melaknat seorang mukmin adalah sama seperti membunuhnya”. (H/R Bukhari 5640)

“Memaki hamun seorang muslim adalah fasik, membunuhnya kufur”. (H/R Bukhari 46. Muslim 97. Dan Turmizi 1906)

Dari Ahmad bin Muhammad bin Sulaiman at-Tustari berkata: Aku mendengar Abu Zur’ah berkata: “Jika engkau melihat seseorang mencerca salah seorang sahabat Nabi maka ketahuilah ia adalah zindiq. Kerana dalam pandangan kami Rasulullah adalah haq dan al-Quran adalah haq, sedangkan yang menukil al-Quran dan sunnah-sunnah Nabi kepada kita adalah para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. (Lihat: as-Sharimul Maslul ‘ala Syatmir Rasul. Hlm. 580)

Semoga para pendukung Ikhwanul Muslimin yang membaca tulisan ini tidak melenting, segera melakukan kajian, dan bertindak dengan adil serta menjauhi kebatilan.

Penyatuan Ala Ikhwanul Muslimin

Untuk mencapai cita-citanya merebut kedudukan pemimpin negara, maka Ikhwanul Muslimin sanggup menyatukan orang-orang kafir Nasara sebagai kepimpinan dalam lajnah mereka, antaranya: Dr. Abdul Fattah Muhammad al-Uweisi mengakui hakikat ini: “Sebagai bukti, Ikhwanul Muslimin melibatkan orang-orang Nasara dalam keanggotaan lajnah politik di bawah pemerhatian Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan pada l948M. Antara mereka yang beragama Nasara yang menjadi anggota Ikhwanul ialah Wuheib Dus dan Akhnukh Louis Akhnukh”. (Lihat: Tasawwur Ikhwanul Muslimin lil Qadiyah Palestin. Hlm. 23)

Hasan al-Banna telah membuat pengakuan: “Akan disatukan segala pemikiran, baik yang terdahulu atau yang terkini”. (Lihat: Muzakkirat ad-Dakwah wa Daiyah. Hlm. 353) Dalam hal ini Umar Tilmisani berkata: “Dan dia telah menyampaikan keinginannya (Hasan al-Banna) untuk menyatukan kalimah Muslimin yang mana dia melontarkan keinginannya di Muktamar Menyatukan Firqah Islam (dengan firqah yang bukan Islam)”. (Lihat: al-Mulham al-Mauhub Hasan al-Banna. Hlm. 78. Tilmisani)

Dakwah Kepada Daulah (Khalifah)

Dakwah para nabi dan rasul mengutamakan tauhid (akidah) terlebih dahulu bukan daulah atau khalifah sebagaimana firman Allah: “Telah kami utus pada setiap umat seorang rasul, agar mereka menyembah Allah dan menjauhi taghut”. (an-Nahl, 16: 36)

Ketahuilah bahawa Para utusan Rasulullah yang dihantar keluar seperti ke Yaman, semua mereka diamanahkan supaya terlebih dahulu menyeru kepada tauhid (akidah) dan tidak diberatkan supaya menyeru kepada pembentukan daulah.

Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:

“Berkenaan tokoh-tokoh ahli bid’ah yang memiliki kepelbagaian pendapat dan ibadah yang menyalahi al-Quran dan as-Sunah, maka menjelaskan keadaan mereka dan memperingatkan menusia dari kesesatan mereka adalah wajib, iaitu berdasarkan kesepakatan kaum muslimin, sehingga dikatakan kepada Imam Ahmad: seseorang berpuasa, solat dan iktikaf adakah lebih anda cintai ataukah jika ia menerangkan keadaan ahli bid’ah? Beliau berkata: Jika ia berpuasa, solat dan iktikaf maka itu untuk dirinya sendiri, sedangkan apabila ia menerangkan keadaan ahli bid’ah maka ini adalah untuk kebaikan kaum muslimin dan ini adalah lebih utama. Maka menerangkan perkara ini agar berguna bagi kaum Muslimin dan agama mereka, ini termasuk salah satu jihad di jalan Allah, sebab membersihkan jalan Allah, agama, manhaj dan syariatNya serta menghalau kejahatan ahli bid’ah. Dan bermusuhan dengan mereka adalah fardu kifiyah menurut kesepakatan kaum muslimin. Dan apabila tidak ada orang yang Allah bangkitkan untuk menolak bahaya ahli bid’ah, maka ini benar-benar akan hancurlah agama ini dan kerosakannya jauh lebih besar daripada kerosakan akibat penjajahan musuh dari kalangan orang-orang kafir yang mesti diperangi. Sebab mereka ini jika berkuasa belum tentu mampu merusakan hati manusia yang dijajahnya kecuali pada kesempatan berikutnya, sedangkan ahli bid’ah ini jika mereka berkuasa akan merusakan hati manusia terlebih dahulu”. (Lihat: Majmu’ Fatawa 28/231-233)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: “Barangsiapa yang memuliakan ahli bid’ah, maka dia telah menolong untuk menghancurkan Islam”. (Hadis Marfu’. Ibn Asakir dalam Tarikh Damsyik. Terjemah al-Abbas bin Yusuf asy-Syakili. Hlm. 286)

web asal : http://bahaya-syirik.blogspot.com/2008/02/050-bahaya-pemikiran-hasan-al-banna-di.html

Artikel ini adalah kajian oleh al-Ustaz Abu Farouq Muhammad al-Atsari