TATACARA (SIFAT WUDUK) RASULULLAH
Berniat
Amalan niat di dalam hati tanpa dilafazkan dengan lisan, kerana niat adalah tempatnya di hati dan kerja hati bukan di lisan.
Maksud niat ialah menyengajakan atau bersungguh-sungguh untuk mengerjakan sesuatu kerana menunaikan perintah Allah Azza wa-Jalla. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata:
“Tempat niat itu di hati, bukan di lisan sebagaimana yang disepakati oleh para imam kaum Muslimin, sama ada pada ibadah, taharah, solat, zakat, puasa, haji, membebaskan hamba, jihad dan selainnya. Jika diucapkan dengan lisannya tetapi berlainan dengan kehendak hatinya maka yang diterima hanya yang diniatkan oleh hatinya bukan lafaznya. Sebaliknya jika diucapkan niat dengan lisannya sedangkan berlainan dengan niat yang di hatinya maka ia tidak diterima menurut kesepakatan Imam-Imam Muslimin”. Lihat: Majmu’ ar-Rasail al-Kubra. 1/234
Setiap amal ibadah dituntut agar dimulakan dengan niat sebagaimana sabda Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
اِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ ، وَاِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى
“Setiap amal itu dimulakan dengan niat, sesungguhnya bagi setiap insan mengikut apa yang diniatkan”. H/R Bukhari. 1/9. Muslim. 6/48
Membaca Basmalah (bismillah):
Rasulullah sallallahu alaihi wa-sallam telah memerintahkan agar membaca basmalah (bismillah) setiap kali hendaka berwuduk. Baginda bersabda:
لاَ وُضُوْءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِاسْمَ اللهِ عَلَيْهِ.
“Tiada wuduk bagi siapa yang tidak menyebut nama Allah di atas wuduknya”. H/R Ahmad. Abu Daud 101. At-Tirmizi 26. Ibnu Majah 399. Lihat: Irwaul Ghalil. Dan disahihkan oleh Al-Albani dalam al-Jami’ 7444.
Diketika kekurangan air, Rasululllah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah meminta air untuk berwuduk maka setelah memperolehi air, baginda memasukkan tangannya ke dalam air tersebut. Baginda memerintahkan para sahabat agar membaca basmalah ketika hendak berwuduk:
كَانَ وَضَعَ يَدَهُ فِى الْمَآءِ وَيَقُوْلُ : تَوَضَّؤُوْا بِسْمِ اللهِ ، فَرَاَيْتُ الْمَآءَ يَخْرُجُ مِنْ بَيْنِ اَصَابِعِهِ حَتَّى تَوَضَّؤُوْا مِنْ عِنْدِ آخِرِهِمْ ، قَالَ ثَابِتُ : قَلْتُ لأَنَسٍ : كَمْ تَرَاهُمْ ؟ قَالَ : نَحْوًا مِنْ سَبْعِيْنَ.
“Semasa Rasulullah meletakkan tangannya di dalam air, baginda bersabda: Berwuduklah kamu sekalian dengan nama Allah. Maka aku melihat air keluar dari celah-celah jari-jemari baginda sehinggalah orang yang terakhir (dapat berwuduk). Thabit bertanya (kepada Anas): Berapa jumlah mereka? Sekitar tujuh puluh orang (jawab Anas) ”. H/R Bukhari. 1/236. Muslim. 8/411. Dan Nasaii. 78
Telah dijelaskan oleh Ibnu Qudamah rahimahullah, bahawa berdasarkan hadis-hadis di atas maka menurut Imam Ahmad rahimahullah membaca bismillah ketika hendak berwuduk, hendak mandi dan bertayamum adalah wajib hukumnya. Al-Hasan al-Basri dan Ishaq bin Rahawiyh serta ramai para imam-imam yang lain juga berpendapat seperti itu. Menurut Ibnu Qudamah:
“Apabila ditetapkan wajibnya (membaca basmalah), jika ditinggalkan dengan sengaja maka taharahnya tidak sah kerana meninggalkan yang wajib dalam taharah sama seperti meninggalkan niat. Adapun jika meninggalkan dengan tidak disengajakan (terlupa) maka taharahnya tetap sah”. Lihat: Al-Mughni. 1/84
Membasuh kedua telapak tangan:
Disunnahkan membasuh kedua tangan sebelum memasukkannya ke dalam air atau sebelum berkumur-kumur. Dan dituntut agar mendahulukan yang sebelah kanan. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ التَّيَامُّنُ فِيْ تَنَعُّلِهِ ، وَتَرَجُّلِهِ ، وَطُهُوْرِهِ ، وَفِيْ شَأْنِهِ كُلِّهِ.
Dari Aisyah radiallahu ‘anha, bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyukai mendahulukan yang kanan apabila memakai sandalnya (kasut), berjalan, bersuci dan dalam segala urusan”. H/R Ahmad, Bukhari dan Muslim
عَنْ أبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اِذَا لَبِسْتُمْ وَاِذَا تَوَضَّأْتُمْ فَابْدَأُوْا بِأَيَامِنِكُمْ.
“Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Apabila kamu berpakaian, apabila kamu berwuduk maka mulakanlah dari anggota-anggota kanan kamu”. H/R Ahmad dan Abu Daud
Sangat ditekankan membasuh tangan ketika baru bangun dari tidur malam atau tidur yang lama, sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
وَعَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اِذَا اسْتَيْقَظَ اَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِهِ فَلاَ يَغْمِسْ يَدَهُ حَتَّى يَغْسِلَهَا ثَلاَثًا ، فَاِنَّهُ لاَ يَدْرِيْ أَيْنَ بَاتَتْ يَدَهُ.
“Dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Apabila salah seorang antara kamu bangun dari tidurnya maka janganlah memasukkan tangan ke dalam air sebelum membasuhnya tiga kali kerana ia tidak tahu di mana tangannya (berada semasa tidur)”. H/R Jamaah. Dalam riwayat Bukhari tidak disebut tiga kali
وَفِى لَفْظِ التِّرْمِذِيْ وَابْنِ مَاجَهْ : اِذَا اسْتَيْقَظَ اَحَدُكُمْ مِنَ اللَّيْلِ.
“Pada lafaz Tirmizi dan Ibnu Majah: Apabila salah seorang antara kamu bangun dari (tidur) malam”.
اَنَّ عُثْمَانَ دَعَا بِوُضُوْءٍ فَغَسَلَ كَفَّيْهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ، ثُمَّ قَالَ : رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ تَوَضَّأَ نَحْو وُضُوْئِيْ هَذَا.
“Bahawasanya Uthman pernah meminta air untuk berwuduk maka dibasuhnya kedua telapak tangannya tiga kali. Kemudian beliau berkata: Aku telah melihat Rasulullah berwuduk seperti wudukku ini”. H/R Bukhari dan Muslim
مِنْ حَدِيْثِ عَبْدِ اللهِ بْنِ زَيْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، سُئِلَ عَنْ وُضُوْءِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَاَكْفَأَ عَلَى يَدَيْهِ مِنَ التَّوْرِ فَغَسَلَ يَدَهُ ثَلاَثًا.
“Dari hadis Abdillah bin Zaid radiallahu ‘anhu, beliau telah ditanya tentang wuduknya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam maka beliau menuangkan air dengan tangannya, lalu membasuh tangannya tiga kali”. H/R Bukhari. 1/255. Dan Muslim. 3/121
عَنْ أَوْسِ بْنِ أَبِيْ أَوْسٍ عَنْ جَدِّهِ قَالَ : رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ فَاسْتَوْكَفَ ثَلاَثًا ، أَيْ غَسَلَ كَفَّيْهِ.
“Dari Aus bin Abi Aus dari datuknya berkata: Aku telah melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berwuduk maka baginda membasuh telapak tangannya tiga kali iaitu membasuh kedua telapak tangannya”. H/R Ahmad 4/9. An-Nasaii. 1 /55 dengan isnadnya yang sahih
Membasuh sela-sela (celah-celah) jari-jemari sama ada tangan atau kaki adalah perbuatan sunnah yang telah ditinggalkan, ia sangat dituntut kerana telah diperintahkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
وَعَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اِذَا تَوَضَّأْتَ فَحَلِّلْ أَصَابِعَ يَدَيْكَ وَرِجْلَيْكَ.
“Dari Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Apabila kamu berwuduk, maka sela-selalah (celah-celah) jari-jemari kedua tangan kamu dan kaki kamu”. H/R Ahmad. Ibnu Majah dan Tirmizi
عَنْ لَقِيْطِ بْنِ صَبِرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اَسْبِغِ الْوُضُوْءَ وَخَلِّلْ بَيْنَ اْلأَصَابِعِ.
“Dari Laqit bin Sabirah radiallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Sempurnakanlah wuduk dan basuhlah sela-sela (celah-celah) jari-jemari kamu”. H/R Abu Daud No. 142. Tirmizi No. 38. Nasaii No. 114. Ibnu Majah No. 497. Hakim 1/148. Dan disahihkan oleh Al-Albani rahimahullah dalam Sahih Jami’ as-Sagir No. 940.
Menurut Imam San’ani (Lihat: Subulus Salam 1/47) rahimahullah:
“Secara lahirnya, lafaz jari-jemari yang dimaksudkan adalah jari-jemari kedua tangan dan kedua kaki. Ianya telah dijelaskan melalui hadis Ibnu Abbas”.
Syarih rahimahullah berkata: Hadis ini menunjukkan dituntut atau diperintahkan agar menyela-yela jari-jari kedua tangan dan kedua kaki. Dan hadis-hadis ini antara satu dengan yang lain saling memperkuat sehingga menunjukkan hukumnya menjadi wajib. Lihat: Nailul Autar. 1/131
Ketika berwuduk, disunnahkan juga menggerak-gerakkan cincin untuk menghilangan daki atau kotoran:
عَنْ أَبِيْ رَافِعٍ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ اِذَا تَوَضَّأَ حَرَّكَ خَاتَمَهُ.
“Dari Abi Rafi’ bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam apabila berwuduk, baginda menggerak-gerakkan cincinnya”. H/R Ibnu Majah dan Daraqutni
Syarih berkata: Hadis ini menunjukkan diperintahkan menggerak-gerakkan cincin agar hilang kotoran-kotoran yang berada di bawahnya, begitu juga yang sama dengan cincin seperti gelang, perhiasan-perhiasan dan sebagainya. Lihat: Nailul Autar. 1/131
Berkumur-kumur, Istinsyaq Dan Istinsar
Berkumur-kumur (أَلْمَضْمَضَةُ) ialah: Memasukkan air ke dalam mulut sambil beristinsyak (menggandingkan atau dengan serentak memasukkan air ke dalam hidung). Syariah berkata: Bahawa dalam mulut dan hidung termasuk muka. (Lihat: Nailul Autar. 1/125) Ketika berkumur-kumur hendaklah menggerak-gerakkan air di dalam mulut dengan bersungguh-sungguh.
Menurut Imam An-Nawawi rahimahullah: “Dari hadis ini (hadis Amru bin Yahya), diambil dalil yang menunjukkan bahawa mazhab yang paling benar ialah sunnah diketika berkumur-kumur dengan membasuh (memasukkan air) ke hidung dengan melakukan kedua-duanya serentak pada setiap kali (berwuduk) dengan tiga kali cedukan air”. Lihat: Sahih Muslim. 3/123
وَعَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا فِى وَصْفِ وُضُوْءِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اَنَّهُ قَالَ فِيْهِ : اِذَا تَوَضَّاَ فَمَضْمَضَ.
“Dari Aisyah radiallahu ‘anha pada mensifati wuduk Nabi. Bahawa apabila baginda berwaduk, baginda berkumur-kumur”. H/r Bukhari dan Abu Daud. 143
Istinsyak (اَلاِسْتِنْشَاقُ) ialah: Memasukkan air ke dalam hidung dengan tangan kanan, menggerakkan air di dalam hidung, membasuh dan kemudian menghembuskan keluar air tersebut. Cara mengeluarkan air dari hidung “istinsyak (أَْلإسْتِنْشَاقُ)” ialah setelah mengeluarkan air dari mulut (setelah berkumur-kumur). Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ مِنْ كَفٍّ وَاحِدَةٍ فَفَعَلَ ذَلِكَ ثَلاَثًا.
“Baginda berkumur-kumur memasukkan air ke hidung (serentak) dengan sebelah tangan dan melakukannya tiga kali”. H/R Bukhari 1/255. Muslim. 3/121
Istinsar (اَلاِسْتِنْثَارُ) ialah: Bersungguh-sungguh menghirup atau memasukkan air ke hidung dengan tangan kanan (jika tidak berpuasa), kemudian menghembuskan (menyemburkan) air tersebut dari hidung dengan tangan kiri:
عَنْ لَقِيْطِ بْنِ صَبِرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : يَا رَسُوْلَ اللهِ ، أَخْبِرْنِيْ عَنِ الْوُضُوْءِ ؟ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اَسْبِغِ الْوُضُوْءَ ، وَخَلِّل بَيْنَ اْلأَصَابِعِ ، وَبَالِغْ فِي اْلاِسْتِنْشَاقِ ، اِلاَّ اَنْ تَكُوْنَ صَائِمًا.
“Dari Laqit bin Sabirah radiallahu ‘anhu berkata: Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang wuduk! Baginda bersabda: Sempurnakanlah wuduk kamu, sela-selalah celah-celah jari-jemari kamu dan basuhlah hidung dengan menyedut air ke hidung kecuali ketika kamu berpuasa”. H/R Tirmizi. 38. Abu Daud. 142. Ibnu Majah. 407. Ibnu Hibban, Hakim dan Az-Zahabi. Disahihkan oleh Ibnu Hajar
وَعَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ اَنَّهُ دَعَا بِوُضُوْءٍ ، فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَنَثَرَ بِيَدِهِ الْيُسْرَى فَفَعَلَ هَذَا ثَلاَثًا ، ثُمَّ قَالَ : هَذَا طَهُوْرُ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
“Dari Ali radiallahu ‘anhu bahawa beliau meminta air wuduk, kemudian ia berkumur-kumur dengan menghisap air dengan hidungnya dan menyemburkan (menghembuskan) dengan tangan kirinya maka ia berbuat ini tiga kali, kemudian berkata: Inilah cara bersuci Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam”. H/R Ahmad dan Nasaii
Hendaklah dipastikan iaitu ketika menghembuskan air dari hidung, ia dilakukan setelah berkumur-kumur (mengeluarkan air dari mulut) sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
اِذَا تَوَضَّأَ اَحَدُكُمْ فَلْيَجْعَلْ فِى اَنْفِهِ مَاءً ا ثُمَّ لْيَسْتَنْثِرْ
“Bersabda Rasululullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Apabila seseorang kamu berwuduk maka hendaklah ia memasukkan air ke dalam hidungnya kemudian ia menyisihkan (menghembuskannya) keluar”. H/R Bukhari 1/229. Muslim. 237. Abu Daud 140
“Dari Abdi Khairin berkata: Suatu ketika kami sedang duduk memerhatikan Ali berwuduk maka beliau pun memasukkan air yang separuh takungan tangannya ke dalam mulutnya (serentak memasukkan ke dalam hidungnya). Beliau berkumur-kumur dan membasuh hidungnya. Setelah itu beliau menghembuskan keluar dengan tangan kirinya, beliau melakukannya demikian tiga kali. Kemudian beliau berkata: Barangsiapa yang suka untuk menyaksikan tatacara wuduk Rasulullah maka berwuduklah seperti ini”. H/R Ad-Darimy. Al-Albani mensahihkan hadis ini.
Membasuh Muka
Cara membasuh muka ialah bermula dari atas dahi (tempat tumbuhnya rambut) sehingga ke bawah dagu. Dari anak telinga kiri ke anak telinga kanan. Membasuh muka adalah perintah dari Allah Azza wa-Jalla. Allah berfirman:
فَاغْسِلُوْا وُجُوْهَكُمْ
“Dan basuhlah muka kamu”. Al-Maidah. 5:6
Di dalam hadis sahih, dari Humran bin Aban berkata bahawa cara Uthman bin Affan radiallahu ‘anhu berwuduk semasa mengajarkan sifat wuduk Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam ialah:
“Beliau membasuh muka sebanyak tiga kali”. H/R Bukhari. 1/312. Muslim. 226
عَنِ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِيْ كَرِبَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : أُتِيَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِوُضُوْءٍ فَتَوَضَّأَ فَغَسَلَ كَفَّيْهِ ثَلاَثًا ، وَغَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثًا.
“Dari Miqdam bin Ma’di Kariba radiallahu ‘anhu berkata: Telah diberi kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam air wuduk, lalu baginda berwuduk, kemudian ia membasuh kedua tapak tangannya tiga kali, kemudian membasuh mukanya tiga kali”. H/R Abu Daud
Batas muka yang wajib dibasuh ialah (sebagaimana dijelaskan di atas): Panjangnya dari sebelah atas dimulai dari bahagian yang ditumbuhi rambut (jambul) di kepala (di atas dahi), sehinggalah ke dagu dan janggut. Dan lebarnya bermula dari tepi telinga kanan sehinggalah ke bahagian tepi telinga kiri.
Sebahagian ulama seperti Abu Tsaur dan Ishak menghukum wajib mensela-sela janggut, jika meninggalkannya dengan sengaja maka wajib mengulangi wuduk dan solatnya kerana Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam sentiasa mensela-sela janggutnya dengan air semasa berwuduk:
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ اِذَا تَوَضَّأَ أَخَذَ كَفًّا مِنْ مَآءٍ فَاَدْخَلَهُ تَحْتَ حَنَكِهِ فَخَلَّلَ بِهِ لِحْيَتَهُ وَقَالَ : هَكَذَا أَمَرَنِيْ رَبِّيْ عَزَّ وَجَلَّ.
“Dari Anas radiallahu ‘anhu, bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengambil seceduk air lalu dimasukkan di bawah dagunya dan mensela-sela (menyilang-nyilang) air pada janggutnya. Kemudian baginda bersabda: Beginilah yang diperintahkan oleh Tuhanku Azza wa-Jalla”. H/R Abu Daud 145. Baihaqi. 1/54. Hakim. 1/49. Menurut al-Albani: Hadis sahih. Lihat: Al-Jamiu as-Saghir. 4572.
عَنْ عُثْمَانَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُخَلِّلُ لِحْيَتَهُ.
“Dari Uthman, bahawa sesungguhnya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam mensela-sela air pada janggut baginda”. H/R At-Tirmizi. 31. Disahihkan olehnya. Ibnu Majah. 430. Hakim 1/149. Ibnu Khuzaimah. Ibnu Hibban. Menurut Tirmizi, Hakim dan Ibnu Khuzaimah, hadis sahih. Lihat: Kitab Syarus as-Sunnah, 1/421. Al-Bagawi. Dan Tahzibut Tahzib. 5/69.
Membasuh Kedua Tangan Hingga Ke Siku
Siku (مرفق) ialah tempat percantuman antara hasta (lengan sebelah bawah) dengan lengan sebelah atas. (Lihat: Kamus Muhith) Allah Azza wa-Jalla berfirman:
وَاَيْدِيَكُمْ اِلَى الْمَرَافِقِ
“Dan (basuhlah) tangan-tanganmu sehingga ke siku-sikumu”. Al-Maidah. 5:6
عَنْ نُعَيْمِ بْنِ الْمُجْمِرِ قَالَ : رَأَيْتُ اَبَا هُرَيْرَةَ يَتَوَضَّأَ فَغَسَلَ وَجْهَهُ فَأَسْبَغَ الْوُضُوْءَ ، ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ الْيُمْنَى حَتَّى أَشْرَعَ فِى الْعَضُدِ ، وَفِى آخِرِ الْحَدِيْثِ قَالَ : هَكَذَا رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأَ.
“Dari Nu’aim bin al-Mujmir ia berkata: Aku pernah melihat Abu Hurairah berwuduk lalu ia menyempurnakan wuduknya, kemudian ia membasuh tangan kanannya hingga mengenai lengan atasnya (sikunya), kemudian membasuh tangan kirinya hingga mengenai bahagian lengan kirinya hingga mengenai bahagian lengan atasnya. Di akhir hadis ini Abu Hurairah berkata: Demikianlah aku melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berwuduk”. H/R Muslim 1/246. Dalam Sahih Muslim 1/149
وَعَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِذَا تَوَضَّأَ اَدَارَ الْمَاءَ عَلَى مِرْفَقَيْهِ.
“Dari Jabir radiallahu ‘anhu, bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam berwuduk meratakan air hingga sampai kedua-dua sikunya”. H/R Daruqutni 1/15. Baihaqi 1/56. Disahihkan oleh Al-Albani dalam Al-Jamiu as- Saghir No. 4574
Menyapu (Mengusap) Air Ke Seluruh Kepala
Pendapat yang paling rajih cara menyapu air di kepala ialah menyapu sehingga ke seluruh bahagian kepala iaitu berdasarkan penjelasan Ibnu Qudamah (Lihat: Al-Mughni (Dalam persoalan wuduk)) rahimahullah bahawa:
“Terdapat sebahagian orang yang berpegang dengan pendapat bahawa: Menyapu kepala hanya sebahagian sudah memadai. Mereka berpendapat bahawa huruf (ب) dalam al-Quran (بِرُؤُوْسِكُمْ) bermakna sebahagian (التبعيض). Mereka menafsirkan ayat tersebut: Sapulah air pada sebahagian kepalamu. Walaubagaimanapun pendapat kami bahawa huruf (ب) bermakna: Seluruh kepala (الاِلصاق) sebagaimana firman Allah:
فَامْسَحُوْا بِرُؤُوْسِكُمْ
“Dan sapulah kepalamu (bermaksud: keseluruhan kepalamu)”.
Menurut Imam Asy-Syaukani rahimahullah:
“Sesungguhnya tidak ada penjelasan yang tepat yang boleh menafsirkan (ب) kepada erti sebahagian (التبعيض). Malah Sibaweih sendiri telah membantah tafsiran tersebut di 15 tempat di dalam kitab beliau”. Lihat: Nailul Autar 1/193
Keterangan dari hadis yang membuktikan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyapu (mengusap) seluruh kepala baginda ialah:
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ زَيْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَسَحَ رَأْسَهُ بِيَدَيْهِ ، فَأَقْبَلَ بِهِمَا وَأَدْبَرَ ، بَدَأَ بِمُقَدِّمِ رَأْسِهِ ، ثُمَّ ذَهَبَ بِهِمَا اِلَى قَفَاهُ ، ثُمَّ رَدَّهُمَا اِلَى الْمَكَانِ الَّذِيْ بَدَأَ مِنْهُ.
“Dari Abdullah bin Zaid radiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyapu (mengusap) kepala baginda dengan kedua tangannya maka ditemukan kedua tangannya, digerakkan ke belakang. Dimulakan dari bahagian hadapan kepalanya kemudian terus menyapu dengan kedua tangannya sehingga ke tengkuknya, kemudian dikembalikan semula kedua tangannya kebahagian dimana baginda bermula”. H/R Bukhari 1/251. Muslim 235. Tirmizi No. 28
Mengusap (Menyapu) Air Pada Kedua Telinga
Setelah menyapu air di kepala kemudian langsung mengusap kedua telinga di bahagian luar dan dalam telinga dengan sisa air di tangan. (Lihat: Sifat Wuduk Nabi. Hlm. 15. Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin) Menurut Syeikh al-Albani rahimahullah:
Tidak ada keterangan di dalam as-Sunnah yang mewajibkan pengambilan air baru untuk menyapu telinga. Maka memadailah dengan sisa air yang digunakan untuk menyapu kepala, sebagaimana hukumnya harus menyapu air di kepala dengan sisa air dari membasuh tangan. Yang demikian adalah berdasarkan kepada hadis Ar-Rabi’ binti Mu’awidz:
عَنِ الرَّبِيْعِ بِنْتِ مُعَوِّذٍ ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَسَحَ مِنْ فَضْلِ مَاءٍ كَانَ فِى يَدِهِ.
“Dari Rabi’ binti Mu’awiz bahawa nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyapu air di kepala baginda dengan sisa air yang ada pada kedua tangan baginda”. H/R Abu Daud. Lihat: Silsilah Dho’ifah. Hlm. 995
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَسَحَ بِرَأْسِهِ وَأُذُنَيْهِ ظَاهِرَهُمَا وَبَاطِنَهُمَا.
“Dari Ibnu Abbas, bahawa nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengusap kepala dan kedua telinganya pada bahagian luar dan bahagian dalamnya”. H/R Ahmad 4/132. Abu Daud. 1/19 dengan sanad yang sahih. Disahihkan oleh al-Albani dalam Silsilah Ahadis Sahihah No. 261.
وَللنَّافِعِ : مَسَحَ بِرَأْسِهِ وَأُذُنَيْهِ ، بَاطِنِهِمَا بِالْمُسَبَّحَتَيْنِ.
“Dan bagi Nafi’: (Nabi) mengusap (menyapu) kepalanya dan kedua telinganya, bahagian dalamnya dengan kedua jari telunjuknya dan bahagian luarnya dengan ibu jarinya”. H/R Nasaii.
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرُو رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – في صِفَةِ الْوُضُوْءِ – قَالَ : ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ ، وَأَدْخَلَ أُصْبُعَيْهِ السَّبَّابَتَيْنِ فِى أُذُنَيْهِ ، وَمَسَحَ بِاِبْهَامَيْهِ ظَاهِرَ أُذُنَيْهِ.
“Dari Abdullah bin Amru radiallahu ‘anhu – pada mensifati wuduk Nabi – berkata: Kemudian baginda menyapukan air di kepala dan memasukkan kedua jari telunjuknya ke dalam telinga, lalu mengusap bahagian belakang kedua kuping telinga baginda dengan menggunakan kedua ibu jari baginda”. H/R Abu Daud 135. Nasaii 140. Ibnu Majah 422 dan disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah.
Menurut Imam Ahmad rahimahullah, Ibnu Musayyib, ‘Ato, Al-Hasan al-Basri, Ibnu Sirin, Sa’ied bin Jubair, An-Nakhaie, At-Thauri dan Malik bahawa kedua telinga termasuk bahagian kepala maka hukum menyapunya sama dengan menyapu kepala. Kerana Rasulullah sallallahu ‘alahi wa-sallam bersabda:
وَلاِبْنِ مَاجَه مِنْ غَيْرِ وَجْهٍ : عَنِ النَّبِيِّ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : أَلأُذُنَانِ مِنَ الرَّأْسِ.
“Dari Ibnu Majah selain dari muka, dari Nabi salallahu ‘alaihi wa-sallam baginda bersabda: Kedua-dua telinga termasuk sebahagian dari kepala”. H/R Abu Daud. No. 134. Tirmizi No. 37. Ibnu Majah No. 44. Menurut al-Albani: Hadis sahih. Lihat: As-Silsilah As-Sahihah. 1/36.
Menyapu Serban Dan Ubun-Ubun (Jambul)
Bagi yang memakai serban (Perhatian: Serban tidak sama dengan songkok, kupiah atau topi kerana semua ini wajib ditanggalkan. Tidak boleh menyapu air di atas songkok, kupiah atau topi.), maka memadai menyapu di atas serbannya tanpa ditanggalkan atau menyapu di atas ubun-ubun kemudian di atas serbannya, sebagaimana amalan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
عَنْ عَمْرِو بْنِ أُمَيَّةَ قَالَ : رَأيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ عَلَى عِمَامَتِهِ وَخُفَّيْهِ.
“Dari ‘Amru bin Umaiyah berkata: Aku telah melihat Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa-sallam menyapu air ke atas serban dan kedua sepatu baginda”. H/R Bukhari 1/266
Menurut Imam Ahmad rahimahullah, bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengusap (menyapu dengan air) serban dan jambulnya, ini dilakukan sejalan (bersamaan) berdasarkan hadis Mughirah bin Syu’bah (Lihat: al-Mughni. 1/310) di bawah ini:
عَنِ الْمُغِيْرَةِ بْنِ شُعْبَةَ ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ فَمَسَحَ بَنَاصِيَتِهِ وَعَلَى الْعِمَامَةِ وَالْخُفَّيْنِ.
“Dari Mughirah bin Syubah, bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam berwuduk lalu menyapu ubun-ubun (jambul) (Menurut Lisanu al-Arabi, kalimah (اَلنَّاصِيَةُ) ialah rambut yang tumbuh di dahi. Asal kalimahnya (اَلنُّصَّةُ) yang jamaknya (نُصَصٌ) bermakna jambul) dan atas serban serta dua sepatunya”. H/R Ahmad, Bukhari dan Muslim. 1/159.
عَنْ بِلاَلٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَسَحَ الْخُفَّيْنِ وَالْخِمَارِ.
“Dari Bilal radiallahu ‘anhu berkata: Bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyapu air di atas kedua sepatunya dan kain penutup kepalanya (serbannya)”. H/R Bukhari. No. 204-205. Muslim 1/159.
Menyapu Di Atas Telekong Atau Jilbab
Dibolehkan bagi para wanita mengusap (menyapu) air di atas telekong atau jilbabnya. Kenyataan ini berdasarkan amalan Ummah Salamah radiallahu ‘anha yang pernah mengusap (menyapu) air di atas jilbabnya. Hal ini telah di nyatakan oleh Ibnu Munzir. Lihat: Al-Mughni 1/312 dan 1/383-384.
Membasuh Dua Kaki
Diwajibkan membasuh dua kaki sampai kedua mata kaki atau buku lali. Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:
وَاَرْجُلَكُمْ اِلَى الْكَعْبَيْنِ
“Dan (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga kedua mata kaki”. Al-Maidah. 5:6.
عَنْ عُثْمَان بْنِ عَفَّان رَضِيَ اللهُ عَنْهُ اَنَّهُ دَعَا بِاِنَاءٍ ، فَأَفْرَغَ عَلَى كَفَّيْهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ، فَغَسَلَهُمَا ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِيْنَهُ فِى اْلإِنَاءِ ، فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْثَرَ ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثًا ، وَيَدَيْهِ اِلَى الْمِرْفَقَيْنِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ، ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ اِلَى الْكَعْبَيْنِ ، ثُمَّ قَالَ : رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ تَوَضَّأَ نَحْوَوُضُوْئِيْ هَذَا
“Dari Uthman bin Affan radiallahu ‘anhu, bahawa ia pernah meminta bejana, lalu ia menungkan air atas kedua telapak tangannya tiga kali, kemudian membasuhnya, lalu memasukkan yang sebelah kanannya dalam bejana, kemudian berkumur-kumur dan menghisap air ke hidung, kemudian membasuh mukannya tiga kali dan kedua tangannya sampai siku-siku tiga kali, kemudian mengusap kepalanya, lalu membasuh kedua kakinya tiga kali sampai mata kakinya, kemudian ia berkata: Aku melihat Rasulullah berwuduk seperti wudukku ini”. H/R Ahmad, Bukhari dan Muslim.
وَرَوَاهُ أَحْمَدُ وَقَالَ فِيْهِ : ثُمَّ يَمْسَحُ رَأْسَهُ كَمَا أَمَرَهُ اللهُ تَعَالَى ، ثُمَّ يَغْسِلُ قَدَمَيْهِ اِلَى الْكَعْبَيْنِ كَمَا أَمَرَهُ اللهُ.
“Dan diriwayatkan oleh Ahmad, ia berkata dalam hadis tersebut: Kemudian ia mengusap kepalanya sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepadanya, kemudian ia memcuci kedua kakinya sehingga ke mata kaki sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepadanya”.
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ: تَخَلَّفَ عَنَّا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيْ سَفْرَةٍ ، فَأَدْرَكَنَا وَقَدْ أَرْهَقَنَا الْعَصْرُ ، فَجَعَلْنَا نَتَوَضَّأُ وَنَمْسَحُ عَلَى أَرْجُلِنَا ، قَالَ : فَنَادَى بَأَعْلَى صَوْتِهِ : وَيْلٌ للأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ مَرَّتَيْنِ أَوْثَلاَثًا.
“Dari Abdillah bin Amr ia berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah tertinggal dari kami dalam satu perjalanan (safar), lalu ia menyusul kami, sedang waktu Asar telah meliwati kami, maka kami mulai berwuduk dan mengusap kaki-kaki kami. Abdullah bin Amr berkata: Kemudian Nabi sallallahu ‘alahihi wa-sallam memanggil dengan suara yang tinggi: Celaka bagi tumit-tumit dari nereka, dua kali atau tiga kali”. H/R Ahmad, Bukhari dan Muslim.
وَعَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى رَجُلاً لَمْ يَغْسِلْ عَقِبَهُ فَقَالَ : وَيْلٌ للأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ.
Dan dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah melihat seorang lelaki yang membasuh tumitnya, lalu baginda bersabda: Celaka bagi tumit-tumit dari neraka”. H/R Muslim.
وَعَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ قَالَ : رَأَى رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَوْمًا تَوَضَّأُوْا وَلَمْ يَمَسَّ أَعْقَابَهُمُ الْمَاءُ فَقَالَ : وَيْلٌ للأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ.
“Dari Jabir bin Abdillah ia berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah melihat suatu kaum berwuduk sedang tumit-tumit mereka tidak terkena air, lalu ia bersabda: Celaka bagi tumit-tumit dari neraka”. H/R Ahmad.
وَعَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ الْحَارِثِ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : وَيْلٌ للأَعْقَابِ وَبُطُوْنِ اْلأَقْدَامِ مِنَ النَّارِ.
“Dari Abdullah bin al-Harith ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Celaka bagi tumit-tumit dan dalam telapak-telapak kaki dari neraka”. H/R Ahmad dan Daruqutni.
وَعَنْ جَرِيْرِ بْنِ حَازِمٍ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَجُلاً جَاءَ اِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَدْ تَوَضَّأَ وَتَرَكَ عَلَى ظَهْرِ قَدَمِهِ مِثْلَ مَوْضِعِ الظُّفْرِ – فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ : اِرْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوْءَ كَ.
“Dari Jarir bin Hazim dari Qtadah dari Anas bin Malik bahawa ada seorang lelaki yang datang kepada Nabi sedang ia telah berwuduk, ia meninggalkan punggung kakinya sebesar tempat kuku – lalu Nabi bersabda kepadanya: Ulangilah dan baguskanlah (sempurnakan) wadukmu”. H/R Abu Daud, Ahmad dan Durqutni.
Berkata Syariah: “Celaka bagi tumit-tumit dari neraka” bahawa hadis ini menunjukkan atas wajibnya membasuh dua kaki, begitulah pendapat jumhur. Lihat: Naulul Autar. 1/143.
Supaya lebih sempurna maka dibasuh kaki sampai ke betis sebagaimana yang ditunjukkan oleh Abu Hurairah radiallahu ‘anhu:
ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ الْيُمْنَى حَتَّى أَشْرَعَ فِى السَّاقِ ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ الْيُسْرَى حَتَّىأَشْرَعَ فِى السَّاقِ – وَفِىآخِرِالْحَدِيْثِ قَالَ : هَكَذَا رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ.
“Kemudian membasuh kaki kanannya sehingga ke paras betisnya kemudian membasuh kaki kirinya sehingga ke paras betisnya – Diakhir hadis beliau berkata: Beginilah aku lihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam (berwuduk)”. H/R Muslim. 1/246.
Begitu juga supaya sentiasa sempurna hendaklah dibasuh celah-celah jari-jemari kaki dan mencela-cela dengan jari yang paling kecil iaitu mencela-cela menggunakan jari kelengkeng. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah:
عَنِ الْمُسْتَوْرِدِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِذَا تَوَضَّأَ دَلَّكَ أَصَابِعَ رِجْلَيْهِ بِخِنْصِرِهِ.
“Dari Al-Mustaurid radiallahu ‘anhu berkata: Bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam apabila berwuduk menggosok-gosok (celah-celah) jari-jemari kedua kakinya dengan jari kelengkengnya”. H/R Abu Daud No. 148. Tirmizi no. 40. Ibnu Majah no. 446. Menurut Al-Albani: Hadis ini sahih. Lihat: Al-Jamiu as-Saghir. 4576.
Imam As-San’ani rahimahullah menjelaskan:
“Hadis ini adalah dalil yang menjelaskan kewajipan menggosok celah-celah jari-jemari, sebagaimana yang ditetapkan dari hadis Ibn Abbas, seperti yang telah kami jelaskan iaitu hadis yang telah diriwayatkan oleh Tirmizi, Ahmad, Ibnu Majah, al-Hakim dan dihukum hasan oleh Imam Bukhari. Adapun caranya ialah dengan menggosok-gosokkan dengan menggunakan jari kelengkeng tangan kiri bermula dengan bahagian bawah jari-jemari. Mengenai menggosok dengan tangan kiri maka sebenarnya ia tidak terdapat walaupun satu nas, hanya itulah yang dikatakan oleh Imam al-Ghazali, yang demikian diqiaskan kepada istinja. Lihat: Subus Salam Syarah Bulugul Maram. As-San’ani.
MEMBASUH SATU KALI, DUA KALI DAN TIGA KALI
Dibolehkan membasuh anggota wuduk satu kali satu kali, dua kali dua kali dan tiga kali tiga kali, tetapi tidak dibolehkan membasuh sehingga empat kali. Sepakat ulama bahawa membasuh sekali hukumnya wajib. Sementara membasuh dua kali dan tiga kali adalah sunnah. (Lihat Majmu al-Fatawa. 1/229.) Kecuali kepala dan telinga hanya diusap sekali (dan hukumnya bid’ah jika diusap melebeih sekali) usapan. (Lihat: Bidayatul Mujtahid 1/13. Tarjih Ibnu Rusyd.) Yang paling sempurna ialah mencontohi Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dengan melakukan tiga kali (selain kepala dan telinga). Adapun hadis-hadis yang membolehkan satu kali, dua kali dan tiga kali cucian ialah:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : تَوَضَّأَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّةً مَرَّةً.
“Dari Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu berkata: Telah berwuduk Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam (dengan membasuh) satu kali, satu kali”. H/R Bukhari 1/226.
Ada kalanya Rasulullah sallallahu ‘aliaihi wa-sallam membasuh anggota wuduknya dua kali, dua kali.
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ زَيْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ مَرَّتَيْنِ مَرَّتَيْنِ.
“Dari Abdullah bin Zaid radiallahu ‘anhu berkata: Bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam berwuduk (membasuh anggota wuduk) dengan dua kali, dua kali”. H/R Bukhari 1/226.
Ada kalanya baginda membasuh anggota wuduk dengan tiga kali, tiga kali:
كَانَ يَغْسِلُ اْلأَعْضَاءَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ.
“Baginda membasuh anggota-anggota wuduknya tiga kali”. H/R Bukhari dan Muslim.
وَعَنْ عُثْمَانَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ ثَلاثًا ثَلاَثًا.
“Dari Uthman bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam berwuduk (membasuh anggota wuduk) tiga kali tiga kali”. H/R Ahmad dan Muslim.
وَعَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنْ أَبِيْهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ : جَآءَ أَعْرَابِيٌّ اِلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُهُ عَنِ الْوُضُوْءِ ، فَأرَاهُ ثَلاَثًا ثَلاَثًا وَقَالَ : هَذَا الْوُضُوْءُ فَمَنْ زَادَ عَلَى هَذَا فَقَدْ أَسَاءَ وَتَعَدَّى وَظَلَمَ.
“Dari Amr bin Syu’aib radiallahu ‘anhu dari ayahnya dari datuknya, ia berkata: Telah datang seorang Badwi kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menanyakan masalah wuduk lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam memperlihatkannya tiga kali tiga kali dan baginda bersabda: Itulah bilangan wuduk maka barangsiapa menambah dari itu maka ia telah berbuat keburukan, pelanggaran dan kezaliman”. H/R Ahmad, Nasaii dan Ibnu Majah.
BERDOA SELEPAS BERWUDUK
Berkata Ibnu Qaiyim rahimahullah:
“Setiap hadis mengenai zikir ketika sedang berwuduk yang dibaca oleh orang awam bagi setiap anggota wuduk adalah bid’ah, tiada asalnya dari syara. Hadis-hadis mengenainya bercanggah dan dusta semata-mata. Nabi tidak pernah mengucapkannya dan tidak pernah mengajarkannya kepada ummah. Yang benar diterima dari Nabi hanyalah tasmiyah (membaca bismillah) pada permulaan wuduk dan selepas (selesai) berwuduk, tidak pula diriwayatkan sesuatu pun dari Nabi, tidak juga dari para sahabat, tabi’in bahkan tidak terdapat dari imam yang empat”.
Tiada sembarang apapun bacaan, doa atau zikir semasa berwuduk, sama ada sebelum atau semasa membasuh tangan, berkumur-kumur, membasuh muka atau semasa membasuh setiap anggota-anggota wuduk lainnya. Menurut Imam an-Nawawi rahimahullah:
“Semua doa-doa ketika sedang berwuduk tidak ada asalnya (dari syara), tidak pernah disebut oleh para salaf”.
Namun terdapat doa sejurus atau selepas berwuduk sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُسْبِغُ الْوُضُوْءَ ، ثُمَّ يَقُوْلُ :
“Dari Umar bin al-Khattab radiallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Tiada seorang pun antara kamu yang berwuduk dengan sempurna, kemudian ia mengucapkan:
أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ ، وَاَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
Pasti (yang membaca doa di atas ini) akan dibukakan baginya kelapan-lapan pintu syurga, ia boleh masuk yang mana dia kehendaki”. H/R Muslim No. 234. Abu Daud no. 169. Tirmizi No. 55. Nasaii. 148. Dan Ibnu Majah. 470.
Pada hadis riwayat Imam at-Tirmizi terdapat penambahan di hujungnya, iaitu:
اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِيْ مِنَ التَّوَّابِيْنَ وَاجْعَلْنِيْ مِنَ الْمُتَطَهِّرِيْنَ.
“Ya Allah, jadikanlah aku golongan orang-orang yang bertaubat dan jadikanlah aku golongan orang-orang yang membersihkan diri!” Hadis ini disahihkan oleh Al-Albani rahimahullah.
“Dari Abi Sa’ied al-Khudri radiallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Barangsiapa berwuduk kemudian setelah selesai ia membaca:
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ اَللَّهُمَّ وَأَتُوْبُ اِلَيْكَ.
Maka (dengan membaca doa ini) dituliskan di tempat tulisan, kemudian terpelihara dalam lambaran, maka tidak akan binasa sehingga ke hari kiamat”. Disahihkan oleh al-Albani. Lihat: Al-Jami’ 6046.
Tajuk: MENCONTOHI SIFAT WUDUK RASULULLAH
Di-Edit Semula Daripada Kertas Kerja:
ABU FAROUQ RASUL BIN DAHRI
Oleh: an-Nawawi – http://an-nawawi.blogspot.com
Untuk Edisi Online
Dicatat oleh Nawawi Bin Subandi di Rabu, Jun 13, 2007
Label: Bersuci
No comments:
Post a Comment