I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, January 27, 2010

Bersuci (Istinjak)


USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Ijazah Sarjana Muda (Syari'ah) Uni. Al-Azhar (1997). Dipl. Takhassus Fiqh (Pra M.A) INSANIAH-Al-Azhar (2004)

Apa maksud istinjak?

Istinjak bermaksud membasuh tempat keluar najis iaitu zakar/faraj dan dubur selepas membuang air kecil (yakni kencing) atau air besar (yakni berak). Hukumnya adalah wajib.

Apakah bahan yang harus digunakan untuk istinjak?

Bahan untuk beristinjak ialah air. Anas r.a. memceritakan; “Adalah Nabi s.a.w. apabila keluar membuang air, aku akan bawakan untuknya satu bekas air untuk beliau beristinjak”. Diharuskan juga menggunakan benda-benda kesat seperti batu, kertas dan sebagainya yang boleh menanggalkan najis. Banyak hadis menceritakan Nabi s.a.w. beristinjak menggunakan batu.

Menurut mazhab Syafi’ie, paling baik ialah menggabungkan kedua-duanya; iaitu menyapu najis dengan benda kesat (tisu atau sebagainya), kemudian disusuli dengan membasuh dengan air. Cara ini adalah terbaik kerana dapat menjimat air dan mengelak tangan dari terlalu banyak menyentuh najis. Harus menggunakan salah satu cara iaitu dengan air sahaja atau dengan benda kesat sahaja, namun beristinjak dengan air adalah lebih afdhal kerana lebih menyucikan.

Tangan manakah yang hendak digunakan ketika beristinjak?

Beristinjak sunat menggunakan tangan kiri. Beristinjak dengan tangan kanan adalah makruh, kecuali tidak dapat dielakkan. Kata Nabi s.a.w.; “Sesiapa dari kamu kencing, janganlah ia memegang zakarnya dengan tangan kanannya dan janganlah juga ia beristinjak dengan tangan kanannya”.[1]

Apakah syarat-syarat beristinjak dengan benda kesat?

Namun jika hendak beristinjak dengan benda-benda kesat sahaja (tanpa menggunakan air), mesti memenuhi syarat-syarat di bawah;

1. Hendaklah dengan sekurang-kurangnya tiga kali sapuan, tidak boleh kurang darinya.[2] Salman r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. menegah kami dari beristinjak kurang dari tiga batu (yakni tiga sapuan batu)”.[3] Jika tiga kali sapuan tidak mencukupi, wajib ditambah dan sunat tambahan itu ganjil (yakni lima, tujuh dan sebagainya).

2. Hendaklah najis tidak melepasi papan punggung atau hasyafah (yakni kepala zakar). Jika najis meleleh melepasi kawasan tersebut, wajib istinjak dengan air.

3. Hendaklah sebelum najis kering. Jika najis telah kering, wajib istinjak dengan air.

4. Bahan yang digunakan hendaklah bersih dan kering. Sifatnya hendaklah boleh meanggalkan najis, iaitu tidak terlalu licin atau terlalu kasar kerana tujuan intinjak ialah untuk menanggalkan najis, maka hendaklah bahan yang digunakan boleh memenuhi tujuan tersebut.

5. Bahan yang digunakan bukan dari makanan manusia atau jin seperti tulang. Kata Nabi s.a.w.; “Janganlah kamu beristinjak dengan tahi binatang, dan juga dengan tulang kerana ia adalah makanan saudara kamu dari kalangan jin”.[4]

Apakah adab-adab semasa membuang air kecil atau air besar?

1. Jangan membuka aurat sebelum masuk ke dalam tandas. Apa yang selalu atau kadang-kadang dilakukan oleh sebahagian dari kita hari ini iaitu menyelak atau mengangkat kain hingga nampak aurat sebelum masuk tandas adalah menyalahi Syarak. Hukumnya adalah haram.

2. Ketika memasuki tandas dahulukan kaki kiri dan sebelum melangkah masuk, bacalah terlebih dahulu;
بسم الله، اللهم إني أعوذ بك من الخبث والخبائث
(Riwayat Imam al-Bukhari)

3. Keluar dari tandas, dahulukan kaki kanan dan apabila telah berada di luar tandas bacalah;

غفرانك، الحمد لله الذي أذهب عني الأذى وعافاني
(Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)

4. Janganlah bercakap-cakap semasa di dalam tandas kecuali tidak dapat dielakkan. Malah Nabi s.a.w. tidak menjawab salam ketika baginda sedang buang air. Ibnu Umar menceritakan; “Seorang lelaki telah lalu berhampiran Nabi s.a.w. yang sedang kencing. Ia memberi salam kepada baginda, namun baginda tidak memjawab salamnya”.[5]

5. Jangan membawa masuk barang-barang yang terdapat nama Allah atau ayat al-Quran atau sebagainya yang dimuliakan oleh agama.

5. Jika terpaksa membuang air di tempat yang tidak mempunyai tandas (seperti di hutan dan sebagainya), hendaklah menjaga adab-adab berikut selain dari adab-adab di atas tadi;
a) Hendaklah mencari tempat yang jauh dari orang ramai.
b) Jangan mengadap ke arah qiblat atau membelakanginya.
c) Hendaklah mencari tempat yang sesuai. Elakkan dari buang air di jalan lalu lalang orang ramai, tempat berteduh mereka, laluan air, di bawah pohon yang berbuah atau sebarang tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Hal tersebut amat dilarang oleh Nabi s.a.w. kerana mengundang laknat orang terhadap pelakunya.
d) Jangan buang air di air yang tenang. Jabir r.a. berkata; “Nabi menegah kencing di air yang tenang
d) Jangan buang air di lubang yang telah tersedia kerana ia dikhuatiri didiami oleh binatang atau jin. Abdullah bin Sarjis r.a. berkata; “Nabi s.a.w. melarang kencing ke dalam lubang”[6].

Apa hukum kencing sambil berdiri?

Diriwayatkan dari Huzaifah r.a. yang menceritakan; Aku bersama Nabi s.a.w.. Apabila sampai di satu tempat pembuangan sampah, Nabi s.a.w. kencing di situ sambil berdiri. Aku pun berpaling menjauhi baginda. Namun baginda berkata kepadaku; ‘Hampirilah’. Aku pun menghampiri Nabi hingga aku berdiri hampir dengan dua tumitnya. Setelah selesai kencing, Nabi mengambil wudhuk dengan menyapu dua khufnya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan keharusan kencing sambil berdiri, bukan menunjukkan kebiasaan Nabi s.a.w.. Kebiasaan Nabi s.a.w. ialah kencing sambil duduk sebagaimana riwayat dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang berkata; “Jika ada sesiapa menceritakan kepada kamu bahawa Nabi s.a.w. kencing berdiri, maka jangan kamu mempercayainya. Nabi tidak kencing melainkan sambil duduk”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain. Menurut Imam Nawawi; sanad hadis ini adalah baik).

Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak menegaskan; hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka; perbuatan Nabi kencing berdiri dalam hadis pertama di atas adalah kerana ada keuzuran bagi baginda; kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafi’ie; orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas r.a. pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.

Kesimpulannya; kencing berdiri hukumnya adalah harus atau makruh mengikut perbezaan ulamak di atas. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir; “Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi s.a.w.”.

Nota Kaki

[1] Riwayat Imam Bukhari dari Abi Qatadah r.a..
[2] Sekalipun telah kelihatan bersih dengan sekali atau dua kali sapuan. Ini kerana tiga kali sapuan itu adalah had minima yang ditetapkan Nabi s.a.w., tidak harus kuraang dari itu.
[3] Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Nasai.
[4] Riwayat Imam at-Tirmizi.
[5] Riwayat Imam Muslim.
[6] Riwayat Imam Abu Daud.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 10:46 AM

1 comment:

  1. Assalamualaikum,
    1) Kalau kita buang dekat urinal bowl
    Kita tadah air sikit dengan tangan kemudian
    Usap kemaluan dengan tangan
    Adakah sah/sempurna istinjak tersebut sebab air
    Tak mengalir dan telah menjadi mutanajjis atau dimaafkan seperti
    Kes di bawah

    2) kalau ada najis di lantai simen rumah. Kita hanya perlu bersihkan/basuh tempat yang berkenaan dan lap saja ?

    ReplyDelete