I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, May 28, 2011

Pegang Quran tanpa wuduk & ketika haid



Oleh

Ustaz Hafiz Firdaus

Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramadhan apabila didatangi haid. Ini kerana apabila mereka didatangi haid, mereka tidak boleh berpuasa, tidak boleh bersolat – khasnya solat tarawih dan tidak boleh membaca al-Qur’an. Lalu apakah yang boleh mereka amalkan agar hari-hari Ramadhan tidak berlalu begitu sahaja ketika mereka didatangi haid?

Penulis menjawab, kalian boleh membaca al-Qur’an ketika haid. Jawapan ini secara automatis dibalas dengan soalan: “Bukankah wanita yang didatangi haid dilarang daripada memegang dan membaca al-Qur’an?” Soalan ini memerlukan jawapan yang panjang lagi mendalam. Berikut adalah jawapan penulis tentang hukum sebenar bagi wanita memegang dan membaca al-Qur’an ketika didatangi haid, sama ada di bulan Ramadhan atau selain Ramadhan.



Pertama: Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur’an.

Umumnya terdapat dua pendapat, yang pertama mengatakan tidak boleh manakala yang kedua berkata boleh. Pendapat yang pertama merujuk kepada firman Allah:

Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. [al-Waqiah 56:79]



Diikuti dengan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.[1]



Manakala bagi pendapat kedua, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil tepat (qathi) yang melarangnya. Dalam hal ini yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan bersetubuh. Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil tepat yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.

Ayat al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan:

Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. [al-Waqiah 56:77-80][2]



Berkata Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat “fii Kitabim-maknun” bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-Mutatahharun adalah para malaikat yang suci.[3]

Justeru keseluruhan ayat sebenarnya menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz, di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.

Hadis yang dijadikan dalil melarang adalah juga tidak tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.

Perkataan suci dalam hadis di atas boleh bererti suci daripada najis seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci daripada hadas besar seperti haid dan junub, dan suci daripada hadas kecil yakni seseorang yang dalam keadaan wudhu’. Ia juga boleh bererti suci dari sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik:

Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis. [al-Taubah 9:28]

Oleh itu perlu dicari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang dihantar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada seorang sahabat di Yaman. Pada saat itu Yaman adalah sebuah wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan Islam dan Islam, justeru kemungkinan yang besar adalah surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada disentuh oleh orang bukan Islam.

Himpunan antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah kepada satu petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya merujuk kepada orang Islam. Justeru keseluruhan hadis sebenarnya melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf al-Qur’an.

Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di atas, yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur’an.


Kedua: Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur’an.

Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid.[4]

Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun setiap darinya adalah dha‘if. Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah (676H):[5]



Adapun hadis Ibn Umar: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid” , maka ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang dha‘if, didha‘ifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.

Namun sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid daripada membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada keadaan junub.[6] Namun hal ini dianggap tidak tepat kerana dua sebab:



1. Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa-apa perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Adapun haid, maka ia adalah sesuatu yang wujud secara lazim pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila pada zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang wanita yang haid daripada membaca al-Qur’an, maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian membuat hukum yang baru.



2. Haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.

Sebahagian lain melarang atas dasar memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an. Justeru mereka berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an kecuali beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh keberkatan.[7]



Pendapat ini juga dianggap kurang tepat kerana seseorang wanita, sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan wujudnya dalil yang sahih yang melarang sesuatu ibadah seperti solat, puasa, tawaf dan bersetubuh. Adapun pensyari‘atan mandi wajib selepas berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang wanita yang sedang dalam keadaan haid.

Pernah sekali Abu Hurairah radhiallahu 'anh mengasingkan diri daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau balik ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub. Mendengar itu Rasulullah bersabda:

Subhanallah! Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya orang mukmin tidaklah ia menjadi najis.[8]

Kata-kata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas bersifat umum, menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada dalam keadaan najis sekalipun dia dalam keadaan junub. Termasuk dalam keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid.

Sebagai rumusan kepada kupasan ini, berikut dinukil kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H):[9]



Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka seandainya membaca al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam akan menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi. Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram.



Kesimpulan:

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. [al-Baqarah 2:1-2]

Setiap individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-Qur’an sebagai kitab yang memberi petunjuk kepada mereka. Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa dan tempat, termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haid. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan petunjuk dalam kehidupan sehari-harian mereka. Atas keperluan inilah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang didatangi haid daripada memegang dan membaca al-Qur’an seperti biasa. Adapun pendapat yang mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang lemah sekalipun masyhur.

Wednesday, February 2, 2011

Monday, January 31, 2011

PENILAIAN ILIMIAH TERHADAP KITAB MAJMUK SYARIF


Assalamualaikum,

Pernahkah anda melihat, membaca atau mengamalkan kitab di atas ini. Kitab ini merupakan himpunan amalan zikir dan doa yang dikenali sebagai Majmuk Syarif yang merupakan satu kitab yang amat popular di kalangan Masyarakat Islam dan ia sememang begitu laris di pasaran. Namun kandungan dalam kitab ini sebenarnya bermasalah.

Apa masalahnya?

Sila baca artikel karangan rakan seperjuangan akob Ustaz Abu Syu'aib di bawah.
Sekian Wassalaam

Secara umumnya boleh dikatakan hampir keseluruhan masjid atau surau perhentian di lebuhraya terdapat sebuah buku kecil yang dinamakan sebagai “Majmuk syarif” sama ada ianya dibeli sendiri oleh pihak pengurusan masjid ataupun ianya diwakafkan oleh individu-individu tertentu kepada pihak masjid. Buku ini tersebar dan mudah untuk diperolehi kerana dimana-mana sahaja terdapat mereka yang menjualnya.


Buku yang tidak mempunyai nama pengarang ini menghimpunkan di dalamnya sebahagian surah-surah daripada al-Quran serta fadhilat-fadhilatnya, doa-doa dan zikir-zikir yang dijadikan amalan oleh sebahagian masyarakat. Dukacitanya hampir kesemua doa, zikir dan fadhilat-fadhlatnya yang terkandung di dalam buku ini tidak sahih dari Nabi s.a.w. bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan ianya hanya rekaan manusia yang tidak mempunyai asal di dalam agama.

Selanjutnya sila klik : http://akob73.blogspot.com/2008/07/assalaamualaikum-pernahkah-anda-melihat.html

Tuesday, November 9, 2010

Menghitamkan rambut yang beruban



Gambar hiasan
Assalamualaikum,

Mudah2an Saudara2 semua berada di dalam situasi sihat.Ada satu isu yang hendak Sya kongsi bersama dgn Saudara2.Isu tersebut ialah mengenai menghitamkan rambut yg dah beruban.Sya pernah ditanya oleh beberapa org sahabat mengenai hukum mewarnakan rambut atau janggut dengan warna hitam.Oleh kerana kesibukan tugas & sebagainya sya tidak berkesempatan untuk menjawab. Insya'Allah di kesempatan waktu yg terluang ini Sya cuba menjawab persoalan ini secara ringkas ,agar tidak timbul tanggapan yg bukan2 terhadap isu ini. Soalan ini di tanya berkemungkinan ada sahabat yg tertanya2 dan hairan sbb ada kalanya rambut Sya putih dgn uban kekadang ia bertukar menjadi hitam. Mungkin timbul kemusykilan boleh atau tidak kita mewarnakan rambut dgn warna hitam.Bagaimakah hukumnya sunahkah,makruh,atau haram? Jadi sebagaimana yg Sya katakan di atas,supaya ianya tidak menjadi persepsi yg bukan2 terhadap Saya, disini Sya cuba sedaya upaya untuk menjawapnya sekadar kemampuan berpandukan kepada hukum feqah sebagaimana yang telah di perbincangkan oleh ulamak Islam.

Sauadara2ku, sesungguhnya isu mewarnakan rambut,janggut termasuk misai telah menjadi perkara khilaf (diperselisihkan) oleh ulamak Islam. Ada yg berpendapat dibolehkan mewarnakan rambut/janggut/misai dgn warna inai atau khatam (sejenis tumuhan yg popular di negeri Yaman) yang mengeluarkan warna perang kemerah merahan dan melarang penggunaan warna hitam. Ada juga yang berpendapat di benarkan mewarnakan dgn warna hitam yang di ambil dari sejenis rumput yang hanya ada di Timur tengah di mana apabila di tumbuk ia akan mengeluarkan warna hitam & ia tidak di campur dgn bahan bahan yang lain speperti pewarna.Ada yang bependapat di bolehkan dengan warna hitam yg bukan permenant supaya tidak menjejaskan pengaliran air di anggota badan ketika berwuduk & mandi hadas.Orang yg telah tua & ubanya telah merata sememangnya tidak selayaklah mewarna dengan warna hitam & di benarkan bagi orang yang masih muda.Ada sebahagian lagi berpendapat di bolehkan dengan warna hitam dalam keaadan perang bagi menakutkan pihak musuh & untuk merawat penyakit di kepala. Disebabkan masalah ini menjadi perselisihan dari kalangan Ulamak & masing2 ada hujjah berserta dalil yang di pegang,jadi tidak seharusnya kita sebagai orang awam untuk bertelagah mengenai perkara ini & gemar membuat provokasi & persepsi yang bukan2 terhadap mereka2 yang menghitamkan rambut/janggut/misai mereka sehingga menjadi pergeseran di kalangan kita pula.Untuk lebih jelas disini Sya sertakan 3 website mengenai isu ini untuk kita sama2 memahaminya.

1.http://hikmatun.wordpress.com/2007/01/01/hukum-mewarna-rambut/ 2. http://ohislam.com/hukum-mewarnakan-rambut-dalam-islam/ 3. http://halaqah.net/v10/index.php?topic=11633.0

Mudah2an kita berlapang dada dalam masalah yg diperselisihkan.

Allahua'lam.

Tuesday, September 28, 2010

Tawassul wasilah antara sunnah dan bidah



Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Apabila manusia dirundung pelbagai masalah dalam kehidupan dan seolah-olah tiada insan lain yang ingin menghulurkan bantuan untuk mengharungi kedukaan tersebut, janganlah merasa gelisah kerana sesungguhnya Allah S.W.T. sentiasa berada bersama kita dan mendengar doa permohonan hamba-hamba-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda: Doa adalah ibadah. (Lalu baginda membaca ayat): Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [Hadis riwayat Imam al-Tirmdzi]


Menerusi hadis di atas dapat kita perhatikan bahawa doa itu termasuk dalam perkara ibadah. Justeru wajib doa itu dimohonkan ikhlas hanya kepada Allah S.W.T. dan tatacara doa itu hendaklah mengikuti apa yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T. dan mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w. Maka timbul pertanyaan bagaimanakah amalan tawassul yang diamalkan oleh segelintir manusia yang berdoa menerusi perantaraan zat atau kemuliaan Nabi s.a.w. ataupun orang-orang soleh yang telah meninggal dunia? Adakah tatacara ini bersesuaian dengan Sunnah Nabi s.a.w. seperti tanggapan sesetengah pihak?


Makna tawassul secara mudah adalah mengambil suatu perantaraan yang boleh menyampaikan seseorang kepada tujuannya. Oleh itu sesetengah pihak beranggapan, sesuatu doa itu akan lebih mudah untuk dimakbulkan sekiranya kita menjadikan Nabi s.a.w. atau mereka yang dianggap wali sebagai perantaraan dalam doa tersebut. Sebagai contoh di antara lafaz-lafaz doa tawassul tersebut adalah “Ya Allah, dengan hak Nabi-Mu atau dengan kemuliaan Nabi-Mu maka perkenankanlah doa ku…” atau “Ya Allah dengan kemuliaan wali-Mu Syaikh Abdul Qadir al-Jailani perkenankanlah doaku…”. Malah ada yang lebih melampaui batas sehingga membenarkan berdoa kepada Allah menerusi perantaraan kuburan-kuburan para Nabi-Nabi dan wali-wali.


Para ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah telah membahagikan tawassul ini kepada dua jenis. Pertama, tawassul yang selari dengan syarak, iaitu bertawassul dengan wasilah (perantaraan) yang benar, wasilah yang berupaya untuk menghantar keinginannya (kepada Allah S.W.T). Kedua, tawassul yang tidak dibenarkan iaitu bertawassul kepada Allah S.W.T. dengan dengan sesuatu yang tidak ditetapkan sebagai wasilah oleh syarak,contohnya bertawassul dengan orang yang telah mati.

Selanjutnya sila klik : http://akob73.blogspot.com/2009/10/tawassul-antara-sunnah-dan-bidah.html